ZIKIR SI PEMBUAT ROTI

Suatu hari, Imam Ahmad Ibnu Hanbal rahimahullah bermusafir ke Syam. Kebetulan beliau sampai pada waktu malam dan tidak mempunyai tempat tinggal.

 

Lantas Imam Ahmad pergi ke sebuah masjid dengan niat mahu bermalam. Malangnya, penjaga masjid tidak membenarkannya bermalam dan menghalaunya keluar. Ternyata penjaga masjid itu tidak mengenali ulama besar itu.

 

Tanpa memperkenalkan dirinya, Imam Ahmad kemudian membawa barang-barangnya keluar, dan pergi ke tangga di luar masjid. Melihat tindakan Imam Ahmad, penjaga masjid tetap menghalau imam itu dan mencampakkan barang-barangnya keluar, malah imam yang disanjung itu diheret kakinya oleh pengawal tersebut sehingga ke tengah jalan.

 

Kebetulan di hadapan masjid itu ada sebuah kedai roti dan pemilik kedai itu ternampak Imam Ahmad di tengah jalan. Lalu dia mengajak Imam Ahmad bermalam di kedainya. Kebetulan malam itu dia perlu menyediakan roti untuk jualan keesokan hari.

 

Katanya, “Saya akan membuat roti malam ini dan tuan bolehlah tidur di sini.”

 

Imam Ahmad tidak berkata banyak. Beliau memerhatikan gelagat pemilik kedai itu.

 

Dalam keheningan malam, dia bekerja, menguli, membentuk dan membakar roti sambil mulutnya berzikir, “Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar…Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar…Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar…”

 

Sepanjang malam dia bertasbih dan berzikir kepada Allah, membuatkan Imam Ahmad sangat kagum melihat amalan si pembuat roti tersebut. Kebiasaannya seseorang akan penat dan tidak mampu terus berzikir sedemikian, namun lain pula dengan si pembuat roti ini. Dia sangat istiqamah berzikir sepanjang malam.

 

Imam Ahmad kemudian bertanya, “Sudah berapa lama kamu berzikir seperti ini?”

 

Si pembuat roti menjawab, “Sepanjang hidup saya.”

 

Imam Ahmad yang tahu fadilat berzikir bertanya lagi, “Apakah yang kamu dapat daripada zikir harian yang kamu lakukan secara berterusan ini?”

 

Kata pembuat roti itu, “Saya tidak pernah berdoa sekalipun, melainkan Allah memakbulkan doa saya, kecuali satu permintaan…”

 

Imam Ahmad bertanya, “Apakah permintaan itu?”

 

Si pembuat roti menjawab, “Untuk berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”

 

Mendengar jawapan si pembuat roti itu, Imam Ahmad menangis dan berkata, “Subhanallah! Sekarang, dan inilah, Allah telah membawakanmu Ahmad, mengheretnya (dirinya), kerana menjawab doamu untuk berjumpa denganku. Kalaulah bukan kerana doamu, nescaya aku akan tidur dengan aman di masjid tadi….”