KISAH TELAGA ANEH YANG MENYUMPAH SEMUA OBJEK MENJADI BATU

Merupakan salah satu tarikan pelancong tertua di England, ‘Petrifying Well’ digambarkan sebagai sebuah telaga kuno yang ‘menyumpah’ apa saja objek menjadi batu.

Terletak di tebing Sungai Nidd, berhampiran bandar Knaresborough di North Yorkshire, telaga ini disifatkan misteri sejak zaman dahulu. Orang-orang terdahulu percaya bahawa telaga ini telah menerima sumpahan daripada roh-roh jahat sehingga apa saja benda yang menyentuh airnya akan berubah menjadi batu.

Siapa pun yang pernah sampai ke Petrifying Well pasti akan berasa takjub dan kagum. Betapa tidak, segala sesuatu seperti daun, ranting, bahkan burung mati, hampir semua sudah tidak berupa seperti keadaan asalnya. Masing-masing kaku dan mengeras seperti batu. Bentuk telaga yang berupa seperti tengkorak gergasi turut menguatkan kepercayaan orang ramai bahawa apa saja yang menyentuh air di situ akan berubah menjadi batu.

Bentuk telaga ini yang kelihatan aneh.

Berabad-abad lamanya fenomena aneh itu diyakini kebenarannya oleh penduduk setempat. Keyakinan itu bertambah selepas mereka mendakwa melihat sendiri fenomena tersebut. Benda-benda seperti anak patung, tongkat, cerek, basikal, stoking dan kasut dikatakan perlahan-lahan bertukar menjadi batu hanya dalam masa beberapa minggu. Selain itu, topi Victoria yang ditinggalkan di situ dari tahun 1853 yang menjadi batu juga boleh dilihat sampai ke hari ini.

Topi Victoria yang ditinggalkan dari tahun 1853 berubah menjadi batu setelah terkena air telaga ini masih dapat dilihat hingga ke hari ini.

Seorang pengunjung bernama Monty White, menyatakan dalam laman webnya bahawa apabila melihat fenomena itu, dia mendapati proses untuk setiap objek yang bertukar menjadi batu adalah berbeza-beza. Pada pendapatnya, benda tidak berliang seperti topi mungkin mengambil masa sehingga 18 bulan sebelum bertukar menjadi batu. Manakala objek berliang besar seperti patung beruang pula dikirakan berubah hanya sekitar enam hingga 12 bulan.

Sebahagian objek yang sudah bertukar menjadi batu.

Mengapa perkara itu terjadi?

Telaga kuno ini dahulunya dikenali sebagai ‘Dropping Well’. Penduduk percaya bahawa kuasa jahat telah menyihir tempat itu menyebabkan air telaga merubah apa pun di sekitarnya menjadi batu. Orang-orang yang pernah melihat proses itu hidup dalam ketakutan sehingga tiada seorang pun yang berani mendekati apatah lagi menyentuh air telaga tersebut.

Akan tetapi, cerita tentang keanehan telaga ini telah disangkal oleh seorang lelaki Inggeris bernama John Leyland. Bantahan itu bermula selepas King Henry VII menugaskan beliau untuk meneroka dan meneliti hal anomali itu pada tahun 1538.

Daripada pemerhatian yang dijalankan, Leyland tidak menemui sesuatu yang pelik pada air telaga itu. Sebaliknya memberitahu bahawa air tersebut sebenarnya mempunyai khasiat untuk menyembuhkan penyakit. Kenyataannya itu turut dipersetujui oleh sebahagian ahli saintis moden. Penemuan itu membuatkan ramai orang berpusu-pusu ke situ untuk mandi dan meminum air kerana percaya air telaga memiliki kuasa penyembuhan.

Pada tahun 1630, King Charles I menjual Petrifying Well dan tanah di sekitarnya kepada seorang lelaki tempatan bernama Sir Charles Slingsby. Pada masa itu, Petrifying Well sudah pun terkenal dan Slingsby bercadang mahu mewujudkan program lawatan ke tempat itu kepada orang ramai. Ideanya itu tanpa disedari telah menarik lebih ramai pengunjung luar datang ke England.

Sebahagian objek yang telah bertukar menjadi batu dari telaga ini yang dipamerkan untuk tontonan awam.

Sejak popular, ramai ilmuwan tampil untuk memecahkan misteri air telaga Petrifying Well. Namun, tiada satu pun kepastian yang diperoleh untuk menjelaskan tentang keadaan itu. Hanya dalam tempoh 150 tahun terakhir ini, analisis saintifik sampel air mendedahkan keajaiban itu adalah disebabkan proses ‘petrification.

Dalam bidang ilmu geologi, ‘petrification’ atau ‘petrifaction’ ialah proses di mana bahan organik menjadi fosil melalui penggantian bahan asal dan mengisi ruang liang asal dengan mineral. Petrification berlaku melalui gabungan dua proses yang serupa iaitu permineralization dan penggantian. Proses-proses ini kemudian menghasilkan replika spesimen, serupa dengan yang asal.

Dalam kes telaga aneh ini, air telaga di situ didapati mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi yakni terdiri daripada kuarza, kalsit, pirit, besi karbonat dan kalsium fosfat. Apabila larutan mineral dari bawah tanah ini dibiarkan mengalir dan mengisi liang serta rongga spesimen selama satu minggu atau sebulan, objek itu secara alami diselaputi mineral atau berupa molekul batu.

Berbanding dengan stalaktit atau stalagmit, proses petrification dikatakan berlaku dengan sangat cepat. Yang pasti, proses itu merupakan fenomena semula jadi dan tiada kaitan dengan kuasa sihir mahupun seperti mana yang dipercayai ramai sebelum ini.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!