MULUTNYA TIDAK HENTI MENGUCAP KETIKA AJAL DATANG MENJEMPUT

Beberapa hari sebelum tragedi berlaku…

Selesai solat Asar, Kapten Khalid berbual-bual dengan temannya, Kapten Adnan, yang juga merupakan seorang juruterbang.

“Wahai sahabat, aku baru mengalami mimpi buruk. Dalam mimpi itu, aku berada dalam pesawat yang sedang terbakar. Aku melihat api di serata tempat. Para penumpang menjerit ketakutan. Sangat mengerikan. Apa pendapatmu?” tanya Khalid kepada sahabatnya itu.

“Kerja kita menerbangkan pesawat berdepan pelbagai cabaran dan berbahaya. Ia bukan perkara aneh. Anggaplah ia hanya khayalan. Sebaiknya berserah kepada Tuhan,” hanya itu kata-kata dilontar Adnan untuk menenangkan sahabatnya itu.

Rupa-rupanya, apa yang dimimpikan oleh Khalid benar-benar jadi kenyataan. Tragedi dalam mimpi menjadi realiti…

 

*****

Hari Selasa, petang bertarikh 12 November 1996. Matahari telah mula terbenam di ufuk barat. Suasana mulai gelap di Lapangan Terbang New Delhi, India.

Setelah menunaikan solat Maghrib, para krew pesawat Boeing 747, penerbangan Saudi Arabian Airlines Flight 763 mula menaiki kapal terbang yang tertera logo kalimah ‘Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah’ pada badan pesawat tersebut.

Seperti biasa, anak-anak kapal mula melakukan tugas masing-masing sebelum memulakan penerbangan dari Delhi, India untuk pulang ke Dhahran, Arab Saudi. Juruterbangnya adalah Kapten Khalid b. Ahmad Asy-Syubaili. Beliau dibantu oleh Nadzir Khan.

Setelah memastikan segala komunikasi berjalan lancar, peta-peta navigasi udara dan peralatan lain telah sempurna fungsinya, Khalid bersedia untuk memulakan perjalanan.

Setelah menerima kebenaran dari menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi untuk pesawat berlepas, Khalid memegang kemas stereng pesawat yang mula bergerak perlahan-lahan ke garisan permulaan.

“Bismillah… Ya Mu’iin, Ya Rabbi,” ucap Khalid sambil menekan punat pacuan pesawat. Nama Allah disebut berulang kali sewaktu pesawat semakin bergerak laju di landasan hingga ia mula terapung di ruang udara. Meluncur meninggalkan ibu kota India.

Roda pesawat dimasukkan. Kipas sayap berfungsi memberi kelajuan. Malam sudah menjelma, meninggalkan warna kelam di udara. Setelah ia stabil di ketinggian sewajarnya, Kapten Khalid menekan punat mematikan isyarat pemakaian tali pinggang keselamatan. Dia membiarkan kesemua lampu pada kepak, ekor dan badan pesawat menyala terang.

Para pramugara dan pramugari mula sibuk, menyiapkan hidangan untuk 312 penumpang dalam pesawat tersebut. Pesawat berada dalam keadaan stabil. Khalid menekan punat kelajuan, menaikkan pesawat dari ketinggian 10,000 kaki ke 14,000 kaki di udara, sebagai tanda mengikut arahan daripada pengawal radar di New Delhi tadi.

 

*****

Tanpa disedari pada masa yang sama, sebuah pesawat lain iaitu Ilyushin II-76, penerbangan Kazakhstan Airlines Flight 1907 sedang memasuki ruang udara India. Pesawat itu dari bandar Shymkent yang terletak di selatan negara Kazakhstan. Ia membawa 38 penumpang berserta barangan kargo bernilai jutaan dolar. Lokasi pendaratan adalah Lapangan Terbang New Delhi, India.

Ketika ia memasuki ruang udara India, juruterbangnya iaitu Kapten Gennady Cherapanov mula menurunkan tahap ketinggian pesawat yang sebelum itu berada pada kedudukan 23,000 kaki di udara.

Selain Gennady, ada lima pembantu lain yang terdiri daripada pembantu juruterbang, jurutera udara, mekanik komunikasi dan penunjuk peta. Kesemua mereka memberi perhatian melalui headphone bagi mendengar arahan daripada pengawal radar di India.

Pakar mekanik komunikasi bertindak untuk menterjemahkan arahan dalam bahasa Inggeris yang diterimanya kepada bahasa Rusia untuk fahaman kapten dan krew yang lain.

Di sini mula berlaku kekeliruan terhadap mesej yang diterima para krew di dalam kokpit Ilyushin II-76. Apatah lagi suara yang diterima daripada pengawal radar kedengaran samar-samar. Ada yang mendengar arahan menyuruh pesawat diturunkan pada kadar ketinggian 15,000 kaki. Ada pula yang mendengarnya sebagai 14,000 kaki di udara.

