TOLONG CARI PEMBUNUH AKU!

21 Februari 1977, bunyi siren bomba mengejutkan penduduk di sebuah kawasan apartmen di Chicago, Amerika Syarikat.

Ahli bomba menerjah masuk ke dalam sebuah rumah di tingkat 15. Hidung mereka menangkap bau hangus. Mereka terkejut melihat jasad seorang wanita yang sudah rentung terbakar. Pada dada mayat itu, tertanam sebilah pisau.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh. Wanita malang itu adalah Teresita Basa, berusia 47 tahun. Teresita yang berasal dari Filipina bekerja sebagai seorang pembantu terapi pernafasan di Hospital Edgewater di Chicago.

Siasatan dijalankan, namun gagal menemui sebarang petunjuk untuk menjejaki pembunuh Teresita. Yang ada sekadar teori kemungkinan Teresita dibunuh oleh teman lelakinya.

Setelah menemui jalan buntu, kes Teresita tergantung tanpa sebarang klu. Beberapa bulan kemudian, Detektif Joe Stachula yang menyiasat kes tersebut menerima sekeping nota di atas mejanya, memberitahu ada maklumat baru berkaitan kematian Teresita.

*****

DOKTOR Jose Chua dan isterinya, Remy Chua merupakan pasangan suami isteri yang bertugas di Hospital Edgewater.

Suatu hari, berlaku perkara aneh pada Remy yang tiba-tiba bagaikan berkhayal dan seakan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan itu, Remy bercakap, namun suaranya berbeza. Dia berdialog dalam bahasa Tagalog.

“Saya ialah Teresita Basa!” Muncul ayat itu dari mulut Remy yang ketika itu separuh sedar.

Pada mulanya, Dr. Chua tidak percaya dengan apa yang dituturkan isterinya itu. Namun dia mula yakin setelah berdialog dengan suara dalam tubuh isterinya yang mengaku sebagai roh Teresita.

Kata roh Teresita, dia memerlukan bantuan mereka suami isteri untuk membantu menyelesaikan kesnya, sekali gus menangkap pembunuhnya.

Suami isteri itu bekerja di hospital yang sama dengan Teresita. Cuma, mereka tidak rapat dan kurang mengenali antara satu sama lain sekalipun bertugas dalam satu bangunan.

Melalui tubuh Remy, roh Teresita memberitahu pembunuhnya ialah seorang lelaki kulit hitam bernama Allen Showery. Lebih mengejutkan, Allen juga merupakan salah seorang petugas di hospital yang sama dengan Dr.Chua dan Teresita.

Malam sebelum Teresita dibunuh, Allen datang ke apartmen wanita itu untuk membaiki TV yang rosak. Lelaki itu telah mencuri barang kemas kepunyaan Teresita dan berlaku pergelutan sebelum Allen menikam Teresita dan membakar mayat wanita itu bagi menghilangkan bukti.

Roh Teresita turut memberitahu, Allen menghadiahkan barang kemas kepunyaannya kepada teman wanitanya. Malah, roh wanita ini turut memberi beberapa nama saudaranya berserta nombor telefon untuk dihubungi bagi membantu siasatan dan mengesahkan barang kemas kepunyaannya yang telah dicuri Allen.

Ketika mendengar kisah isteri Dr.Chua yang dirasuk roh Teresita, Detektif Stachula agak skeptikal untuk mempercayainya. Lagipun, mana mungkin kata-kata seorang ‘roh’ boleh diterima sebagai bukti pendakwaan.

Tapi, kerana sudah buntu dalam penyiasatannya, detektif itu cuba menggunakan informasi yang diberi roh itu untuk melihat jika ada sebarang perkembangan dalam kes tersebut.

Penyiasat pergi ke rumah Allan dan terbukti barang kemas yang dicuri Allan dipakai oleh teman wanitanya. Setelah disoal, Allan akhirnya mengaku telah membunuh dan membakar mayat Teresita.

Lelaki itu ditahan, dibicarakan dan dijatuhi hukuman penjara lebih 14 tahun atas kesalahan membunuh, membakar mayat dan merompak.

Selepas itu, Remy tidak lagi dirasuk roh Teresita. Jika roh Teresita tidak masuk ke tubuh wanita itu, mungkin sehingga ke hari ini kes pembunuhannya masih lagi tergantung.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!