KISAH CINTA RANGKA YANG SALING BERPELUKAN

Bercinta, berkasih dan m4ti bersama. Itulah momen indah yang sering diungkapkan oleh pasangan yang sedang bermadu kasih. Penemuan arkeologi telah membuktikan bahawa sejak zaman prasejarah lagi manusia juga telah bercinta dan sanggup untuk sehidup semati.

Pada pertengahan tahun 2007, sekumpulan ahli arkeologi dari Itali telah menemui sepasang kerangka manusia yang sedang berpelukan erat ketika melakukan ekskavasi di pinggir kota Valdaro, Mantova, Itali.

Kerangka lelaki dan perempuan itu dikatakan sepasang kekasih dari zaman prasejarah, dan kisah cinta mereka telah tertanam di situ sejak 5,000 hingga 6,000 tahun dahulu.

Kisah cinta ini telah ditemui oleh sepasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Irena Mannorti di pinggir kota Valdaro, Mantova, di bahagian utara Itali. Mereka telah menemui sepasang kerangka lelaki dan perempuan dari zaman Neolitik yang sedang berpelukan hangat dan dikatakan telah terkubur sejak 6,000 tahun dahulu.

Penemuan ini telah membuatkan kesemua ahli yang terlibat di dalam proses ekskavasi ini berasa takjub dan tersentuh hati dengan gambaran kisah cinta mereka. Bahkan, ketika mana cerita ini mula tersebar di dunia maya, kebanyakan masyarakat dunia turut memberi respons yang serupa.

Lokasi di mana rangka tersebut ditemui.

Menurut Dr. Irena Mannorti, pasangan ini telah ditemui dalam keadaan berpelukan dengan posisi kedua-duanya berbaring ke sisi. Kedudukan tengkorak menunjukkan mereka saling berhadapan, seperti sedang bertentang mata antara satu sama lain. Sementara tangan dan kaki kedua-duanya pula dalam keadaan berpaut dan terjalin erat.

Berdasarkan kepada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap kedua-dua spesimen kerangka berkenaan, pasukan penyelidik itu mendapati pasangan prasejarah berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian darah. Justeru, ini menunjukkan bahawa mereka tidak ada hubungan keluarga, sebaliknya lebih menjurus kepada perhubungan antara kekasih.

Ahli arkeologi juga sangat yakin bahawa pasangan kerangka ini telah meninggal dunia ketika kedua-duanya masih remaja. Berdasarkan kepada keadaan gigi mereka yang masih utuh, para penyelidik menganggarkan usia mereka adalah sekitar 18 hingga 20 tahun.

Selain itu, penemuan beberapa perkakas purba lain di samping kerangka berkenaan menunjukkan bahawa pasangan yang digelar sebagai ‘kekasih Valdaro’ ini berasal dari zaman batu akhir. Antara perkakas yang ditemui ialah seperti anak panah dan senjata yang diperbuat daripada batu, tulang haiwan purba serta peralatan lain seperti tembikar.

Para penyelidik juga tidak memisahkan kerangka-kerangka itu, sebaliknya mereka berusaha untuk mengekalkan kedudukan posisi pasangan ini yang saling berpelukan kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Bahkan, ketika kerangka tersebut dibawa ke Muzium Arkeologi Mantova, posisi pelukan mereka dikekalkan seperti mana ia ditemui.

Jelas Dr. Irena Mannorti lagi, pengetahuan mereka tentang Romeo dan Juliet zaman batu ini masih terlalu sedikit. Justeru, kajian lebih lanjut perlu dijalankan bagi mengungkai dan menghuraikan segala teka-teki yang menyelubungi penemuan bersejarah ini.

Ini kerana, ada indikasi yang menunjukkan bahawa pasangan ini bukannya m4ti berpelukan, sebaliknya mereka hanya dikuburkan bersama di makam prasejarah. Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti kukuh yang boleh menyokong hujah berkenaan.

Selain itu, terdapat juga spekulasi yang menyatakan bahawa berkemungkinan pasangan ini m4ti d1bunuh. Ia berdasarkan kepada sejarah kawasan Mantova itu sendiri yang memiliki banyak kisah-kisah cinta tragis. Ini termasuklah legenda kisah cinta Romeo dan Juliet yang dikatakan berlaku di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, spekulasi itu disanggah oleh penyelaras Muzium Arkeologi Mantova, Profesor Dr. Silvia Bagnoli. Berdasarkan kepada tulang rangka yang ditemui, beliau menyatakan, tiada sebarang kecederaan atau tanda-tanda yang menunjukkan pasangan ini mengalami kem4tian yang g4nas. Justeru, spekulasi yang mengatakan pasangan ini m4ati dibunuh telah ditolak.

Namun, Dr. Silvia Bagnoli tidak menolak kemungkinan sekiranya pasangan ini m4ti berpelukan dalam keadaan cuaca sejuk ataupun disebabkan oleh sesuatu wabak kerana usia ketika mereka meninggal dunia adalah sangat muda. Bagaimanapun, beliau sendiri lebih cenderung mengandaikan bahawa pasangan ini telah ditetapkan dalam posisi sedemikian selepas kem4tian mereka.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!