KEANEHAN BONEKA OKIKU YANG MENJADI TANDA TANYA

Kisahnya bermula sekitar tahun 1918 di Jepun.  Pada tahun itu, seorang pemuda berusia 17 tahun, bernama Eikichi Suzuki tertarik dengan sebuah patung ketika berkunjung ke Sapporo. Baginya, patung itu sangat cantik, berwajah putih bagai porselin, bermata hitam pekat umpama mutiara hitam, berambut lebat paras bahu, tinggi sekitar 40 sentimeter dan memakai kimono tradisional Jepun.

Suzuki kemudian membeli boneka itu buat adiknya yang bernama Okiku yang berusia dua tahun. Okiku sangat gembira dengan pemberian abangnya itu. Dia sangat menyukai patung tersebut dengan hanya sekali melihatnya.

Setiap hari, Okiku akan bermain dengan patung itu tanpa mengendahkan hal-hal di sekeliling. Sayang Okiku pada patung itu seperti sahabat. Sampaikan, dia memberi nama pada boneka itu, Okiku, sama seperti namanya sendiri. Kerana terlalu menyayanginya, anak ini tidak boleh berenggang dengan patung tersebut. Ke mana sahaja dia pergi, boneka itu pasti akan dibawa bersama.

Sehinggalah berlaku tragedi pada tahun berikutnya, di mana Okiku jatuh sakit. Ketika itu, dia baru berumur tiga tahun. Tidak lama selepas terlantar sakit akibat diserang demam panas yang teruk, anak ini disahkan meninggalkan dunia.

Sebelum dimakamkan, ahli keluarganya berhasrat mahu mengebumikan patung itu bersama Okiku. Tapi kerana ada beberapa keadaan yang tidak terduga, boneka itu tidak dapat ditempatkan bersama tuannya. Keluarga gadis itu kemudian meletakkan patung berkenaan di atas sebuah altar, tempat berdoa untuk mengenang puteri kesayangan mereka.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas berkabung, keluarga Okiku menyedari sesuatu yang aneh pada patung tersebut. Rambut patung Okiku yang sebelumnya sekitar paras bahu dilihat mulai panjang melepasi ukuran asal.

Rambut boneka ini mulai memanjang selepas kematian tuannya.

Difahamkan, sudah beberapa kali keluarga Okiku memotongnya. Namun pelik, rambut patung itu tetap akan tumbuh semula. Dan jika dibiarkan, ia akan terus-menerus tumbuh dan memanjang sehingga ke paras lutut. Tapi entah kenapa, rambut boneka itu selalu sahaja berhenti tumbuh apabila sampai di paras lutut. Sejak kejadian aneh ini, keluarga Okiku mulai percaya bahawa roh gadis kesayangan mereka telah menghuni patung tersebut.

Lama selepas itu, pada tahun 1938, keluarga Suzuki berpindah ke wilayah lain, Sakhalin. Oleh kerana mereka yakin roh Okiku berada di dalam patung itu, Suzuki dan keluarganya tidak sampai hati mahu membuang permainan tersebut. Sebaliknya, mereka memutuskan untuk meletakkan patung Okiku di kuil Mannenji di Hokkaido.

Sebelum meninggalkannya, keluarga Suzuki menjelaskan keadaan pelik yang berlaku pada boneka Okiku kepada pihak kuil. Dan meskipun telah mengetahuinya, pihak kuil tetap menyatakan kesudian untuk menjaga boneka tersebut.

Sejak menjaganya, pihak kuil mengakui cerita itu memang benar berlaku. Rambut patung Okiku didapati terus-menerus tumbuh, memanjang daripada ukuran sebelumnya. Keadaan tersebut membuatkan petugas kuil perlu memotong rambut patung Okiku secara berkala bagi memastikan ia sentiasa tampil dengan imej rambut paras bahu.

Boneka Okiku kini ditempatkan di sebuah kuil di Hokkaido.

Cerita tentang patung yang dikatakan berhantu ini pernah menggemparkan Jepun. Kisahnya begitu popular sehingga hal menyeramkan tentang boneka tersebut telah banyak diadaptasi ke dalam novel dan filem.

Walaupun cerita itu sudah tersebar luas, ramai sebenarnya tidak jelas dengan keanehan rambut patung Okiku. Bahkan, tidak ada yang benar-benar mampu menjelaskan bagaimana rambutnya boleh tumbuh dan terus-menerus memanjang walaupun dipotong. Oleh kerana itu, beberapa hal mulai dipersoalkan antaranya – apakah ia benar-benar super natural atau hanya penipuan dan trik semata-mata?

Disebabkan ramai yang ingin tahu akan perkara itu, sampel dari patung Okiku telah diambil dan dianalisis. Seorang penyelidik Jepun mendedahkan bahawa hasil daripada ujian forensik ke atas rambut boneka itu ternyata mengejutkan. Mana tidaknya, rambut dari patung tersebut disahkan rambut manusia. Dan ia didapati sama seperti rambut yang tumbuh pada anak berusia 10 tahun.

Sehingga ke hari ini, patung Okiku masih berada di kuil Mannenji. Ia diletakkan pada posisi berdiri di dalam sebuah kotak kayu bersaiz sederhana di mana rambutnya terus-menerus tumbuh dan memanjang. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada laporan menyatakan bahawa patung itu bergerak, membuat bising, membawa nasib buruk atau kematian misteri. Hanya dilaporkan rambutnya tidak berhenti tumbuh. Itu saja.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!