PUTERI LINDUNGAN BULAN – Wahai bulan, jangan kau suluh sinar cahayamu…

Dalam bermacam-macam kisah hikayat puteri-puteri dalam masyarakat Melayu yang didendangkan turun temurun, salah satu daripadanya ialah Puteri Lindungan Bulan.

Jika disebut wanita berdarah putih, ia selalu dikaitkan dengan legenda Mahsuri di Langkawi. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Puteri Lindungan Bulan juga dikatakan turut memiliki darah berwarna putih.

Puteri Lindungan Bulan yang berketurunan raja ini juga memiliki kisahnya yang unik. Sebuah makam yang terletak di atas bukit kecil di Kampung Siputeh di Jitra, Kedah didakwa sebagai makam Puteri Lindungan Bulan. Makam ini bersaiz besar daripada makam biasa. Anehnya, terdapat empat pasang batu nisan yang berada di atas kubur berkenaan. Dengan kata lain, jumlah tersebut menunjukkan petak makam itu menyimpan dua jasad.

Makam Puteri Lindungan Bulan

Bercerita mengenai makam tersebut, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dato’ Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof menyatakan makam tersebut tidak hanya menyimpan jasad Puteri Lindungan Bulan. Bahkan juga jasad ayahandanya iaitu Sultan Sulaiman Syah. Penduduk kampung percaya akan pemilikan tersebut.

Dato’ Wan menjelaskan legenda ini berasal daripada cerita lisan yang berkembang di sekitar Kota Siputeh. Puteri Lindungan Bulan mengisahkan tentang seorang puteri berketurunan raja, anakanda kepada Sultan Sulaiman Syah. Sultan Melayu Kedah ini memiliki dua orang puteri dinamakan sebagai Puteri Zaleha iaitu Puteri Lindungan Bulan dan Puteri Mariam.

Di antara kedua-dua anak baginda, Puteri Zaleha disebut sebagai puteri yang memiliki darah berwarna putih. Manakala darah Puteri Mariam merah seperti manusia lain. Perkara itu menjadikan Puteri Zaleha berbeza dengan Puteri Mariam. Darah putih yang dimilikinya menyebabkan dia kelihatan unik dan namanya sentiasa disebut-sebut.

Walau bagaimanapun, kedua-dua puteri Sultan Sulaiman Syah tetap jelita rupa parasnya. Tidak hanya itu, mereka juga mempunyai perwatakan yang sopan dan lemah lembut. Meskipun begitu, kecantikan Puteri Zaleha diperkatakan lebih menawan berbanding Puteri Mariam. Pada masa yang sama, kasih sayang Sultan Sulaiman Syah lebih tertumpah kepada puteri bongsu itu. Bahkan, hubungan di antara keduanya begitu rapat sehingga tidak boleh berjauhan apatah lagi untuk berpisah.

Kisah ini turut disokong oleh Tokoh Bangsawan Kedah, Haji Murad Ibrahim yang turut menceritakan hal yang sama. Malah, menurutnya puteri berdarah putih ini dijaga dengan sebaiknya ibarat kata pepatah, ‘bagai menatang minyak yang penuh’.

Berita tentang Puteri Zaleha yang berdarah putih tersebar luas sehingga ke Acheh. Hendak dijadikan cerita, khabar mengenai Puteri Zaleha yang jelita dan menjadi sebutan itu telah menarik minat baginda Raja Acheh yang mempunyai seorang putera bernama Putera Mahkota. Baginda berkenan untuk mengambil Puteri Zaleha menjadi menantunya.

Raja Acheh cuba mencari jalan untuk meminang Puteri Zaleha untuk anaknya. Kisah mengenai Puteri Zaleha yang dikatakan tiada tolok bandingnya itu membuatkan baginda nekad menghantar rombongan bagi menyunting Puteri Zaleha. Rombongan itu tidak disertai Raja Acheh, sebaliknya diketuai oleh adindanya, Tengku Panglima Sasa.

Adik kepada Raja Acheh ini diketahui mempunyai perwatakan panas baran. Sebelum berangkat ke Kedah, Tengku Panglima Sasa telah menyatakan satu perkara. Sekiranya keluarga diraja Kedah menolak peminangan mereka, dia tidak teragak-agak untuk melakukan serangan ke atas negeri berkenaan.