“Turun pada ketinggian 15,000 kaki. Di hadapan ada pesawat Saudi Airlines yang berada dalam jarak 14 batu dengan ketinggian 14,000 kaki.” Begitu arahan yang diberi oleh pengawal radar.

Namun, kerana gangguan komunikasi menyebabkan arahan kurang jelas didengari, pertikaian mula berlaku. Kapten Gennady menyangka perintah turun yang diarahkan adalah ke paras 14,000 kaki kerana ia mendengar angka 14 disebut dua kali. Lalu, dia mengarahkan pesawat diturunkan ke tahap itu. Namun, krew lain berasa ragu-ragu, malah menyarankan Gennady menaikkan semula pesawat pada kadar ketinggian 15,000 kaki di udara.

“Saya kapten di sini. Saya perintahkan pesawat ini berada pada ketinggian 14,000 kaki di udara,” balas Kapten Gennady membuat krew lain tidak berani lagi mempertikaikan keputusannya.

Pesawat Rusia itu terus meluncur dengan kelajuan tinggi, membelah kegelapan awan yang bertindan-tindan. Tiba-tiba, krew IIyushin II-76 melihat satu pancaran cahaya.  Pancaran itu sekejap menyala, sekejap hilang di sebalik awan gelap.

Cahaya yang pada awalnya tampak lemah itu semakin lama semakin terang dan kian dekat. Sekelip mata, gumpalan awan menghilang. Kini, pesawat Saudi Airlines sudah tersergam di hadapan pesawat Ilyushin II-76. Anak kapal Rusia itu ketakutan. Dan juruterbangnya, Kapten Gennady menjerit sekuatnya apabila pesawatnya mula menghentam badan Saudi Airlines yang tertera kalimah syahadah itu.

 

*****

Kapten Khalid memerhatikan segala sistem dalam pesawatnya. Semuanya terkawal. Ia juga sudah berada pada ketinggian yang ditetapkan iaitu 14,000 kaki di udara.

Kapten Khalid tergerak hati menoleh ke arah kiri di luar pesawat. Lampu-lampu pada badan pesawat menyala terang. Ia sebagai tanda agar pesawat lain yang berdekatan boleh melihatnya. Dan ketika itu, pandangannya terarah pada sesuatu. Tiba-tiba dia melihat satu bayangan hitam yang besar sedang bergerak laju ke arahnya dari arah kiri pesawat.

“Astaghfirullah, astaghfirullah… Asyhadu alla ila ha illallah!” Hanya lafaz kalimah tauhid itu berulang kali disebut Kapten Khalid waktu itu. Dia sudah nampak, takdirnya telah tiba!

Sambil berulang kali melaung kalimah syahadah, tangan Khalid tetap kejap memegang stereng. Dan ketika itulah, pertembungan pun berlaku.

Sayap kiri pesawat Rusia itu akhirnya menghentam bahagian belakang Saudi Airlines menyebabkan ekor pesawat yang dikemudi Kapten Khalid terputus lalu hilang kawalan akibat momentum rempuhan dahsyat.

Badan pesawat robek dan menghumban segala isi penumpangnya berterbangan dan gugur ke bumi. Serta-merta, kedua-dua pesawat mula terbakar dan menjunam jatuh ke bumi.

Ketika itu, langit di bandar Charkhi Dadri yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari barat New Delhi menjadi terang, umpama percikan bunga api raksasa di angkasa.

Tragedi pertembungan dua buah pesawat itu mengorbankan 350 nyawa, tiada satu pun yang terselamat. Kebanyakan mangsa terbakar hangus. Serpihan bangkai pesawat terhempas ke kawasan ladang. Berselerakan di serata tempat.

 

Mayat Kapten Khalid hanya berjaya ditemui pada hari ketiga pencarian. Itu pun setelah bangkai bahagian kokpit ditemui tertanam sedalam lima meter ke dalam tanah. Khalid ditemui rentung di dalamnya.

Jenazah Kapten Khalid dibawa pulang ke Madinah. Semasa dimandikan dengan cara tayamum, berlaku keanehan. Kulit Khalid yang sebelum itu agak gelap kelihatan putih. Malah, masih terlihat jaluran darah mengalir di bawah kulitnya walaupun mayatnya hanya ditemui pada hari ketiga setelah tragedi berlaku.

Pada hari kelima, barulah jenazah Khalid disemadikan di perkuburan Baqi’. Orang ramai berkerumun menghadiri untuk memberi penghormatan terakhir sebelum juruterbang itu dikebumikan.

Kotak hitam pesawat Saudi Airlines yang ditemui membuka cerita. Kotak itu mencatatkan suara Khalid yang mulutnya tidak pernah putus melafazkan istighfar dan berulang kali mengucap kalimah syahadah ketika tahu nyawanya akan diambil semula oleh Allah S.W.T.

Asyhadu alla ilahaillahhlah, wa asyhadu anna muhammadar rasulullah… itu kalimah terakhir Kapten Khalid sebelum suaranya diam buat selama-selamanya.

 

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!