TEROWONG RAHSIA DI KELLIE’S CASTLE

Siapa pernah pergi ke Kellie’s Castle di Batu Gajah, Perak? Pernah dengar kisah laluan rahsia di rumah agam ini?  Begini kisahnya…

Selepas orang kaya Kellie mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya bernama Agnes pada tahun 1903, pasangan ini telah dikurniakan seorang puteri bernama Helen pada tahun berikutnya. Kehadiran Helen telah menambahkan kebahagiaan mereka. Namun, Kellie masih mengharapkan seorang lagi cahaya mata lelaki bagi mewarisi legasi perniagaannya di tanah Melayu.

Setelah lebih daripada satu dekad, impian pasangan ini akhirnya tercapai apabila Agnes telah melahirkan seorang putera pada tahun 1915. Bayi tersebut telah dinamakan sebagai Anthony.

Kelahiran Anthony telah dianggap sebagai kemegahan empayar William Kellie Smith di Tanah Melayu. Kellie telah merancang untuk memperluaskan rumahnya sempena kelahiran Anthony dan menjadi sebuah rumah agam mewah di tengah-tengah ladang getah miliknya.

William Kellie Smith

Perancangan pembinaan rumah itu dibuat dengan rapi, dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan, termasuklah sebuah laluan rahsia bawah tanah. Bagaimanapun, selepas kematian Kellie, pembinaan tersebut telah dihentikan serta-merta. Manakala, balunya Agnes bersama dua orang anak mereka telah kembali ke Scotland.

Walaupun rumah agam mewah ini tidak berjaya disiapkan, namun legenda mengenai terowong rahsia di bawahnya telah mendapat perhatian masyarakat setempat. Dikatakan sebahagian besar harta milik orang kulit putih itu, termasuklah keretanya dikatakan masih tersimpan di dalamnya.

Berdasarkan kepada teori sejarah, legenda terowong misteri ini dikatakan sesuatu yang sahih dan masih wujud sehingga kini, apatah lagi disebut bahawa ada beberapa orang saksi yang telah melihat sendiri keadaan di dalam laluan rahsia berkenaan.

Antara saksi utama ialah seorang lelaki Eropah yang pernah berkunjung ke rumah agam itu sekitar tahun 1960-an. Lelaki tersebut menceritakan bahawa bahagian dalamnya yang berkeluasan seperti gelanggang bola keranjang. Pada ketika itu, kereta milik Kellie masih lagi tersimpan rapi tanpa sebarang cela.

Ketika era pendudukan Jepun pula, rumah ini pernah menjadi markas tentera negara matahari terbit itu. Pada ketika ini jugalah cerita berkaitan laluan rahsia ini terbongkar apabila seorang rakyat tempatan pernah melaluinya untuk mengelak daripada ditahan oleh tentera Jepun. Malah, ada juga pihak yang mendakwa runtuhan tanah turut berlaku di bahagian dalam terowong berkenaan apabila terkena tempias ledakan b0m daripada pasukan tentera Jepun itu.

Kini laluan tersebut sudah tertimbus dan usaha untuk menggalinya semula tidak dapat dilakukan kerana faktor tanah runtuh dan sebagainya.

Selain daripada kisah terowong bawah tanah, rumah ini juga turut melambangkan sebuah kisah cinta yang agung. Jika diimbau kembali sejarah lampau, Kellie membina istana impian ini atas dasar cinta yang mendalam terhadap isterinya. Kisahnya persis kisah Taj Mahal di India.

Dalam masa yang sama, Kellie mempunyai ketaasuban yang tinggi terhadap budaya India. Sehinggakan, istana idamannya itu dibina mengikut reka bentuk istana Moghul yang terletak di bandar Agra, India.

Untuk memenuhi impiannya itu, Kellie telah menggunakan khidmat pekerja buruh dari Madras berserta bahan-bahan binaan seperti batu-bata dan seramik yang diimport khas dari India. Semua ini dilakukan untuk mengekalkan ciri-ciri seni bina India yang asli.

Bagaimanapun, semasa pembinaannya, wabak penyakit Spanish Flu telah merebak sehingga menyebabkan ramai pekerja pembinaan meninggal dunia. Disebabkan itu, sebuah rumah ibadah dibina sebagai kepercayaan untuk menghindari penyakit berkenaan.

Sehinggalah pada tahun 1926, kerja-kerja pembinaan rumah ini telah dihentikan selepas kematian Kellie. Beliau meninggal dunia di Lisbon, Portugal akibat penyakit radang paru-paru.

Rumah ini dirangka dengan kelengkapan yang sangat sempurna. Selain mempunyai 14 buah bilik, ia turut dilengkapi dengan sistem lif yang menghubungkan sayap kanan rumah berkenaan sehingga ke tingkat yang paling tinggi. Di tingkat dua, Kellie merancang untuk membina gelanggang tenis, manakala di tingkat yang paling atas pula ialah tempat untuk bersantai.

Tapi sayang, selama 11 tahun kerja-kerja pembinaan dilakukan, hanya kira-kira 70 peratus daripada pelan asal yang berjaya disiapkan.