SUNGAI DARI SYURGA

SUNGAI DARI SYURGA – Itu gelaran bagi sebatang sungai bernama ‘Cano Cristales’ yang terletak di utara Colombia. Sesuai dengan jolokannya, sungai ini diiktiraf antara sungai yang tercantik di dunia.

Cano Cristales merupakan sungai berukuran 20 meter lebar dengan panjangnya tidak melebihi 100 kilometer. Punca airnya dari sebuah gunung yang terletak di Taman Negara dan Pemeliharaan Colombia. Ia merentasi empat wilayah iaitu Mesetas, Vista Hermosa, San Juan de Arama dan Puerto Rico.

Batuan yang menghiasi sungai ini mencapai usia 1200 juta tahun, yang mana ia antara batuan tertua di dunia. Di sungai ini juga boleh ditemui 10 jenis haiwan amfibia dan 43 jenis reptilia yang sukar dijumpai di kawasan lain.

Kerana keindahan pemandangan serta kepelbagaian lumut, alga dan hidupan, Cano Cristales telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Biologi dunia.

Aliran air Cano Cristales kelihatan sama seperti sungai-sungai lain. Airnya jernih dengan arus deras yang menghempas batu serta dikelilingi tumbuhan yang menghijau. Ketika hari hujan, air jernihnya bertukar keruh apabila keladak pasir yang mendap di bahagian dasar mula naik ke atas.

Tetapi istimewanya sungai ini, dalam jangka beberapa hari ketika akan berlakunya pertukaran musim, arus sungai ini berubah secara drastik menjadi arus yang berwarna-warni. Airnya yang jernih bertukar kepada biru, merah, hijau, kuning dan kombinasi antara empat warna terbabit. Transformasi fenomena ini sangat menakjubkan, seakan-akan terdapat pelangi di bawah sungai ini.

Sebenarnya, fenomena unik ini bukanlah disebabkan warna air sungai itu berubah, sebaliknya ia terjadi kerana alga dan lumut yang melekap pada batuan sungai tersebut. Dalam bahasa mudah,  air sungai Cano Cristales tetap jernih, tetapi alga dan lumut yang pelbagai warna yang terkena pancaran matahari telah menjadikannya seperti sungai pelangi.

Menurut Dr. Andres Hurtado, penyelidik sains dari Pusat Penyelidikan Hugo W. Moser, Institut Kennedy Krieger, Colombia, fenomena ini asasnya bergantung kepada pancaran cahaya matahari. Dalam jangka waktu pertukaran antara musim basah dan kering, air sungai berada pada peringkat surut.

Ketika itu, cahaya matahari akan menghangatkan lumut dan alga yang berada di bahagian dalam sungai, sehingga tumbuhan dalam air itu akan melalui proses semula jadi yang menyebabkan warnanya menjadi lebih terang.

Warna merah yang dominan di dalam sungai itu berasal dari sejenis rumpai ‘Macarenia Clavijero’. Manakala empat warna lagi iaitu biru, hijau, kuning dan hitam adalah dari empat jenis alga yang berbeza. Apabila berlaku keseimbangan elemen yang sempurna, ia menghasilkan pemandangan yang sangat indah, ibarat seperti sebuah lukisan.

Selain menjadi penyelidik, Dr. Andres Hurtado juga merupakan orang pertama menemui keindahan alam ini dan memperkenalkannya kepada dunia sekitar tahun 1980-an.

Namun, untuk sampai ke tempat ini bukannya mudah kerana lokasinya yang sangat terpencil di daerah Meta. Untuk sampai ke sungai ini, anda perlu terlebih dahulu pergi ke kota berdekatan iaitu La Macarena. Dari situ, anda hanya ada dua pilihan sama ada berjalan kaki atau menaiki haiwan tunggangan seperti kuda atau keldai. Tidak ada kenderaan yang mampu masuk ke kawasan berkenaan kerana jalannya adalah sebuah denai yang curam, sempit dan berbahaya.

Sehingga hari ini, jumlah pelancong yang telah melawat ke sungai itu terlalu sedikit. Malah, penduduk tempatan juga masih gusar untuk meredah hutan belantara yang sangat tebal. Apatah lagi, kegiatan pengganas di kawasan ini masih membimbangkan. Faktor ini turut menyumbang kepada kemerosotan pelancong ke sungai berkenaan.