SUARA SYAITAN TERUS BERBUNYI

Ada sebuah gurun bernama ‘Moguicheng’. Daerah ini merupakan tanah tandus. Terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Xianjang, China.

Gurun ini turut popular dengan panggilan lain seperti ‘Haunted City’, ‘City of Satan’, ‘Windy City’ dan ‘Demon City’. Nama tersebut diambil kerana fenomena pelik yang berlaku di sini. Moguicheng bermaksud ‘bandar hantu’ atau ‘syaitan’.

Kawasan ini memang dikenali dengan keanehan. Siapa yang pernah sampai ke tempat ini pasti akan melaporkan perkara-perkara pelik. Mereka yang sampai di kawasan tandus ini berkata, ia seperti menjejaki dunia lain. Tiada satu pun haiwan atau tumbuhan, apatah lagi manusia hidup di sini.

Yang ada hanya dataran kering berwarna oren, dikelilingi pelbagai formasi busut atau bukit ganjil yang tidak dapat dilihat di tempat lain.

Bukit-bukit di sini terdiri daripada bermacam-macam warna seperti merah, biru, putih dan oren. Juga pelbagai saiz. Paling tinggi mencapai lebih 20 meter atau menyamai ketinggian bangunan empat tingkat. Posisinya pula tidak teratur. Ada yang berdiri tegak, senget atau bertindih-tindih.

Berdasarkan kajian sejarah, bentuk muka bumi Moguicheng asalnya tidak seaneh sekarang.

Difahamkan, semasa tempoh Cretaceous, kira-kira 100 juta tahun dahulu, tempat ini bukanlah kawasan padang pasir. Sebaliknya ia merupakan tasik air tawar yang besar di mana ada hidupan dan haiwan purba termasuk dinosaur.

Tasik itu tidak kekal lama. Air tasik mulai surut sehingga mendedahkan batuan, sedimen dan jurang. Sekitar 300 ribu hingga 700 ribu tahun dahulu, landskap asal ini diubah oleh kuasa alam menjadi pelbagai bentuk yang sangat menakjubkan.

Hari ini, ukiran semula jadi dari batuan dan longgokan tanah liat pelbagai topografi itu masih kekal di tempatnya, bertaburan di seluruh kawasan Moguicheng.

Bentuk batuan di sini juga bermacam-macam bentuk dan rupa. Ada yang menyerupai tangga, astaka, kuil, pagoda, tembok, bas dan bot. Bahkan ada juga yang berupa seperti wajah manusia, haiwan serta makhluk menakutkan.

Di samping bentuk geologinya yang aneh, dikatakan tempat ini kerap mengeluarkan bunyi misteri.

Dikatakan pada siang hari ketika cuaca cerah dan berangin, akan terdengar bunyi aneh seperti loceng dan petikan gitar. Kadangkala bunyi yang datang mirip suara manusia berbisik dan menyanyi.

Apabila waktu malam atau cuaca tiba-tiba menjadi mendung, suara yang terhasil bertukar menakutkan. Paling seram, suara itu ada kalanya mirip bunyi ngauman harimau, trompet gajah, wanita menjerit dan bayi menangis. Difahamkan, semakin kuat angin bertiup, semakin jelas bunyi-bunyi itu kedengaran.

Dari mana datangnya suara misteri itu? Itu persoalan yang telah lama menjadi tanda-tanya.

Tiada penjelasan saintifik mampu merungkai persoalan ini. Hanya pelbagai teori yang muncul. Dan teori paling popular, sudah tentu dikatakan HANTU!

Bagi penduduk tempatan, mereka percaya bunyi-bunyi aneh yang menakutkan itu merupakan suara hantu, roh dan syaitan yang muncul daripada neraka di bawah kota tersebut. Sebab itulah kenapa mereka menamakan kawasan ini sebagai bandar hantu atau bandar syaitan.

Namun, beberpaa ilmuwan yang membuat kajian di situ mengatakan ia adalah kerana faktor angin. Tiupan angin kuat yang melewati rongga-rongga batu mampu mencetuskan pelbagai jenis bunyi sehingga kedengaran menyeramkan kepada siapa pun yang mendengarnya.

Pun begitu, tiada kajian lebih mendalam berhubung perkara ini. Dan gurun di situ terus mengeluarkan ‘suara-suara syaitannya’.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!