RITUAL DIPIJAK LEMBU

Anda sanggup dipijak lembu untuk keamanan dan kemakmuran? Mesti ramai yang geleng kepala, tanda tidak mahu.

Berlainan dengan penduduk di perkampungan Bhiwadad di wilayah tengah India. Setiap tahun apabila bulan November menjelang, mereka akan berpusu-pusu memenuhi dataran bandar Ujjain.

Tujuannya hanya satu, meraikan pesta tradisi yang dikenali sebagai ‘EKADASHI’.

Tradisi ini lebih kurang macam festival. Kaum lelaki akan berbaring di jalanan dan secara sukarela membiarkan tubuh badan mereka dipijak oleh lembu!

Tradisi ini dijalankan sekali setahun yang diraikan pada bulan ke-11 mengikut takwim Lunar masyarakat tempatan. Ia diadakan sehari selepas perayaan Diwali – festival yang popular di India.

Menjelang bulan November, beratus-ratus ekor lembu akan dikumpulkan di dataran komuniti Ujjain, dalam wilayah Madhya Pradesh.

Lembu-lembu ini akan dipilih terlebih dahulu. Hanya lembu yang telah mencapai usia matang (berusia antara 4 hingga 5 tahun) sahaja akan digunakan dalam perayaan ‘Edakashi’ ini.

Ketika tradisi ini berlangsung, peserta tidak akan memakai sebarang pelindung badan. Mereka hanya berlenggeng dan membiarkan tubuh mereka dari kepala hingga hujung kaki dipijak-pijak lembu.

Memang tampak ekstrem, tapi setakat ini tiada kematian atau kecederaan parah dilaporkan pernah berlaku.

Sejarah ‘Edakashi’ ini kurang jelas. Berdasarkan cerita lisan, sambutan aneh ini telah diadakan sejak berabad lalu dan diwarisi turun-temurun oleh nenek moyang mereka.

Bagi mereka, ritual dipijak lembu ini merupakan salah satu cara mereka bersyukur dan berharap doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan. Selain itu, mereka berdoa agar perkampungan mereka sentiasa aman dan makmur.

Dikatakan pesta ‘Ekadashi’ ini mula dijalankan sekitar awal kurun ke-15. Malah, kini ia telah menjadi salah satu festival pelancongan untuk wilayah Madhya Pradesh. Setiap kali tiba bulan November, perkampungan ini akan dipenuhi dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menyaksikan keunikan tradisi ini dijalankan.

Pada hari itu, lembu-lembu akan dihias dengan inai dan bunga-bungaan berwarna terang. Kombinasi pelbagai warna membuatkan festival ini tampak meriah dan unik.

Dianggarkan lebih daripada 100 ekor lembu akan dikumpulkan dan dibahagi kepada beberapa kumpulan. Lembu-lembu ini akan diarak ke dataran untuk upacara seterusnya.

Sebelum acara kemuncak dijalankan, ketua suku akan melakukan upacara spiritual dengan memanjatkan doa kepada dewa bagi memastikan acara ini berlangsung dengan sempurna.

Setelah itu, lembu-lembu tersebut akan diberi minum alkohol atau tuak. Tanduk-tanduk lembu juga akan dikunci dengan peralatan khas supaya aspek keselamatan peserta lebih terjamin.

Setelah semua bersiap sedia, kumpulan peserta pertama akan berbaring atau meniarap di atas jalan raya secara melintang. Selepas itu, lembu-lembu akan diarak dan melalui tubuh mereka.

Peserta perlu menahan pijakan haiwan berkenaan tanpa sebarang pelindung khas. Kepala, badan, dan setiap inci tubuh akan dipijak, dan lelaki-lelaki ini perlu menahan kesakitan itu demi kemakmuran kampung mereka. Sementara para penonton pula akan bersorak gembira dan bertepuk tangan ketika ritual ini berlangsung.

Acara ini dijalankan dalam tempoh lebih kurang dua jam. Ia akan dilangsungkan pada sebelah petang, iaitu sebelum matahari terbenam. Manakala pada sebelah malam, penduduk akan berpesta dan mengadakan jamuan makan. Ia turut diselang-selikan dengan persembahan tradisional masyarakat setempat.

Nak join jadi peserta yang dipijak lembu? Ada syaratnya.

Hanya lelaki dewasa sahaja yang dibenarkan menjadi perserta. Itupun mereka harus berpuasa selama lima hari berturut-turut sebelum upacara dijalankan.

Dalam tradisi mereka, kaum lelaki diwajibkan untuk menyertai ritual ‘Edakashi’ sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Selain di Ujjain, pesta tradisi yang hampir serupa turut disambut oleh masyarakat Yadav di wilayah Bhopal.

Namun, kerana masyarakat Yadav majoritinya adalah golongan petani, mereka tidak menggunakan lembu, sebaliknya menggantikannya dengan kerbau.

Walaupun haiwan yang digunakan berbeza, motif dan ritualnya tetap sama. Tetap membiarkan tubuh dipijak haiwan-haiwan tersebut. Anda sanggup?

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!