POVEGLIA, PULAU BERDARAH YANG DISUMPAH KEMATIAN

Ia disebut sebagai pulau Poveglia, terletak di Venice, Itali. Jika pulau-pulau lain menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini, pulau Poveglia berbeza dan tidak ada sesiapa mahu datang ke pulau ini.

Pulau ini dipenuhi suara misteri yang menjerit meminta bantuan. Bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran pulau ini turut menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Sejarah hitam pulau Poveglia bermula sewaktu era pemerintahan Rom. Menurut kisah, ketika itu pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak.

Sekitar tahun 1347-1351, benua Eropah diserang satu pandemik ‘Black Death’ – wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia setakat ini.

Black Death merupakan singkatan nama wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus. Wabak berbahaya ini dikatakan telah meragut lebih 70 juta nyawa, yang mana lebih separuh daripada jumlah itu merupakan penduduk Eropah.

Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas itu. Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia. Mayat mereka dicampakkan dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar.

Antara kubur mangsa-mangsa yang ditanam di pulau ini.

Ketika itu, sesiapa sahaja yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti penyakit tersebut akan dihantar ke pulau berkenaan. Pesakit-pesakit akan dicampakkan di atas timbunan mayat yang sedang mereput. Lelaki, wanita mahupun kanak-kanak, kesemua mereka dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu minta diselamatkan. Soal perikemanusiaan sudah lenyap ketika itu. Dianggarkan lebih kurang 160,000 mayat telah ‘dikebumikan’ di sana dalam tempoh berkenaan.

Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari dengan bau busuk yang sangat menyesakkan hidung. Tanah yang bercampur dengan mayat yang dibakar dan dibuang di sana menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal.

Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni selama beberapa abad. Sehinggalah pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar di pulau tersebut. Di sini, misterinya bermula.

Pesakit yang dimasukkan ke hospital tersebut mula mengadu yang mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu yang dipercayai roh-roh mangsa yang mati di pulau itu. Setiap malam, para pesakit diganggu dengan bunyi jeritan dan esak tangis yang meminta bantuan.

Antara kesan peninggalan katil hospital di pulau ini.

Mereka yang tidak tahan dengan gangguan itu kerap mengadu kepada pihak pengurusan hospital. Tetapi atas alasan pesakit di sana memang mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Seorang doktor dikatakan cuba untuk membina namanya di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit di situ. Dia mula menjalankan ‘eksperimennya’ dengan menyeksa pesakit-pesakit. Saban malam,  suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kawasan kepulauan tersebut.

Menurut catatan, doktor tersebut telah menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Ritual tersebut didakwa dijalankan untuk mencari ‘penawar’ bagi penyakit gila yang dihidapi pesakit di sana.

Pesakit yang tidak mempunyai waris pula menerima nasib yang lebih parah. Mereka dibawa ke loteng menara dan akan menerima pelbagai jenis seksaan sehingga meninggal dunia. Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Gangguan demi gangguan misteri terus menghantui penghuni di hospital tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung seksaan si doktor gila. Pesakit sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan sepanjang berada di situ.

Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatan gilanya, doktor tersebut dikatakan mula diganggu dengan bayangan-bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka. Menurut kisah, doktor berkenaan telah menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, yakni tempat dia menyeksa semua pesakit di dalam hospital itu.

Menurut seorang jururawat yang juga merupakan saksi kejadian, doktor gila itu tidak mati serta-merta ekoran kesan jatuh dari menara. Tetapi sewaktu dia sedang terbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik dirinya sehingga mati.

Selepas kejadian itu, bunyi loceng besar di menara tersebut didengari hampir setiap hari. Hospital berkenaan ditutup tidak berapa lama kemudian. Kerajaan Itali mengambil alih pengurusan pulau Poveglia buat seketika sebelum ianya dijual semula.

Tidak banyak bukti bertulis yang diketahui tentang pulau ini namun apa yang pasti, pemilik terakhir pulau Poveglia meninggalkannya sekitar tahun 1960-an.

Terdapat sebuah keluarga yang cuba untuk membeli pulau misteri ini dan berhasrat membangunkannya menjadi sebuah pusat peranginan. Mereka bermalam semalaman di kawasan pulau berkenaan, namun bertindak meninggalkannya awal pagi keesokan harinya. Keluarga tersebut enggan mengulas lanjut tentang apa yang berlaku sepanjang malam di sana, namun apa yang pasti, muka anak perempuan mereka telah ditoreh dan telah mendapat 14 jahitan.

Beberapa orang yang dikatakan mempunyai kuasa psikik juga pernah melawat kawasan hospital di kepulauan berhantu itu. Namun, kesemua mereka bergegas meninggalkan tempat tersebut kerana bimbang dengan apa yang dapat dikesan oleh deria keenam mereka.

Salah seorang daripada ahli psikik itu mengatakan dia dapat merasakan kehadiran roh-roh yang berkeliaran. Kesemua mereka dalam keadaan yang tidak tenteram dan ingin menuntut keadilan terhadap kekejaman yang dialami oleh mereka.

Akhirnya, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan ke sana juga diharamkan oleh kerajaan Itali. Malah, nelayan tempatan juga mengelak daripada belayar berhampiran dengan kawasan pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang bakal tersangkut pada jaring mereka.

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!