TRAGEDI KEKASIH JAMBATAN VRBANJA

Di atas sebuah puncak bukit, seorang gadis dan pemuda sedang duduk termenung. Suatu ketika dahulu ketika berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Bosnia pada 1984, di atas puncak bukit itulah si gadis bertemu dengan kekasih hatinya. Pandangan mata bertaut, lalu perasaan cinta mula bersemi, tanpa mereka menyangka hubungan itu bakal melalui jalan getir penuh liku.

“Berapa lama kita akan begini?” tanya si gadis bernama Ismic sambil menoleh pada lelaki yang duduk di sisinya.

Pertanyaan itu hanya dijawab dengan pandangan lesu oleh kekasihnya, Brkic. Tiada sebarang jawapan dari mulut lelaki keturunan Serbia itu.

“Sayang, tiada siapa yang dapat memisahkan kita,” ucap Brkic dengan penuh yakin, memberi harapan tentang hubungan cinta mereka berdua.

Kata-kata cinta pasangan dua sejoli itu dimeterai dengan impian untuk membina mahligai bersama. Mereka berjanji setia, tidak akan berpisah walau peluru menjadi halangan.

Hanya ada satu jalan sahaja jika mereka mahu kekal bersama, iaitu keluar dari segala kemelut yang melanda. Untuk itu, mereka merancang untuk pergi jauh meninggalkan kota Sarajevo, pergi membawa cinta suci mereka yang sudah lama terhalang oleh pelbagai konflik – peperangan, kemanusiaan, budaya, ras serta agama.

“Jangan menangis lagi, sayang. Esok kita akan mulakan hidup baru,” kata Brkic. Esok, mereka akan membawa diri ke Belgrade, sebuah daerah yang bebas dari kancah peperangan.

Malam itu, Ismic memerhati setiap langkah kekasihnya. Entah mengapa dia terasa lain benar, seperti ada sesuatu yang dahsyat bakal berlaku.

Keesokannya seperti yang dijanjikan, pasangan itu bertemu semula di pinggir kota Sarajevo. Sebelum matahari meninggi, kedua-duanya sudah tercegat berdiri di laluan pejalan kaki yang menuju ke jambatan Vrbanja. Hari itu mereka nekad. Nekad  untuk pergi meninggalkan kepahitan di kota Sarajevo.

Perancangan diatur serapi mungkin. Brkic yang berketurunan Serbia telah berunding dengan seorang rakannya di pihak tentera Muslim Bosnia untuk membantu mereka. Begitu juga di pihak Serbia, lelaki itu turut melakukan rundingan yang sama. Dia bukan mahu bermusuh, tetapi hanya ingin membawa kekasih hatinya untuk pergi jauh dari bumi Bosnia.

Persetujuan telah dicapai antara kedua-dua pihak. Sama ada tentera Muslim Bosnia atau pihak Serb, mereka membenarkan pasangan kekasih itu untuk melintasi jambatan Vrbanja tanpa sebarang syarat dan dijamin keselamatan.

Tanpa menunggu lama, pasangan kekasih itu berlalu pergi membawa harapan yang menggunung tinggi. Mereka berjalan meninggalkan kota Sarajevo untuk membina hidup baru di lokasi yang lebih baik berbanding tanah air sendiri.

Sayangnya, harapan mereka tidak kesampaian. Ketika berada di tengah-tengah laluan jambatan Vrbanja itu, bunyi tembakan bergema.

BAM! BAMM! BAMMM!

Ia merupakan tembakan yang dilepaskan oleh penembak hendap yang bersembunyi di sebalik bangunan berhampiran.

Beberapa butir peluru hinggap di tubuh Ismic dan Brkic. Kedua-duanya rebah serta-merta. Darah kelihatan mengalir dan membasahi tubuh pasangan kekasih itu.

********

Kisah tragis pasangan kekasih yang melatari jambatan Vrbanja ini cukup popular di Bosnia. Ia memahat kisah cinta tidak kesampaian antara seorang gadis Islam Bosnia bernama Admira Ismic dan pasangannya seorang lelaki Serbia, Bosco Brkic. Kedua-duanya berusia 25 tahun.

Cinta mereka penuh dengan konflik kerana berlainan fahaman dan agama, apatah lagi ketika itu Bosnia sedang berada di ambang peperangan yang melibatkan puak Serbia dan Muslim Bosnia.

Kerana cinta, pasangan itu melewati jambatan Vrbanja untuk menuju ke daerah Grbavica. Namun, di atas jambatan tersebut mereka telah ditembak oleh penembak hendap. Kejadian ini berlaku pada 19 Mei 1993.

Brkic mati serta-merta, sementara Ismic cedera parah. Dalam keadaan yang berlumuran darah itu, Ismic mendekati pasangannya dan memeluk erat tubuh Brkic sehingga akhirnya dia juga meninggal dunia.

Mayat pasangan itu terbiar selama lapan hari di atas jambatan Vrbanja sebelum puak Serbia mengambil jasad mereka untuk menguburkannya. Namun, sehingga kini pembunuhnya masih tidak diketahui.

Ternyata, janji pasangan ini untuk sehidup semati termeterai. Nyawa mereka sama-sama berakhir, dilinangi darah di atas nama peperangan.

******

Selain Vrbanja, satu lagi jambatan yang popular di kota Sarajevo ialah Latin Bridge. Pada tahun 1914, Emperor Kerajaan Austria-Hungary, Franz Ferdinand dan isterinya telah dibunuh oleh seorang nasionalis Serb di atas jambatan ini. Pembunuhan Emperor Kerajaan Austria-Hungary itu merupakan pencetus berlakunya perang dunia pertama.

Latin Bridge jambatan yang berlakunya pembunuhan dan pencetus Perang Dunia 1

Bosnia sebenarnya tidak hanya kaya dengan sejarah. Tetapi wilayah ini juga mempunyai landskap bumi yang cantik. Lihat saja ibu negaranya, Sarajevo. Kota ini dikelilingi oleh gunung-ganang menghijau. Sungai Ilida Vrelo Bosne mengalir di tengah-tengah kota ini serta pertemuan air terjun Pliva dan Sungai Vrbas menambahkan lagi keunikan kota Sarajevo. Hanya satu perkataan yang sesuai… Ova Prelijepa! Dalam bahasa Melayu maksudnya ‘sungguh indah ciptaan Tuhan’!

Betul, segala-galanya indah di sini, biarpun ia pernah bermandi darah suatu ketika dahulu.