KISAH ADIWIRA MELAYU PANGLIMA LIDAH HITAM

Sekitar abad ke-18, ketika mana selat Melaka menjadi laluan utama perdagangan dunia, ancaman lanun sering menjadi faktor utama yang mengganggu kelancaran operasi jalan laut itu. Namun, di tengah-tengah kekalutan yang sering terjadi, telah muncul seorang lelaki yang berjaya membebaskan kawasan perairan itu dari ancaman lanun. Beliau dikenali sebagai Panglima Lidah Hitam.

Sebagai salah satu daerah yang tertua di Tanah Melayu, Muar mewarisi banyak cerita sejarah sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Salah satu rentetan sejarah yang masih menjadi buah mulut penduduk Muar ketika ini ialah mengenai kegagahan seorang pahlawan yang digelar Panglima Lidah Hitam.

Apa yang menarik, kisah ini bukan legenda atau dongeng, tetapi panglima ini diakui wujud dan memberi sumbangan yang besar dalam mempertahankan kedaulatan negara pada abad ke-18. Sumbangannya yang terbesar ialah menentang lanun yang bermaharajalela di sepanjang perairan Selat Melaka, sehingga meragut nyawanya sendiri.

Menurut catatan sejarah, Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Baginda Zahiruddin dipercayai berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera Indonesia. Beliau merupakan pengasas silat Lintau di Indonesia dan seterusnya memperkenalkan seni mempertahankan diri itu ke Semenanjung Tanah Melayu.

Ketika beliau dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji, Baginda Zahiruddin singgah di Padang (nama asal bagi kawasan Parit Sakai hingga ke Parit Jamil). Disebabkan cuaca yang agak buruk, beliau terpaksa tinggal agak lama di Padang sementara menantikan perubahan musim angin yang lebih baik untuk meneruskan pelayaran.

Di Padang, beliau bertemu dengan Orang Kaya Bauk, pemerintah Padang ketika itu. Orang Kaya Bauk telah meminta pertolongannya mengajar seni silat Lintau kepada anak-anak muda di sekitar kawasan tersebut bagi memudahkan mereka mempertahankan wilayah Padang dari ancaman lanun. Dalam masa yang sama, Orang Kaya Bauk turut meminta bantuan Panglima Lidah Hitam menghapuskan lanun-lanun yang sering mengganggu aktiviti penduduk setempat.

Pada tahun 1716, satu pertempuran hebat telah berlaku di muara Sungai Muar antara angkatan Padang yang diketuai oleh Panglima Lidah Hitam sendiri, dengan sekumpulan lanun yang bertapak di pesisir pantai Muar. Pertempuran itu telah berlanjutan selama beberapa hari dan kemenangan akhirnya berpihak kepada angkatan Padang.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang semula ke Padang, kapal yang dinaiki Panglima Lidah Hitam telah diserang bertubi-tubi oleh saki-baki lanun yang tinggal. Kapal tersebut karam, dan beliau bersama beberapa pengiringnya telah lemas di lautan.

Beberapa hari selepas itu, penduduk Parit Sakai telah terjumpa dua mayat terapung yang tersangkut pada pokok Tuak di kuala parit berkenaan. Kedua-dua mayat itu telah dibawa ke darat, dan salah satu daripadanya mempunyai lidah yang panjang berwarna hitam dan berbulu. Anehnya, mayat ini tidak busuk dan reput walaupun sudah beberapa hari terdampar di situ.

Dipercayai, Panglima Lidah Hitam telah mati dijerut terlebih dahulu sehingga menyebabkan lidahnya menjadi kehitam-hitaman. Kemudian, barulah jenazahnya dihanyutkan ke laut.

Jenazahnya itu kemudian dimakamkan di Kampung Parit Sakai, Jalan Joned, Muar, Johor. Difahamkan, selepas acara pengebumian dijalankan, telah berlaku satu perkara aneh pada keesokan harinya. Penduduk mendakwa satu batu besar telah timbul ke permukaan tanah di bahagian kepala makam. Ia berbetuk seakan-akan lidah dan mempunyai warna hitam cerah.

Dikatakan, apabila tiba malam bulan purnama, batu tersebut akan bertukar warna menjadi hitam pekat. Disebabkan keganjilan itu, penduduk setempat menganggap kawasan makam tersebut mempunyai keramat, dan ia dipanggil sebagai ‘Keramat Lidah Hitam’. Batu berbentuk lidah itu kemudiannya telah dibalut dengan kain kuning sebagai penghormatan kepada Panglima Lidah Hitam di atas sumbangannya pada penduduk setempat dalam mengekalkan keamanan.

Makam Panglima Lidah Hitam terletak di bahu jalan kampung menuju ke Parit Sakai Laut. Di bahagian kaki dan kepala makam masih tersemat kedua-dua batu besar seperti yang dikisahkan.

Makam Panglima Lidah Hitam di Johor.

Bagaimanapun, batunya berbentuk bulat, tidak berbentuk seperti lidah. Warnanya pula cerah kemerah-merahan dan dibalut kemas dengan kain kuning. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada ia benar-benar tumbuh secara semula jadi atau tidak.

Sehingga kini, makam tersebut masih utuh berdiri di Parit Sakai dan menjadi kebanggaan penduduk di sekitarnya. Disebabkan mempunyai nilai sejarah yang tinggi, ia kini diselenggarakan dengan rapi dan berada di bawah jagaan Jabatan Muzium Malaysia.