SIAPA SEBENARNYA ABU NAWAS?

Ramai yang menyangka Abu Nawas adalah satu watak bodoh alang seperti watak Pak Pandir ataupun Lebai Malang. Ada juga menganggap beliau seorang penyair bijaksana dan ada pula yang menerimanya sebagai cendekiawan dungu. Tak kurang yang mendakwa Abu Nawas sebagai kaki arak, betina dan mempersendakan agama.

Siapa sebenarnya Abu Nawas?

Abu Nawas adalah penyair Arab yang dianggap sebagai seorang pelawak yang bijak melakukan tipu helah. Kisah mengenainya banyak muncul di dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang melucukan dan mencuit hati orang dewasa dan kanak-kanak.

Lantaran wataknya yang lucu itu, Abu Nawas dianggap serong dan ada kalanya dipandang hina apabila mengingatkan sikapnya yang suka meminum arak dan berfoya-foya dengan perempuan.

Di kalangan orang Arab, beliau lebih dikenali dengan nama Abu Nuwas. Mereka yang pernah berkunjung ke Baghdad, Iraq pasti berjumpa dengan sebatang jalan yang dinamakan dengan Tariq Abu Nuwas. Jalan tersebut terkenal sebagai sarang kaki-kaki arak dan pelacuran. Di sepanjang jalan itu turut dipenuhi dengan kedai-kedai arak.

Peribadi Abu Nawas seolah-olah disamakan dengan kegiatan di Tariq Abu Nuwas yang sungguh mengaibkan. Kenapa Abu Nawas dipandang sebegitu hina? Benarkah dakwaan yang mengatakan Abu Nawas adalah kaki arak serta suka berpeleseran dengan perempuan?

Kejelikan yang digambarkan terhadap Abu Nawas ternyata telah menutup segala kebaikan dan kehebatannya sebagai seorang penyair agung yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan Arab klasik. Apakan tidak, ketinggian nilai syairnya mampu meletakkan namanya sebaris dengan penyair beraliran moden seperti Basyar ibnu Burd dan Ibnu al-Rumi.

Abu Nawas atau nama asalnya Hasan bin Hani al-Hakami dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang sederhana di kota Ahwaz, ibu negeri Khuzistan pada tahun 747M. Bapanya keturunan Arab Badwi dan pernah menjadi tentera Khalifah Marwan II, manakala ibunya, Gullaban pula berketurunan Parsi.

Seperti yang digambarkan di dalam kitab Zahru al-Adab, Abu Nawas adalah seorang lelaki segak lagi tampan. Wajahnya putih bersih, menyenangkan hati setiap orang yang memandangnya. Abu Nawas juga seorang yang bijak berkata-kata dan cekap menjawab persoalan yang diajukan kepadanya tetapi perilakunya agak kasar.

Setelah kematian bapanya, Abu Nawas bersama ibunya pergi ke Basrah dan mendapat pendidikan awal di sana. Abu Nawas seorang murid pintar sehinggakan guru syairnya, Walibah bin al-Hubab cukup menyenanginya.

Abu Nawas pernah menghadiri pengajian al-Quran dengan Yaakub al-Hadhrami dan menelaah pelajaran hadis dari beberapa orang syeikh antaranya Ibnu Ziyad dan Yahya al-Qattan. Abu Nawas juga tidak ketinggalan mendalami ilmu nahu dari ulama seperti Abu Ubaidah dan Abu Zaid bin Thabit.

Abu Nawas kemudiannya berpindah ke Kufah dan mempelajari syair dari Khalaf al-Ahmar. Selepas tamat belajar Abu Nawas mengembara ke kawasan padang pasir dan bergaul dengan golongan Arab Badwi bagi memperkayakan bahasa Arabnya. Walaupun Abu Nawas berketurunan Arab-Parsi, kemampuannya menguasai bahasa Arab sungguh menakjubkan.

Al-Jahizh turut kagum dengan kepandaian Abu Nawas berbahasa Arab sehinggakan beliau memujinya dengan berkata, “Aku belum pernah mengetahui seorang yang sangat pandai dalam bahasa Arab melebihi Abu Nawas.”

Seperti ilmuwan dan penyair yang lain, Abu Nawas juga memilih kota Baghdad sebagai gelanggang untuk menggilap bakatnya. Ini kerana pada ketika itu, Baghdad menjadi pusat penyebaran ilmu yang terkenal.

