REPLIKA ANEH PENANDA KUBUR

Lazimnya, kubur akan diletakkan batu yang berfungsi sebagai penanda tempat pengebumian si mati. Dan ia juga berupa maklumat yang tertera seperti nama si mati dan tarikh kematiannya.

Namun berbeza bagi sebuah kubur di Ufa, Rusia. Tapak perkuburan Yuzhnoye menyaksikan kehadiran sebuah binaan aneh di atas kubur seorang wanita. Kubur itu tidak dipasang penanda batu seperti kebiasaanya, tetapi dipasang sebuah replika besar menjadikan kubur wanita tersebut paling menonjol di antara kubur-kubur lain. Semuanya disebabkan oleh saiz objek yang besar selain memiliki bentuk unik.

Replika itu diperbuat dalam bentuk telefon pintar jenama terkenal berwarna hitam.  Uniknya, pada bahagian skrin objek diletakkan foto seorang perempuan. Menurut portal berita di sana, kubur tersebut dimiliki oleh seorang wanita berusia 25 tahun, bernama Rita Shameeva yang meninggal dunia pada Januari 2016 atas sebab yang tidak diketahui.

Replika tersebut diperbuat daripada basalt dan memiliki ketinggian lima kaki. Pembinaan replika itu dibuat khas oleh ayahnya, Rais Shameeva sebagai tanda memperingati si anak.

Dikatakan ketika hayatnya, wanita ini gemar mengembara dan sangat sukakan telefon pintar. Jadi, batu penanda  istimewa ini sedikit sebanyak mengabadikan barang kegemaran Rita semasa hidup.

Bukan itu saja, terdapat kod QR yang diletakkan pada permukaan batu kubur tersebut. Tidak banyak maklumat diperoleh media tempatan mengenai si mati dan keluarga. Tambahan lagi, bapa Rita tidak mahu bercerita panjang tentang anaknya termasuk punca kematian. Pun begitu, replika aneh berkenaan masih mendapat perhatian orang ramai terutama pengunjung yang melawat tapak perkuburan di situ. Mereka menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa kerana tidak ada binaan seumpama itu pernah dilihat sebelum ini.

Rekaan ke atas replika itu dipercayai datang dari sebuah syarikat Siberia yang menawarkan aksesori kematian. Menurut perekanya, Pavel Kalyuk, pada peringkat awal pembuatan monumen berkenaan dilakukan bertujuan untuk menarik perhatian orang. Walau bagaimanapun, selepas mempamerkan karyanya di pameran pengebumian di Novosibirsk, mereka mula menerima tempahan daripada pelanggan.

Selain replika telefon pintar ini, terdapat sebuah lagi taman perkuburan di bandar kecil Sapanta, Romania yang turut memiliki hiasan batuan aneh pada kubur. Menariknya, bukan satu tetapi keseluruhan tempat menanam mayat ini dihias dengan ceria. Tanah Perkuburan Merry tersenarai sebagai tapak pengebumian indah dan terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan.

Lebih 600 kubur berada di lokasi berkenaan. Menariknya, setiap kubur dibina dengan batuan bercorak manusia yang menceritakan tentang si mati. Antaranya seperti gambar petani, peguam malah pemandu kenderaan juga didapati terpapar pada batu nisan bersaiz besar pada setiap kubur. Tujuan lokasi ini diwujudkan dengan keadaan sedemikian untuk menghidupkan suasana gembira di tempat yang sinonim dengan kesedihan seperti ini.

Kesemua replika unik dicipta sendiri oleh seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Stan Ioan Pătraş yang terlibat aktif dalam pembuatan batu tanda untuk kubur sejak berumur 14 tahun. Perkembangan karya miliknya terus mendapat perhatian masyarakat tempatan. Pelbagai unsur seni dimuatkan dalam setiap hasil kerja yang dibuat. Antaranya seperti lukisan haiwan yang mempunyai maksud tersendiri. Contohnya merpati melambangkan jiwa dan burung hitam membawa makna kematian tragis.

Sementara itu, warna-warna yang terlibat juga mengandungi maksud tertentu. Hijau membawa makna kehidupan dan kuning melambangkan kesuburan. Tidak hanya itu, rona merah pula menjadi bukti keghairahan dan hitam untuk kematian. Kebanyakan warna akan dipadankan dengan biru yang mewakili harapan, kebebasan dan langit. Untuk makluman, Pătraş meninggal dunia pada tahun 1977 setelah mengukir batu tanda untuk kuburnya sendiri.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!