Perkara itu sedikit sebanyak diketahui oleh bendahara istana pada masa tersebut. Berita itu kemudiannya disampaikan kepada Sultan Sulaiman Syah. Sultan yang berasa terkejut dan khuatir lalu menyusun strategi sebelum rombongan meminang itu tiba. Baginda tidak sanggup menyerahkan puteri kesayangannya dan dalam masa yang sama, tidak mahu Kedah menjadi padang jarak padang tekukur.

Akhirnya, kerabat diraja sepakat untuk menjadikan Puteri Mariam sebagai galang ganti dalam peminangan tersebut. Perkara tersebut hanya diketahui keluarga diraja Kedah dan menjadi rahsia istana.

Kedatangan rombongan peminangan dari Acheh disambut dan diterima baginda Sultan. Maka, berlangsunglah perkahwinan di antara Putera Mahkota dan puteri sulung Sultan Sulaiman Syah. Selepas berkahwin, Puteri Mariam dibawa ke Acheh.

Perkahwinan mereka kekal bahagia selama beberapa ketika sehinggalah terjadi satu insiden. Pada masa itu, berlangsung sebuah majlis di istana Acheh. Puteri Mariam yang sedang mengapur sirih dan mengacip pinang tanpa sengaja telah terkacip jari sendiri lalu cedera dan berdarah. Ternyata darah yang mengalir keluar tidak berwarna putih seperti yang disebutkan sebelum ini.

Peristiwa tersebut menimbulkan kemarahan Raja Acheh. Bukan saja baginda, malah Tengku Panglima Sasa turut berasa marah dan tertipu dengan perkara itu.

Akibatnya, berlaku pertelingkahan sehingga Raja Acheh membuat keputusan untuk menyerang Kedah. Sementara itu, Putera Mahkota tidak menyertai peperangan tersebut berikutan menjaga Puteri Mariam yang sedang hamil. Putera itu sanggup menerima isterinya meskipun tidak berdarah putih seperti yang dikatakan.

Dalam keadaan kucar-kacir akibat serangan Acheh, Sultan Sulaiman Syah sempat menyembunyikan Puteri Zaleha di dalam sebuah lubang kecil. Disebabkan tidak mahu anak kesayangannya dirampas kerajaan Acheh, hanya baginda dan isteri yang mengetahui lokasi persembunyian berkenaan. Sebelum meninggalkan puterinya, baginda sempat berdoa supaya Puteri Zaleha  dilindungi daripada pengetahuan orang lain.

Menurut beberapa riwayat, baginda sempat berpesan kepada Bulan – “Wahai Bulan, walau bagaimana terang sekalipun cahaya mu menerangi malam, aku mohon supaya engkau tidak menyuluh sinar mu ke tempat persembunyian anak ku”.

Dan akhirnya, berlaku perang di antara Kedah dan Acheh. Kedah menghadapi kekalahan menyebabkan Sultan Sulaiman Syah dan isteri ditangkap dan dibawa ke Acheh. Selain mereka, dikatakan beribu rakyat Kedah turut sama ditahan bersama-sama baginda sebagai tawanan.

Manakala Puteri Zaleha gagal dikesan oleh tentera Acheh sepanjang berada di tempat persembunyian. Disebabkan tiada siapa yang mengetahui lokasi berkenaan, akhirnya puteri ini meninggal dunia kerana ketiadaan makanan sebagai bekalan.

Berdasarkan peristiwa itu, maka terjawablah persoalan mengapa Puteri Zaleha digelar sebagai Puteri Lindungan Bulan. Sementara itu, Puteri Mariam turut mendapat gelaran tersendiri apabila dia dinamakan sebagai Puteri Bintang Kejora. Cuma, bagaimana nama itu diperoleh tidak begitu diketahui.

Apa yang pasti, kewujudan makam di atas bukit kecil di Kampung Siputeh bukan hanya menarik kedatangan pengunjung, bahkan mampu menyebarkan hikayat kisah Puteri Lindungan Bulan sebagai legenda yang pernah wujud di negeri Kedah.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!