TITISAN DARAH UNTUK PENGAMPUNAN DOSA

Apa ‘dividen’ yang ditawarkan dari Allah kepada mereka yang melakukan ibadah korban?

Ibadah korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah s.a.w., di mana baginda sentiasa menggalakkan para sahabat melaksanakan ibadah korban. Ia mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat.

Terdapat banyak hadis mengenai ibadah korban, sebagaimana sabda  Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah daripada mengalirkan darah (iaitu menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu.” (HR Imam at-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya berjudul Mughni al-Muhtaj, hukum ibadah korban adalah sunat muakkad. Manakala bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut ;

1.Beragama Islam

2.Baligh dan berakal

3.Bebas/merdeka

4.Mempunyai kemampuan (iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq).

 

APA HIKMAHNYA?

1.Memperingati Kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, beliau berkata, para sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya, “Wahai Rasulullah s.a.w., apakah yang terdapat pada korban itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya  yang bermaksud, “Ia adalah sunah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi, “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.”  Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.”

 2.Menyemai Sifat Bertanggungjawab

 Memupuk sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki kepada golongan fakir miskin dan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha. Menangkis sifat mementingkan diri sendiri semata -mata tanpa menghiraukan orang lain dalam hidup kita.

3.Mencontohi Sifat Terpuji Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

 Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah s.w.t.

4.Menghindarkan Sifat Kedekut

Melatih dan membentuk orang Islam khususnya supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah s.w.t. demi kepentingan orang lain. Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Haj ayat 36 yang bermaksud, “Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).”

APA ISTIMEWANYA BILA MELAKUKAN IBADAH KORBAN?

1.Diampunkan Dosa

Titisan darah korban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. Imran bin Hushain r.a. berkata kepada Sayyidatuna Fatimah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagi mu di atas dosa-dosa mu yang telah lalu.” (HR al-Hakim)

2.Mendapat Kebaikan (Hasanah)

Kebaikan (hanasah) atau kebajikan dikurniakan kepada orang yang melaksanakan ibadah korban. Definisi kebaikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza dalam kalangan para ulama ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’. Antaranya: Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti kesihatan, keselamatan, tempat tinggal yang luas, isteri yang solehah, rezeki yang banyak dan sebagainya.

Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah memasuki syurga dan semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu. Menurut al-Qadhi al-‘Iyadh rahimahullah, maksud hasanah itu ialah nikmat iaitu sama ada nikmat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat ataupun nikmat terpelihara daripada seksaan.

3.Ganjaran daripada Titisan Darah Korban

Darah korban yang mengalir ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t., Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah s.w.t. melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya. Maka  Allah s.w.t. akan memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, perelokkanlah ibadah korban kamu.” (HR at-Tarmizi)

4.Dimurahkan Rezeki

Melalui pelaksanaan ibadah korban juga, kita akan dimurahkan rezeki hasil daripada membelanjakan harta kita pada jalan Allah s.w.t. semata-mata. Maka Allah s.w.t. akan menggandakan rezeki kita melimpah-ruah. Boleh jadi diberi rezeki harta, keluarga bahagia, jiwa yang tenang, anak-anak soleh dan solehah, kelapangan dalam hidup dan rezeki kesihatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan ibadah kita yang dilakukan semata-mata kerana-Nya.