WANITA DIHARAMKAN JEJAK KAKI KE SINI

Jika anda wanita, jangan mimpi hendak jejakkan kaki ke pulau ini. Sebuah pulau di Jepun melarang sama sekali kaum wanita untuk memijak pulau tersebut.

Ia adalah pulau Okinoshima yang merupakan sebuah pulau kecil terletak di wilayah Munakata, Fukuoka. Pulau ini diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pulau ini diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Hanya golongan lelaki dibenarkan datang ke pulau ini. Kaum wanita dilarang sama sekali. Mengapa? Kerana penduduk Jepun menganggapnya sebagai pulau suci yang dipenuhi dengan pantang larang.

Tidak diketahui dengan jelas mengapa hanya kaum lelaki dibenarkan melawat pulau berkenaan. Ada pendapat mengatakan ia disebabkan oleh menstruasi (haid) yang dialami oleh golongan wanita yang dikatakan mencemarkan kesucian pulau ini.

Ada juga cerita mengatakan suatu ketika dahulu, kaum lelaki dikatakan bimbang akan keselamatan wanita dan anak-anak kecil ketika mahu ke pulau suci. Mereka dianggap sebagai pembawa keturunan dan perlu dilindungi. Keadaan itu berlarutan dan wanita kekal ditegah untuk berkunjung ke pulau berkenaan hingga sekarang.

Pulau ini jarang dilawati. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa yang agak lama. Hanya sekali dalam tempoh setahun pulau suci ini menerima kedatangan pelawat lelaki iaitu pada tarikh 27 Mei. Tarikh tersebut dikatakan bersempena hari memperingati askar Jepun dan Rusia yang mati dalam pertempuran di Laut Jepun pada tahun 1905.

Satu perkara yang perlu anda tahu ialah meskipun kaum lelaki dibenarkan berkunjung ke sini, namun ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Mereka perlu bertelanjang sebelum menjejakkan kaki ke tanah pulau tersebut. Tiada seurat benang dibenarkan berada pada tubuh pengunjung. Tradisi agama Shinto yang telah lama diamalkan ini bertujuan untuk membersihkan diri selain sebagai cara menghormati kawasan suci berkenaan. Selain itu, mereka turut dilarang untuk mengambil sebarang objek untuk dijadikan cenderahati dan dibawa pulang. Malah, pengambilan foto juga ditegah sama sekali.

Pengunjung haru bertelanjang sebelum menjejakkan kaki ke pulau ini.

Bukan itu saja, pengunjung lelaki ke situ juga perlu mematuhi larangan untuk tidak bercerita tentang perihal perjalanan ke Pulau Okinoshima. Kesemua pantang larang ini disebabkan oleh penduduk tempatan yang sangat menghormati kesucian Okinoshima kerana mereka menganggap para dewa tinggal di pulau berkenaan.

Difahamkan hanya golongan beragama yang menetap secara bergilir sebagai penduduk di pulau ini. Mereka akan menetap di situ selama tempoh 10 hari sebelum bertukar giliran dengan individu lain. Secara purata, setiap pendeta akan tinggal sebanyak dua kali dalam masa setahun.

Dalam pada itu, terdapat dua buah bangunan yang dibina di pulau suci ini. Binaan itu terdiri daripada sebuah kuil yang mengandungi ruang ibadat dan juga sebuah rumah dilengkapi bilik mandi, dapur, bilik tidur dan ruang tamu.

Hanya golongan pendeta yang tinggal di pulau ini secara bergilir.

Kecantikan Pulau Okinoshima masih lagi terpelihara sehingga kini. Tersenarai sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO sebenarnya mencetuskan respons kurang menyenangkan kepada golongan pendeta yang menetap di situ. Selain melakukan upacara keagamaan, mereka juga bertindak menjaga keselamatan pulau suci daripada dicerobohi.

Bagi golongan ini, kebimbangan mereka lebih kepada kehadiran pelancong asing yang bakal mengubah keadaan asal sekiranya pulau suci ini dibuka kepada umum. Keindahan pulau yang terpelihara sejak ratusan tahun dahulu dikhuatiri rosak akibat tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Dalam masa sama, penempatan mereka sebagai tempat perlindungan terpencil turut berisiko terancam.

Sebab itu meskipun Okinoshima mendapat pengiktirafan UNESCO, golongan pendeta di situ tetap tidak akan membuka pulau berkenaan sewenangnya kepada orang awam bagi terus memelihara kesucian kawasan tersebut.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!