TRAGEDI BERDARAH GEYLANG 1979 – 4 BERADIK DIBUNUH KEJAM

Sudah menjadi rutin harian bagi pasangan suami isteri bernama Tan Kuen Chai dan Lee Mei Ying keluar rumah pada awal pagi. Setiap hari, mereka melaksanakan tugas untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah dengan menggunakan sebuah bas mini milik pasangan ini. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan tetap bagi suami isteri ini.

Pasangan suami isteri ini tinggal di sebuah pangsapuri bernombor 58 di kawasan kejiranan Geylang Baru, Kallang Singapura. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki dan seorang perempuan. Anak sulung bernama, Tan Kok Peng berusia 10 tahun. Manakala anak kedua bernama Tan Kok Hin, berusia lapan tahun. Anak mereka yang ketiga bernama Tan Kok Soon, berumur enam tahun. Paling bongsu ialah anak perempuan pasangan ini bernama Tan Chin Nee, berumur lima tahun.

Difahamkan, tiga orang anak lelaki pasangan ini bersekolah di Sekolah Rendah Jalan Bendemeer. Sementara, Tan Chin Nee pula diletakkan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

Pada awal pagi bertarikh 6 Januari 1979, seperti biasa Kuen Chai dan Mei Ying meninggalkan keempat orang anak mereka di rumah. Ia menjadi kebiasaan bagi mereka berdua berbuat demikian pada setiap hari. Selepas pasangan ini menyelesaikan tugasan, mereka akan menghubungi anak sulung mereka menerusi panggilan telefon, selalunya pada pukul 7.10 pagi. Panggilan telefon itu dibuat sebagai pemberitahuan agar kesemua anak-anak mereka boleh bersiap sedia untuk ke sekolah.

Malangnya, pada hari itu panggilan telefon tidak diangkat oleh anak mereka. Sebanyak tiga kali panggilan telah dibuat oleh pasangan suami isteri berkenaan. Namun, mereka gagal menghubungi anak-anak mereka di rumah.

Bimbang sesuatu terjadi, mereka menghubungi jiran terdekat dan meminta bantuan untuk memeriksa keadaan anak-anak mereka di rumah. Difahamkan, jiran berkenaan cuba mengetuk beberapa kali pintu utama rumah milik pasangan terbabit. Namun, tiada sebarang respons diterima.

Pada pukul 10.00 pagi, Kuen Chai dan Mei Ying pulang untuk melihat keadaan anak-anak mereka. Bagaikan mimpi ngeri, pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan satu insiden mengerikan. Empat anak mereka berlumuran darah, tidak bernyawa lagi.

Jasad empat orang adik-beradik tersebut ditemui oleh kedua-dua ibu bapa mereka dalam keadaan bermandi darah di dalam sebuah bilik mandi. Lebih menyayat hati, bahagian lengan anak sulung pasangan tersebut iaitu Tan Kok Peng hampir putus, kemungkinan dikerat dengan menggunakan senjata tajam.

Berdasarkan laporan patologi, kematian empat orang adik-beradik terbabit berpunca akibat kecederaan serius pada keseluruhan anggota badan. Siasatan lanjut dibuat turut menemui lebih 20 luka kelar di tubuh badan mereka.

Hasil siasatan lanjut dijalankan mendapati, tiada bukti pecah masuk dan barangan hilang dilaporkan. Pada masa yang sama, pihak berkuasa percaya pembunuh menggunakan dua jenis senjata tajam (salah satunya pisau pemotong daging) untuk membunuh empat orang kanak-kanak berkenaan. Dua jenis senjata terbabit kemungkinan diambil oleh suspek di bahagian dapur rumah mangsa.

Sementara itu, pihak penyiasat turut membuat kesimpulan bahawa kejadian bunuh ini telah dirancang awal oleh suspek. Malah, individu berbahaya itu disifatkan sebagai seorang yang berhati-hati. Penjenayah licik ini difahamkan lebih awal bertindak dengan membersihkan bukti-bukti penting sekali gus, menyukarkan pihak penyiasat mengesan identiti sebenar suspek pembunuh ini.