Zaman kegemilangan Abu Nawas mula memuncak dan bait-bait puisinya yang bermutu menawan hati setiap warga Baghdad. Abu Nawas juga diberi penghormatan yang tinggi oleh Khalifah Harun al-Rasyid.

Salah satu daripada himpunan syair Abu Nawas yang terkenal ialah Hikayat Abu Nuwas. Di dalamnya terdapat kisah Abu Nawas yang amat melucukan seperti kisah beliau memperdayakan khalifah, orang kenamaan seperti Perdana Menteri dan kadi serta para saudagar.

Penipuan dan kelucuan tersebut sebenarnya bukanlah melambangkan kedunguan Abu Nawas, sebaliknya merupakan sindiran dan kritikan terhadap khalifah serta pembesar kerajaan yang asyik bersuka ria dan hidup berpeleseran tanpa menghiraukan kesusahan yang dideritai oleh rakyat.

Malah sikap khalifah yang hanya tinggal di istana menyebabkan beliau tidak dikenali oleh rakyat dari golongan marhaen sehinggakan pernah satu ketika Khalifah Harun al-Rasyid ditampar oleh seorang Yahudi yang tidak mengenalinya. Di dalam hikayatnya, Abu Nawas menyentuh soal sikap ketidakadilan pembesar negeri yang lain.

Walaupun Abu Nawas adalah seorang ilmuwan yang wajar dihormati, namun peribadinya goyah dan jiwanya bertukar menjadi liar. Syair-syair Abu Nawas tentang arak dan hiburan mula muncul setelah dia mendampingi khalifah dan golongan istana. Kebetulan pula ketika itu budaya mungkar seperti arak dan perempuan sudah merebak di kalangan orang istana serta pembesar kerajaan.

Namun begitu, tidak kesemua syair tentang pemujaan arak, homoseksual dan perempuan yang disandarkan kepada Abu Nawas itu betul. Lagipun, Abu Nawas sendiri tidak pernah mengumpul dan membukukan syair-syairnya yang masyhur. Oleh yang demikian, banyak karyanya hilang terutamanya syair yang ditulis semasa berada di Mesir.

Dalam pada itu, Hamzah al-Isbahani turut menafikan dakwaan yang menyatakan Abu Nawas bercinta dengan ramai wanita. Sebenarnya nama-nama wanita yang dikaitkan dengan Abu Nawas muncul di dalam syairnya sahaja dan wanita tersebut tidak wujud sama sekali.

Pun begitu, syairnya tentang wanita sangat sedikit berbanding dengan kasidah tentang keasyikannya di zaman kanak-kanak. Malah Abu Nawas dikatakan tidak pernah jatuh cinta kecuali dengan seorang hamba sahaya yang cantik rupawan bernama Jannan dan akhirnya Abu Nawas dikatakan berkahwin dengan hamba tersebut.

Bagaimanapun Abu Nawas tetap dikatakan tidak terlepas daripada ketagihan arak dan homoseksual. Abu Nawas menjelaskan bahawa keinginannya tidak akan boleh diperbaiki sehinggalah beliau masuk ke liang lahad.

Akhirnya Abu Nawas telah dipenjarakan di zaman pemerintahan Khalifah al-Amin kerana keengganannya mematuhi arahan supaya meninggalkan tabiat meminum arak. Abu Nawas masih bercita-cita memohon keampunan daripada Allah, bahkan beliau yakin Allah tidak akan menyeksanya begitu sahaja.

Di akhir hayatnya, Abu Nawas mula menulis syair-syair yang menyentuh tentang soal kematian, kezuhudan dan meninggalkan perbuatan yang mendatangkan syahwat. Setelah bertaubat, Abu Nawas banyak meninggalkan pesanan agar membuat persediaan untuk hari akhirat dengan memperbanyakkan takwa serta amal soleh.

Hingga ke hari ini pun, kita masih perlu mencetak syair-syairnya setelah diteliti keaslian syair tersebut. Malah riwayat hidup Abu Nawas harus ditulis semula bagi membersihkan dirinya daripada kisah yang tidak benar.

Cerita palsu mengenai Abu Nawas memberikan imej buruk pada dirinya di mata para pembaca malah lebih mendekatkan wataknya sebagai seorang pelawak berbanding sebagai seorang penyair agung.

Sumbangan Abu Nawas terhadap perkembangan sastera dan budaya Arab tidak harus disisihkan begitu sahaja. Karya puisi gubahannya cukup berharga dan perlu digarap kembali menjadi warisan ummah.