MISTERI TEDDY BEAR MERAH JAMBU

Ini kisah seorang kenalan lama saya bernama Aziz yang pernah berjiran dengan saya sebelum ini. Aziz mempunyai seorang cahaya mata bernama Anis, satu-satunya anak tunggal mereka selepas lapan tahun membina rumah tangga bersama insan tercinta bernama Hanisa.

Lebih kurang lima tahun saya berjiran dengan Aziz. Ketika anaknya Anis berusia enam tahun, Aziz berpindah ke tempat lain setelah dia membeli rumah sendiri.

Aziz membeli sebuah rumah melalui lelongan. Memang cantik rumah teres dua tingkat yang telah diubahsuai itu dengan ciri moden klasik. Meskipun terletak di Damansara, Selangor, rumah itu sedikit jauh dari kesibukan kota. Aziz benar-benar menyukai rumah corner lot itu.

Aziz yang bertugas sebagai arkitek mengambil cuti selama seminggu bagi menguruskan urusan perpindahan ke rumah barunya. Minggu yang sungguh memenatkan buat Aziz. Namun hatinya gembira. Rumah yang baru dibelinya itu adalah rumah yang selama ini dia impikan. Namun tiada siapa tahu ada sesuatu yang lebih ‘istimewa’ dari itu, sebuah patung teddy bear berwarna merah jambu yang tersimpan di dalam bilik stor di rumah itu.

Pertama kali melihatnya,  teddy bear itu seakan tersenyum memandang Anis. Anis juga nampaknya sukakan patung itu. Teddy bear itu didakapnya dan dibawa bermain bersama. Setiap malam pula patung itulah yang menjadi teman tidur Anis.

Tidak hairanlah kerana kanak-kanak seperti Anis memang gemarkan permainan anak patung. Tapi Aziz dan isterinya berasa agak hairan melihat gelagat anak perempuan mereka itu. Sebelum ini Anis tidak gemar bermain dengan patung teddy bear. Mereka pernah menghadiahkan kepada Anis patung teddy bear tapi Anis kelihatan tidak menyukai pemberian itu.

Kegemarannya hanya pada patung Barbie, tapi sekarang Anis berubah sama sekali. Sejak berpindah ke rumah baru Anis tidak lagi bermain dengan patung Barbie kesukaannya sebaliknya dia hanya bermain dengan patung teddy bear merah jambu yang dijumpai dalam stor rumah baru mereka itu.

Setiap ketika adalah teddy bear! Teddy bear! Teddy bear!  Itulah yang menghairankan Aziz dan isteri. Namun mereka tidak endahkan sangat hal itu. Biarlah… mungkin Anis mahu beralih kepada sesuatu yang baru pula.

Sebulan mendiami rumah itu, Aziz mula berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah barunya. Pelbagai perkara aneh mula dirasakan olehnya. Suatu malam ketika sedang menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya di ruang tamu, Aziz terdengar suara kanak-kanak menangis teresak-esak dari arah bilik stor.

Tangisan itu menyentak tumpuan Aziz pada kaca TV. Dia segera menoleh ke belakang, ke arah bunyi yang didengarnya. Bunyi tangisan itu jelas kedengaran. Aziz bangun dari sofa menuju ke arah bilik stor dan memanggil “Anis! Anis! Anis anak abah!”

Tiada sebarang jawapan dan bunyi tangisan menghilang. Aziz menjenguk ke dalam bilik stor, tidak ada sesiapa di situ. Seingat Aziz, anaknya Anis sudah tidur tadi. Lalu Aziz naik ke atas menuju ke bilik Anis. Pintu bilik Anis dibuka perlahan, kelihatan anaknya itu sedang tidur sambil mendakap patung teddy bear. Isterinya Hanisa juga sedang lena tidur di biliknya.

PRRRAANNGGG!

Tiba-tiba kedengaran bunyi  pinggan berlaga di dapur. Aziz terkejut lalu berlari ke bawah untuk melihat apa yang berlaku. Belum sempat Aziz membuka suis lampu, satu kelibat hitam terlihat dalam cahaya samar berlari menembusi pintu belakang rumahnya.

Aziz tergamam. Kelibat hitam itu kelihatannya seperti susuk tubuh kanak-kanak berusia lingkungan 12 tahun. Aziz kembali ke ruang tamu dengan penuh persoalan, Perasaan gementar menyelubungi, hati kecilnya bertanya-tanya, “Ya Allah apa yang aku lihat tadi?”

Tiba-tiba suara tangisan kanak-kanak itu kedengaran sekali lagi. Suara tangisan itu semakin lama semakin hampir dan semakin jelas kedengaran. Aziz duduk terkaku di atas sofa. Dia berusaha untuk mengalihkan tumpuannya dari mendengar suara tangisan itu dengan menonton rancangan di televisyen sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Kursi.

Tapi.. suara itu kian dekat dan dekat… semakin dekat. Aziz merasakan seperti ada sesuatu di belakangnya.

