ROH MANUSIA HANYA SEBERAT 21 GRAM?

Sejak berkurun lamanya, manusia percaya tentang kewujudan roh. Kombinasi roh dan jasad membuatkan manusia mampu untuk berfikir, bergerak dan melakukan apa sahaja dalam lingkungan kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, apabila terpisahnya roh dari jasad, manusia akan mati dan keadaan itu akan kekal selama-lamanya.

Boleh dikatakan hampir kesemua kebudayaan yang pernah wujud di dunia ini menganggap roh adalah sesuatu unsur yang mempunyai kaitan dengan konsep kehidupan selepas mati. Kebanyakan fahaman agama percaya bahawa roh manusia akan menuju ke alam barzakh untuk suatu kehidupan yang hakiki. Sekalipun mempunyai falsafah ketuhanan yang berbeza, tetapi sebahagian besar agama di dunia ini mengetengahkan konsep yang hampir serupa dalam pemahaman roh.

Sesetengah pendapat mengatakan roh hanya wujud pada manusia sahaja, manakala sesetengah pendapat lain seperti Ibnu Sina menganggap setiap jasad atau benda hidup yang bertebaran di atas muka bumi ini mempunyai roh yang tersendiri, termasuklah haiwan dan tumbuhan. Walau apa pun pendapat yang diberikan, namun apa yang pasti kewujudan roh adalah sesuatu yang ghaib dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar – sama seperti jin dan malaikat.

Sekitar satu abad yang lalu, seorang ahli fizik Amerika Syarikat, Dr. Duncan MacDougal telah melakukan kajian ke atas enam orang pesakit yang sedang nazak dan hanya menunggu masa untuk mati. Selepas keenam-enam pesakit itu menghembuskan nafas terakhir, beliau mendapati berat mereka secara konsisten telah berkurang sebanyak 21 gram. Adakah 21 gram itu nilai berat untuk roh manusia?

Dr Duncan yang melakukan kajian berat roh manusia

Dalam falsafah sains, roh dilihat sebagai suatu entiti yang seolah-olah mengekalkan bentuk sedia ada manusia. Ia seperti suatu agen penghalang yang menidakkan proses pereputan berlaku. Dengan kata lain, sekiranya roh ini terpisah, jasad manusia akan terurai secara semula jadi.

Falsafah sains juga menyatakan bahawa setiap unsur yang wujud di cakerawala ini terdiri daripada jirim, dan setiap jirim mempunyai jisim tertentu, termasuklah roh. Berdasarkan pemahaman itu, sesetengah ahli sains berpendapat bahawa kewujudan roh boleh dikaji secara saintifik.

Pada awal kurun ke-17, seorang doktor perubatan bernama Sanctorius yang berasal dari Itali telah melontarkan pendapat untuk mengungkai misteri roh manusia dengan mengukur beratnya. Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana kematian manusia dianggap sebagai sesuatu yang sensitif dalam kehidupan beragama.

Tiga ratus tahun selepas itu, iaitu pada 1906, seorang ahli fizik Amerika Syarikat, Dr. Duncan MacDougal cuba untuk merealisasikan apa yang diutarakan oleh Sanctorius itu. Beliau melakukan kajian ke atas enam orang pesakit yang sedang nazak yang hanya menunggu masa untuk mati, dan meletakkan mereka diatas alat penimbang yang sensitif.

Subjek yang dipilih oleh Dr. Duncan terdiri daripada mereka yang mengalami masalah penyakit batuk kering. Pemilihan ini dibuat kerana pesakit yang menderita masalah ini tidak akan banyak bergerak apabila hendak meninggal dunia. Justeru, sesi penimbangan akan lebih mudah dibuat dan ukurannya akan menjadi lebih tepat.

Apabila subjek pertama menghembuskan nafas terakhir, jarum penimbang telah menurun sebanyak tiga per empat ounce atau 21 gram. Begitu juga dengan pesakit-pesakit lain, berat badan mereka turut berubah secara konsisten iaitu 21 gram apabila tidak lagi bernyawa.

Selepas itu, Dr. Duncan cuba untuk melakukan perkara yang sama kepada beberapa spesies haiwan seperti tikus, kambing biri-biri dan anjing. Apa yang menghairankan ialah, tiada sebarang perubahan berat berlaku walaupun haiwan-haiwan tersebut mati.

Berdasarkan pemerhatian itu, Dr. Duncan telah mengeluarkan hipotesis bahawa roh hanya terdapat manusia sahaja, tidak pada haiwan. Kajian ilmiah itu telah diterbitkan dalam penyelidikan fizik Journal of American Society pada tahun 1907 dan turut mendapat liputan meluas akhbar New York Times.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang cuba untuk menyangkal dakwaan beliau. Mereka menyatakan 21 gram yang dinilaikan oleh Dr. Duncan sebenarnya bukanlah berat roh, tetapi ia adalah berat kandungan udara dalam paru-paru manusia dan peluh yang tersejat. Namun, ia hanya dakwaan sahaja tanpa sebarang pembuktian saintifik.

Kenyataan berat roh sebanyak 21 gram itu sebenarnya masih boleh diragui kerana sampel yang digunakan ketika kajian dilakukan adalah sedikit. Malah, kajian tersebut hanya memfokuskan kepada pesakit batuk kering sahaja.

Sepatutnya kajian tersebut perlu merangkumi skop yang lebih besar dengan faktor kematian yang pelbagai. Dalam masa yang sama, alat penimbang juga perlu benar-benar sensitif supaya dapat mengesan perubahan yang kecil. Justeru, penyelidikan yang dilakukan oleh Dr. Duncan itu masih belum boleh dianggap sebagai sebuah kajian ilmiah yang lengkap.

Sementara itu, terdapat juga beberapa pandangan ilmuwan dunia berkaitan roh manusia ini. Menurut Aiberg Weisschild, roh itu wujud di dalam bentuk gas. Albert Einstein menerusi teori fizik kuantum pula merumuskan nilai roh boleh dikira menggunakan kaedah isi padu. Sementara pandangan lain pula menganalogikan jasad dan roh umpama medan elektrik dan medan magnetik – seperti manusia dan jin yang dianalogikan sebagai proton dan elektron.

Dalam masa yang sama, Al-Quran turut menyebut perkataan roh sebanyak 21 kali. Justeru, ada pihak yang menganggap kajian Dr. Duncan yang mendapati roh seberat 21 gram adalah sahih.

Walau apa pun pandangan yang diutarakan sama ada dari agamawan atau ilmuwan, roh masih kekal misteri sehingga kini. Manusia hanya mampu mengeluarkan teori dan falsafah sahaja, tetapi belum dapat membuktikannya secara saintifik.

 “… Katakanlah (wahai Muhammad): Roh itu dari perkara urusan Tuhan ku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”(Surah Al-Isra’; ayat 85)

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!