RAHSIA GELAS TEMBAGA SUMBING

Pernah tak anda bawa balik sesuatu barang dan kemudian gangguan aneh mula menjelma? Anda percaya atau tidak dengan kisah makhluk yang menghuni sesuatu objek?

Anda sukar mempercayainya? Begitu juga dengan saya sehinggalah satu kejadian yang berlaku pada awal tahun 2011. Ia kejadian misteri yang membuat saya membuka mata terhadap perkara begini.

Kisahnya begini…

Ketika saya sedang sibuk di pejabat dengan timbunan kerja, telefon berbunyi. Apabila diangkat, kedengaran suara anak perempuan saya di hujung talian.  “Ma..Iffa demam…” suaranya lemah. “Nanti kita ke klinik ya, rasa sakit sangat ni…” dia menyambung.

Lebih kurang pukul 6.30 petang, saya pun bergegas keluar dari pejabat. Sepanjang perjalanan pulang tidak pula saya merasa cemas kerana Iffa telah biasa demam begitu, sekejap demam sekejap kebah.

Sesampai di hadapan pintu pagar rumah, hari sudah mulai gelap. Saya memasuki rumah, sunyi sahaja keadaannya. Anak kedua saya, Izzat yang berusia 12 tahun ke surau. Manakala suami masih belum pulang lagi.

Saya memandang ke arah bilik utama, terlihat cahaya lampu di bawah regangan pintu. Saya percaya Iffa sedang tidur di dalam bilik itu, selalunya itulah yang dilakukan apabila dia demam.

Saya ke dapur, menuang air dan minum perlahan-lahan sambil menghilangkan lenguh seketika. Tiba-tiba sayup-sayup saya terdengar suara tangisan yang sayu. Pada mulanya saya tak ambil peduli, sebab merasakan itu adalah suara televisyen di ruang tamu yang sedang ditonton oleh anak bongsu, yang baru saya ambil dari rumah pengasuh tadi.

Namun tangisan itu menyusup lagi ke pendengaran, kali ini lebih kuat dan hiba. Saya mula terasa gusar. Biar betul apa yang saya dengar ni?

Saya berjalan menuju ke arah bilik utama, tangisan itu makin kuat. Rupa-rupanya suara tangisan itu adalah tangisan Iffa. Saya membuka pintu bilik dengan segera. Saya lihat Iffa bersembunyi di bawah selimut tebal sambil tangannya menunjuk ke arah pintu bilik air di dalam bilik itu.

“Ma, halau dia …halau dia!” Iffa terketar-ketar menunjukkan ke arah pintu bilik mandi. Matanya merah basah dengan air mata. Mukanya pucat.

Saya terkejut, nak halau apa? Saya memandang ke arah pintu tandas namun tiada apa di situ. Apa yang Iffa nampak agaknya?

Saya membuka selimut tebal itu. Iffa berpeluh-peluh, seluruh tubuhnya menggeletar. Saya tidak pernah melihat dia setakut itu.

“Apa yang Iffa nampak?” saya menyoal. Dia terdiam, nafasnya turun naik dengan kencang.

“Tadi lepas Asar Iffa tidur, bila terjaga nampak satu benda berselubung hitam di hujung kaki Iffa,” jawabnya terketar-ketar.

Kata Iffa, seluruh tubuh lembaga itu berselubung hitam. Ia mencangkung dan menundukkan muka. Lembaga itu bagaimanapun ghaib apabila Iffa membaca ayat Kursi. Iffa menyambung semula tidur, namun apabila  terjaga, lembaga hitam itu muncul semula. Ia mencangkung depan pintu bilik air sambil menghulurkan tangannya kepada Iffa …

“Di atas tangan lembaga hitam itu ada benda bersinar. Iffa tak tahu apa… Iffa takut sebab itulah Iffa suruh mama halau dia,” jelas anak gadis saya yang berusia 15 tahun itu sambil  menangis teresak-esak.

Saya menarik nafas panjang, antara percaya dan tidak. Saya merasa dahinya dengan belakang tangan. Panas sekali, mungkin suhu badan yang panas ini membuatkan dia meracau dan nampak yang bukan-bukan.

Selepas solat Maghrib saya menghantar Iffa ke hospital dan dimasukkan ke wad memandangkan suhu badannya yang panas mungkin boleh membahayakan. Setelah selesai urusan saya pun pulang ke rumah. Cerita makhluk berselubung hitam itu masih berlegar-legar di minda.  Saya cuba mencari jawapan yang logik namun buntu.