Toleh atau tidak? Toleh? Tidak? Aziz jadi semakin tidak menentu, hatinya bertanya sama ada hendak menoleh ke belakang untuk melihat apa yang ada di belakangnya atau tidak.

Dia ambil keputusan untuk berdiam diri sahaja kerana merasakan dirinya belum cukup kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Bertawakal kepada Allah itulah yang sebaik-baiknya sambil berharap agar gangguan itu segera hilang.

Namun suara tangisan itu masih lagi kedengaran. Telinga kiri Aziz benar-benar mendengarnya dengan kuat dan jelas bagaikan seorang kanak-kanak sedang menangis di sisinya. Aziz hampir mahu memejamkan matanya tapi kali ini dia cuba memberanikan dirinya untuk melihat sesuatu. Ya! sesuatu yang dirasakan berada di sebelah kirinya.

Aziz menjeling perlahan ke sebelah kirinya dengan perasaan penuh debaran. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, mengharapkan ketenangan dan keberanian bersamanya. Ah! Dia tidak melihat apa-apa dan suara tangisan itu juga hilang dan langsung tidak kedengaran. Fuhhh! Aziz menghembus nafas lega sambil mengusap-usap dadanya. Dia menutup televisyen lalu bangun untuk ke bilik tidurnya.

Ketika Aziz meniti anak tangga tiba-tiba jelmaan seorang kanak-kanak perempuan muncul di hadapannya dengan hilai tawa. Aziz tergamam, dia nampak dengan jelas jelmaan kanak-kanak itu memakai kemeja -T  berwarna putih dan berseluar pendek kuning paras lutut. Rambutnya kusut mencecah bahu.

Paling mengejutkan, Aziz lihat lembaga kanak-kanak perempuan itu mendakap patung teddy bear berwarna merah jambu! Aziz melaungkan azan sebelum lembaga kanak-kanak itu ghaib.

Keesokannya Aziz menceritakan kejadian itu kepada isterinya. Pada mulanya Hanisa tidak mempercayainya dan menganggap Aziz hanya bermimpi. Tapi melihatkan keadaan Aziz yang demam secara tiba-tiba selama beberapa hari membuatkan Hanisa mula percaya cerita suaminya itu.

Hanisa mula teringat, anaknya Anis pernah bercerita kepadanya tentang kawan barunya selepas seminggu mereka berpindah ke rumah itu. Kata Anis, namanya Mimi, Mimi selalu bermain patung teddy bear bersama-sama Anis. Mimi beritahu Anis dia pernah tinggal di rumah yang Anis tinggal sekarang. Tapi sekarang Mimi sudah pindah ke tempat baru tapi Mimi tidak pernah menyukai tempat baru itu.

Petang hari ketika Anis bermain-main di halaman rumah, Mimi akan datang berjumpa dengan Anis. Mimi beritahu Anis patung teddy bear warna merah jambu itu adalah patung kesayangannya yang tertinggal di rumah itu. Kata Mimi lagi, dia datang sebab mahu mengambil kembali patungnya itu.. Tapi Mimi hadiahkan patung itu kepada Anis asalkan Anis mahu berkawan dengannya. Pesannya kepada Anis cuma satu, “jaga teddy bear Mimi baik-baik ya..”

Mimi juga banyak bercerita kepada Anis tentang hidupnya. Ayah Mimi meninggal dunia sebab terlibat dalam kemalangan jalan raya. Selepas itu ibunya berkahwin lain. Mimi beritahu dia benci ayah tirinya, ayah tirinya jahat dan suka memukulnya. Setiap hari Mimi didera oleh ayah tirinya, ayah tirinya juga mengugut kalau Mimi beritahu ibu dia pukul Mimi, dia akan dera Mimi lebih teruk lagi.

Namun Hanisa belum pernah berjumpa dengan kawan baru anaknya itu. Apa yang Hanisa tahu, Anis bercerita Mimi tidak seperti kanak-kanak lain, rupanya comot dan tidak terurus. Bajunya juga tidak bertukar, kemeja-T warna putih dengan seluar pendek warna kuning.

Kali terakhir saya berjumpa dengan Aziz beberapa tahun lalu. Ketika itu, Aziz memberitahu saya selepas peristiwa itu, mereka melarang Anis bermain dengan patung teddy bear itu. Teddy bear merah jambu itu dikuncinya di dalam bilik stor. Mereka juga memutuskan untuk berpindah ke rumah lain kerana takut sesuatu yang buruk terjadi pada anaknya.

Ketika meninggalkan rumah itu, Aziz dan isterinya menyedari anaknya Anis melambai-lambaikan tangan ke arah rumah itu. Sejak itu Anis tidak lagi seperti dulu, periang dan manja. Perangai Anis berubah, dia sering murung dan mudah marah.

Dua bulan berada di rumah baru memberi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Aziz dan Hanisa. Aziz meninggalkan rumah barunya dengan satu pengalaman misteri dan seribu macam persoalan yang masih belum terungkai hingga ke hari ini.

Siapa Mimi? Adakah kanak-kanak misteri itu mati akibat menjadi mangsa penderaan ayah tirinya?

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!