SEMADIKAN AKU DI SEBELAH AYAH

Benarlah kata orang, kalau sudah jauh tersesat, sukar untuk mencari jalan pulang. Aku sudah salah langkah seawal usia 18 tahun. Walau puas ibu dan ayah menasihati, tidak sedikit pun meninggalkan kesan.

Aku degil, kononnya mahu mencari haluan sendiri. Dalam usia sementah itu, aku sudah berani melakukan macam-macam jenayah kerana pengaruh kawan.

Apa saja kerja haram yang tidak aku buat. Jaga pusat judi, samun kereta mewah, seludup perempuan dari negara jiran, dan macam-macam kerja haram yang aku buat. Soal dosa, halal haram tiada dalam kamus hidup.

Namun seperti kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, aku akhirnya diberkas polis. Segala bukti jenayah dan kesalahan aku sudah cukup untuk mencampakkan aku ke penjara.

Jika sebelum itu, aku merasa hebat dan tidak pernah berasa takut, walaupun dengan Tuhan! Tapi bila berada di kandang mahkamah, pertama kali hati aku rasa takut dan berdebar. Jantung berdegup laju.

Akhirnya, air mata aku tumpah saat hakim menjatuhkan hukuman.  Lebih menyedihkan bila aku tatap wajah ibu dan ayah. Mata mereka berkaca. Walaupun aku ‘anak tidak guna’ namun mereka tidak pernah membuang aku, bahkan sentiasa sabar mendoakan aku.

Apabila dunia aku bertukar hanya di penjara, ia sesuatu yang amat asing. Perlahan-lahan aku memaksa diri untuk menerima dunia baru ini.

Ustaz ajar aku mengucap semula dua kalimah syahadah, kalimah yang sudah begitu lama tidak aku tuturkan. Aku diajar istighfar, fardu ain, solat, puasa dan mengaji. Ya, aku terpenjara di sini, tapi aku mula temui sesuatu yang sebelum ini terbenam jauh dalam jiwa aku. Sesuatu yang sukar untuk aku ungkapkan. 

Aku berterima kasih pada Tuhan kerana mencampakkan aku ke penjara. Kerana di sini baru aku kenal erti taubat, bertemu semula rohani yang selama ini tenggelam dalam jiwa yang bernafsukan syaitan.

Aku mula kenal tikar sembahyang. Di atas sejadah, aku menangis sepuas-puasnya menyesali dosa yang telah dilakukan. Aku mula merasai nikmatnya ibadah dan melihat kemuliaan Ilahi. Terbang segala kemegahan dan keegoanku sebelum ini sebagai orang yang digeruni.

Aku memasang angan, alangkah indah andai dapat mengimami solat jemaah bersama keluarga. Tapi ia tidak kesampaian apabila ayah menghembuskan nafas dan aku tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Itulah kenyataan pahit yang paling membekas di hati aku hingga ke hari ini.

Bergelar banduan mungkin pengalaman yang tidak diinginkan sesiapa pun, namun merubah diri aku kembali ke pangkal jalan. Dosa aku terlalu banyak, rasa seakan tidak akan terampun oleh Tuhan. Apabila fikiran kusut, aku baca surah al-Baqarah sambil mendalami maksudnya. Kumohon pada- Nya agar diampunkan dosa ini dan dosa kedua orang tua ku.

Buat ibu, aku mohon maaf atas kesalahan yang pernah aku lakukan. Sungguh yang jahat itu datang daripada diri aku sendiri, bukan salah ibu.

Apabila menziarahi pusara ayah, hanya bacaan Yasin yang mampu aku sedekahkan. Di tepi kubur ayah, aku berjanji akan berubah menjadi manusia berguna, tidak lagi kembali ke jalan hitam itu.

Adakalanya aku sedih melihat muda mudi hari ini yang sudah terpesong jauh. Tapi siapa aku untuk menegur mereka, bahkan aku juga pernah melakukan dosa serupa.

Di tepi kubur ayah, sebelum melangkah pergi, aku sempat berbisik, sekiranya aku menghembuskan nafas nanti, aku mahu disemadikan bersebelahan ayah.  Ya Allah, makbulkanlah doa hambaMu ini!

 

Catatan : Pendosa Silam

 

#xmastika