Kumpulan penyiasat menemui dua bukti tidak jelas dalam kes pembunuhan ini. Ia merujuk kesan darah di bahagian singki dan beberapa helai rambut di tangan anak sulung pasangan tersebut.  Malangnya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua jenis sampel terbabit masih samar-samar, sekali-gus identiti si pelaku tidak dapat dikenal pasti.

Siapakah pembunuh sebenar dalam kes ini?

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan telah menemubual lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga mangsa, jiran tetangga dan orang ramai bagi menjejaki si penjenayah. Bagaimanapun, rata-rata ditanya tidak memberikan maklumat kukuh terhadap kes pembunuhan tersebut.

Meskipun begitu, salah seorang jiran mangsa bernama Yam Yin Tin menyatakan, dia pernah ternampak seorang individu telah memasuki rumah mangsa. Kehadiran orang tidak dikenali berkenaan dilihat ketika dia sedang berehat di ruang koridor. Bagaimanapun, dia tidak lama di situ dan segera masuk ke dalam rumah. Sangka Yam Yin Tin, individu tersebut mungkin saudara jirannya itu dan dia tidak mengesyaki apa-apa dengan situasi itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi iaitu seorang pemandu teksi turut menyatakan sesuatu berhubung kejadian tersebut. Pada hari kes berlaku, dia mendakwa telah mengambil seorang penumpang lelaki pada pukul 8.00 pagi di lokasi 20 Blok 96 Jalan Kallang Baru berhampiran dengan lokasi kejadian.

Dakwa pemandu teksi itu, sebelum memasuki kereta dia melihat lelaki berkenaan jalan terhincut-hincut. Dia juga ada melihat kesan darah pada bahagian kiri tangan dan lelaki tersebut memegang sebilah pisau sebelum memasuki kereta. Dia menurunkan penumpang lelaki itu di jalan Lavender.

Dua minggu selepas tragedi hitam itu, pasangan suami isteri terbabit dikejutkan pula dengan satu kiriman kad misteri. Di situ tertera satu mesej ringkas ditulis berbunyi “Sekarang anda tidak boleh miliki lebih ramai anak, ha..ha..ha..”.

Mesej ditulis dalam bahasa Mandarin itu turut diletakkan tandatangan tertera perkataan ‘pembunuh’. Pengirim misteri berkenaan turut menulis dua perkataan lain dipercayai nama samaran suami isteri tersebut yang tertera ‘Ah Chai dan Ah Eng’.

Ekoran kiriman kad tersebut, pasangan berkenaan mengesyaki ia dihantar oleh seseorang yang dikenali mereka. Malah, individu itu mengetahui bahawa Lee tidak boleh mengandung lagi selepas melahirkan anak bongsu mereka, Tan Chin Nee.

Berdasarkan deskripsi kes pembunuhan itu, mereka mengesyaki identiti pembunuh empat orang anak mereka mungkin dilakukan oleh salah seorang jiran mereka (warganegara Malaysia). Individu ini dikenal pasti sangat rapat dengan keluarga mangsa. Difahamkan, individu ini sering datang ke rumah mangsa untuk menggunakan telefon. Malah, empat orang adik-beradik tersebut agak rapat dengan individu terbabit. Mereka memanggil jiran berkenaan sebagai ‘pakcik’.

Bertindak atas maklumat, pihak berkuasa telah menahan jiran tersebut. Pada masa yang sama, mereka turut memanggil pemandu teksi yang memberi maklumat sebelum untuk proses pengecaman. Malangnya, pihak berkuasa masih kekurangan bukti untuk disabitkan menyebabkan individu tersebut dilepaskan. Tidak lama selepas kes penahanan itu, individu bergelar ‘pakcik’ tersebut telah berpindah dari kawasan berkenaan.

Identiti misteri seorang pembunuh kejam di Singapura sejak 40 tahun lalu masih kekal misteri. Pelakunya sehingga hari ini gagal dikesan dan tidak dapat dibawa ke muka pengadilan. Ia meninggalkan kedukaan yang tidak terperi buat pasangan suami isteri ini apabila kehilangan semua anak sekaligus dalam cara yang begitu tragis.

 

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!