WAHAI ANAK, JANGAN BUAT BEGINI…

Sudah lebih 5 tahun saya terlibat dalam pengurusan jenazah di sekitar kawasan rumah saya di Ampang, Selangor. Pengalaman saya masih terlalu mentah dalam bidang ini, tetapi…

Pernah saya terima panggilan untuk menguruskan jenazah seorang lelaki tua yang sudah lama terlantar sakit kerana uzur. Lazimnya, orang yang lama terlantar termasuk koma, apabila meninggal jenazahnya memang agak berbau. Ini perkara biasa. Begitulah juga dengan jenazah lelaki tua itu, sudah berbau. Semasa hendak memandikan jenazah, saya turut memanggil tiga anak lelakinya. Tapi, mereka enggan. Mereka menjauh, tidak mahu dekat langsung, asyik menutup hidung. Mata pula seakan jijik memandang jenazah ayah kandung mereka sendiri.

Kejadian seperti itu perkara biasa yang saya lihat. Melalui pengalaman saya yang tidak seberapa ini, ramai anak-anak muda seusia saya yang tidak mahu memandikan jenazah orang tua mereka sendiri. Mereka rasa geli, kotor. Pada mereka, tugas mandi memandikan itu hanya layak diupahkan pada orang-orang masjid atau golongan ustaz sahaja.

Ada kalanya hati saya meruntun hiba bila memandikan jenazah begitu. Tangan yang kurus kering dan berkeripot itulah yang membanting tulang membesarkan anak-anak. Namun, bila ajal menjemputnya, tangan-tangan kecil yang pernah dibesarkannya dulu jijik untuk menyentuh, membasuh bahkan menyiramkan mayatnya.

Ada lagi satu pemandangan yang sering saya saksikan. Tatkala jenazah orang tuanya terbujur di atas rumah, yang anak-anaknya pula rancak bersembang di luar. Boleh gelak ketawa bersama. Aduh… begitukah caranya menghormati jenazah orang tua sendiri?

Tak kurang juga bila berlaku kematian, ketika itulah baru hendak munculkan diri di masjid. Siapa tok imam atau orang-orang masjid, semuanya dia tidak kenal. Itulah akibatnya tak pernah jejakkan kaki ke masjid dan tidak bergaul dalam masyarakat. Bila ada kematian, barulah pandai jengukkan wajah. Itu pun sekadar cari tok imam sebab pinta diuruskan jenazah orang tuanya.

Yang tidak pandai mengaji pun ramai juga. Kerap saya temui, jenazah terbaring kaku, hanya ada beberapa jiran tetangga yang duduk membaca Yasin. Yang anak-anaknya semua bersembang di luar. Bila ditanya, rupa-rupanya tak tahu membaca kalam suci Allah. Sedihnya…

Pernah juga saya datang ke rumah seorang lelaki yang memberitahu ayahnya baru meninggal. Sampai di perkarangan rumah itu, tampak adik beradiknya duduk di luar berborak. Dari dalam rumah, saya terdengar bacaan Yasin. Ok, tak mengapalah.

Tapi, bila melangkah masuk ke dalam rumah, saya terkejut. Astagfirullah….. Mayat ayahnya terbujur kaku begitu saja tanpa ditutup dengan kain. Dan di tepi telinga mayat itu, diletakkan al-Quran digital yang sedang memainkan surah Yasin. Luluh hati saya melihat nasib jenazah itu. Ada juga yang pasang aplikasi Yasin dalam handphone dan dibiarkan telefon kecil itu yang ‘menemani’ jenazah orang tua mereka.

Bukan suara anak-anaknya yang membacakan Yasin, tapi gajet-gajet moden itu yang ‘menggalas’ tugas tersebut. Saya hanya menggeleng kepala melihat sikap mereka itu. Sedih!

Itu belum lagi keletah anak-anak dan ahli keluarga yang sibuk memasak atau menyiapkan hidangan untuk tetamu yang datang berziarah. Alahai… ini bukan pesta!

Yang menggelikan hati pun ada juga. Saya teringat satu kisah sewaktu sembahyangkan jenazah, si anak pun ikut sekali. Bila imam takbir, selamba dia pun rukuk. Aduh… Tepuk dahi kita dibuatnya.

Ya, inilah sikap kebanyakan muda mudi kita yang memandang remeh soal keperluan fardu kifayah. Semuanya mengharapkan orang lain walaupun hakikatnya itu adalah jenazah orang yang telah melahiran dan membesarkan mereka.

Apakah mereka tidak sedar, mereka anak-anaklah yang membantu orang tua mereka di alam sana? Seperti hadis : Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila anak Adam mati maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara : sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya. ”

Maka, orang-orang muda, belajarlah keperluan fardu kifayah ini. Belajarlah adab dalam menguruskan jenazah. Jangan ingat ilmu ini hanya untuk orang-orang tua sahaja. Kita yang muda pun kena tahu ini semua.

Lagi satu, belajarlah menghormati jenazah. Apatah lagi jika itu jenazah orang tua kita sendiri. Takkan anda mahu jenazah anda kelak diperlakukan begitu juga oleh anak-anak kandung sendiri? Fikir-fikirkanlah.

 

Mohd Raqib Ismail,25 tahun

Pengurus Jenazah