SIAPA TUHAN? KAU PERNAH JUMPA DIA?

BOOOOMMMMMMMM…..!!!!!!!

Satu letupan kuat menggegarkan telinga. Serentak itu, suara jeritan orang ramai bergema di kawasan perkuburan tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri dan akhirnya bercempera lari. Debu tebal menggelapkan sedikit pandangan.

Apa yang berlaku? Tiada siapa dapat memberikan jawapan.

Saya, Bidin dan Wak Sok berpatah semula ke kawasan kubur. Orang ramai berdedai-dedai di belakang. Semuanya mahu tahu apa yang berlaku? Dentuman tadi cukup kuat dan menakutkan setiap penduduk yang hadir tengah hari itu.

Apabila sampai, kami terkejut melihat kubur yang baru saja dikambus setengah jam tadi, kini berlubang. Tanah lumpur bertebaran.

“Apa berlaku ni, Tok Imam?” Bidin bersuara ke arah kami yang sedang memandang ke dalam lubang yang ternganga itu. Tiada siapa menjawab.

Saya mengucap panjang. Syukur, bisik saya dalam hati apabila melihat papan keranda tidak terjejas. Penduduk kampung semakin ramai yang datang berkerumun di sekeliling kubur Allahyarham Penghulu Bakar. Masing-masing terkejut melihat kubur jenazah Penghulu Bakar yang tadi elok, kini musnah akibat letupan yang datang dari liang lahad tempat jenazah disemadikan. Semuanya bertanya, apa yang sedang berlaku?

Keadaan mula jadi hingar bingar bagai sekawan lebah menghurung sarang. Saya suruh Bidin turun ke liang kubur untuk memeriksa papan keranda dan jenazah yang baru dikebumikan.

Syukurlah… jenazah masih di situ, tapi kedudukannya beralih. Kain kapan koyak rabak, penuh dengan lumpur. Lantas saya panggil beberapa orang kariah masjid untuk membantu membetulkan semula kedudukan jenazah agar ia terus menghadap kiblat.

Aduhhhhh… lima orang cuba mengalihkan kedudukan mayat tapi tidak berdaya. Sukar digerakkan kerana terlalu berat. Selepas bersusah payah di dalam lubang bergelumang lumpur, barulah jenazah berjaya diletakkan semula pada kedudukan yang betul.

Ia dikambus semula. Sehingga selesai nisan dicacakkan, orang ramai masih belum beredar, bimbang kalau-kalau berlaku letupan lagi. Agak lama di situ, syukurlah tiada apa yang berlaku.

Berita kubur Penghulu Bakar meletup menjadi perbualan di kedai kopi, surau, masjid dan majlis kenduri. Pelbagai andaian dibuat, sehingga ahli keluarga arwah turut melenting.

Saya sangka, cerita itu tamat dalam tempoh terdekat. Tapi rupa-rupanya tidak. Ada saja kematian, orang akan menunjukkan kubur Bakar.

*****

WALAUPUN hampir lapan tahun kejadian itu berlaku, masih ada yang terus memperkatakannya. Tak kurang pula yang mengaitkan apa yang berlaku merupakan balasan Allah.

Saya bagaimanapun tidaklah sanggup membuat andaian begitu kerana hanya Allah yang tahu apa sebenarnya berlaku. Tetapi apabila saya fikir-fikirkan, mungkin ada benarnya kata-kata orang kampung itu, untuk kita jadikan pengajaran dan sempadan.

Siapa yang tak kenal Bakar? Mendengar namanya saja, orang menjadi gerun dan kecut perut. Dia yang lebih dikenali ‘Jagoan Bakar’ terlalu mempercayai kuasa dan ilmu hitam yang akhirnya merubah kepercayaan dan akidah.

Dia menuntut ilmu kebal. Setelah berjaya, Bakar semakin berani. Dia sanggup meletakkan gelaran Penghulu di pangkal namanya. Kebun orang kebun dia, tanaman penduduk kampung musnah dirosakkan oleh teman-temannya jika dia tidak puas hati dengan orang itu.

Bakar menjadi semakin buas. Pantang melihat anak dara kampung habis diganggunya. Seorang imam dari kampung sebelah pernah dibelasahnya kerana cuba menasihatinya. Bakar turut bengang apabila saya nasihatkannya agar kembali ke pangkal jalan dan minta dia bertaubat.

“Kau ni sakit Bakar, biar aku tolong ubatkan,” pernah saya kata begitu. Bakar cuma ketawa mengilai sambil mengatakan saya gila.

“Cukuplah semua itu Bakar, bertaubatlah,” rayu saya pada hari yang lain.

“Tuhan? Siapa Tuhan? Kau pernah jumpa Dia?” jerkah Bakar yang berdiri di hadapan pintu rumahnya sambil memerhatikan saya dan kariah masjid di halaman. Tergamak Bakar kata begitu.

“Aku malaikat di sini!!! Kalau ada malaikat selain aku, aku bunuh semuanya!” laung Bakar tanpa menghiraukan nasihat saya dan teman yang lain.

Terus-terang saya katakan, saya menitiskan air mata apabila mendapat tahu Bakar mati mengejut tidak lama kemudian, iaitu selepas berseronok-seronok dengan rakan-rakannya di bandar.

Sampai sekarang, orang-orang tertentu yang melintas kawasan perkuburan itu mendakwa diganggu suara jeritan meminta tolong, terutama hampir tengah malam. Kawan-kawan Bakar pula sering mendengar suara seorang lelaki di luar pintu pada malam-malam tertentu, terutama kalau hujan lebat. Suara itu merintih, “Tolong… tolong… keluarkan aku dari sini!”

Sungguh besar musibah yang diturunkan Allah kepada umatnya, kata saya setiap kali cerita Bakar ditimbulkan. Oleh sebab itu, saya juga kerap menasihatkan anak-anak muda di kampung agar menjadikan kisah Bakar sebagai teladan hidup.

Kamu sembahlah Allah dan janganlah sesekali kamu mempersekutukan-Nya dengan satu pun dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang karib dan tetangga yang bukan karib, teman sejawat, orang musafir dan kepada hamba sahaya kamu. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang yang sombong dan bermegah-megah.” – Surah An Nissa, ayat 4.

 

Pencerita: Imam Drs. Safiun