Pelik, sudah lapan tahun saya menetap di rumah ini, belum pernah kami sekeluarga diganggu. Namun saya perasan seminggu sebelum Iffa demam, dia ada memberitahu ternampak kelibat lembaga putih lalu di hadapan rumah kami. Iffa juga nampak kelibat lelaki tua berjalan terbongkok-bongkok di dapur rumah. Apabila dilihat kali kedua, kelibat itu hilang serta merta. Yang peliknya hanya Iffa seorang saja yang nampak.

Keesokannya saya dan suami dalam kereta untuk pergi melawat Iffa.  Dalam perjalanan, suami saya  menghentikan kereta di lampu isyarat yang terletak betul-betul di simpang tempat kerja-kerja mengorek sungai sedang dijalankan.

“Kat situ ke orang jumpa udang ketak tu, bang?” saya bertanya bila teringatkan udang ketak berwarna merah yang dibawa pulang oleh suami seminggu yang lalu. Dia mengangguk.

“Kat situ jugak kami jumpa gelas tembaga,” kata suami sambil terus memandu kereta apabila lampu isyarat bertukar hijau.

Gelas tembaga? Saya terkejut, gelas apa pula? Lantas saya teringatkan lembaga yang menghulurkan tangannya kepada Iffa dengan benda yang bersinar.

“Gelas apa bang? Di mana abang simpan?” saya mendesak dengan dada yang berdebar antara takut dan ingin tahu.

Menurut suami, gelas tembaga itu sudah sumbing dan mungkin berusia lebih 100 tahun. Ia dijumpai seseorang berhampiran tempat kerja-kerja mengorek sungai paya bakau itu dijalankan.

“Orang tu kemudian bagi gelas tu pada abang. Abang basuh gelas tu, dan simpanlah buat kenangan. Mana tau boleh jadi barang antik,” jawabnya separuh bergurau.

Jantung saya bagaikan berhenti berdegup mendengar penjelasan suami saya itu.

Darah saya berderau. Tanpa berlengah, saya terus menyuruh suami membuang gelas tembaga sumbing itu. Kata saya, mungkin gelas itulah yang Iffa nampak bersinar di atas tangan makhluk hitam tersebut.  Selagi gelas tersebut tidak dipulangkan, selagi itulah ia mengganggu Iffa.

Raut muka suami saya serta-merta berubah.  Dia setuju dengan cadangan saya. Sebaik saja memasuki kawasan parkir hospital pakar, suami saya terus meletakkan kereta. Dia turun membuka bonet kereta dan saya menurutinya. Dari dalam sebuah kotak suami mengeluarkan satu benda berbungkus dengan kertas surat khabar.

Saya membukanya dengan berhati-hati. Gelas tembaga buruk itu saya teliti. Ia telah sumbing, kelihatan lusuh dimakan masa dan kesan lama terendam di dalam air.

Gelas tembaga itu berukir indah dengan corak daun serta tulisan Arab. Dan… apa yang mengejutkan saya adalah pada tulisan Arab yang telah terhakis itu, salah satu ayatnya dieja nama ‘Iffa’!

Saya tidak dapat mengaitkan kejadian makhluk yang  mengganggu Iffa dengan tulisan yang jelas namanya ada terukir. Namun saya percaya selagi gelas berkenaan berada dalam simpanan kami, maka selagi itulah ia akan kembali kepada anak kami itu.

“Abang, tolong pulangkan gelas ini ke tempatnya,” saya menghulurkan kembali kepada suami.

Air mata saya bergenang. Bagaimana nama Iffa boleh terukir pada gelas tembaga itu? Apakah sejarah gelas tersebut sehingga ia dibenamkan di dasar sungai berlumpur itu? Adakah kerana nama Iffa ada pada gelas tersebut, menyebabkan dia nampak makhluk-makhluk itu?

Yang nyatanya, setelah gelas itu dikembalikan ke sungai, Iffa tidak lagi melihat kelibat-kelibat ganjil.

Saya bukan kata saya takut kepada hantu dan syaitan. Tidak. Sebab makhluk itu sentiasa mahu menyesatkan kita. Tetapi saya percaya setiap yang ada di dunia ini ada pemiliknya, jadi kita janganlah sesuka hati mengambil barang yang bukan milik kita.  Itu pandangan saya. Bagaimana dengan anda?

 

*Kisah dari Shazmira Shahuddin, Sungai Petani, Kedah

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!