MISTERI LUKISAN ‘THE ANGUISHED MAN’

Kisahnya bermula pada tahun 2012, apabila Sean Robinson menggantung sebuah lukisan yang diterima daripada mendiang neneknya di rumahnya di Cumbria, England. Dan sejak itu, gangguan demi gangguan mula menghantui keluarga Sean.

Ketika itu, hujan lebat telah menyebabkan bilik bawah tanah rumah Sean dilimpahi air. Itu yang menemukan Sean dengan lukisan misteri yang diberi jolokan ‘The Anguished Man’ yang membawa maksud ‘lelaki yang sedang bersedih’.

Sebelum ini, lukisan itu disimpan oleh nenek Sean. Menurut kisah yang diceritakan oleh neneknya, lukisan tersebut diberi oleh rakan baik neneknya sendiri dan dikatakan lukisan ‘berhantu’ yang dipenuhi misteri.

Kata neneknya, dulu dia sering melihat bayangan hitam lelaki misteri dan suara-suara aneh. Sebab itu dia menyimpan saja lukisan itu, tidak menggantungnya.

Kononnya, pelukis potret itu mencampurkan darahnya dengan cat sebelum memulakan lukisan yang mempamerkan wajah lelaki sedang bersedih itu. Dan kemudian pelukis itu membunuh diri selepas lukisan tersebut disiapkan.

Namun, kisah itu tidak dapat disahkan kebenarannya kerana cuma disampaikan dari mulut ke mulut. Bahkan, tiada yang tahu siapa pelukis potret itu sebenarnya.

Ketika Sean bercadang mahu menggantung potret tersebut di ruang utama dalam rumah, isterinya menentang kerana tidak senang hati dengan lukisan tersebut. Sean mengalah dan hanya menggantung lukisan itu dalam bilik tetamu di tingkat dua rumah mereka.

Sejak itu bermulalah mimpi ngeri keluarga ini. Suara tangisan sering kali didengari sejak lukisan itu digantung dalam bilik rumah mereka. Hampir setiap malam rumah Sean diganggu bunyi aneh seperti ketukan dan cakaran pada dinding.

Mulanya, Sean sangka bunyi itu datang dari luar rumah. Dia cuba untuk mencari dari mana arah datangnya suara misteri itu, dan dia akan sampai ke bilik yang menempatkan lukisan misteri tersebut.

Isteri Sean juga mengadu sering melihat bayangan lelaki yang hanya muncul samar-samar tanpa menunjukkan wajahnya.

Sean mengesyaki sesuatu apabila anak lelakinya bernama Kenan, mengadu turut diganggu oleh ‘makhluk’ tersebut. Suatu ketika, Kenan yang sedang menuruni anak tangga rumah tiba-tiba jatuh seperti ditolak sesuatu. Kenan mendakwa ada orang menolaknya.

Semakin hari, gangguan itu semakin menjadi-jadi. Jika dulu bunyi tangisan hanya sayup-sayup kedengaran, kemudian ia semakin jelas. Bahkan, Sean sering dikejutkan dengan kehadiran lembaga di penjuru bilik tidurnya. Bayangan itu seolah-olah memerhatikan dia dan isterinya yang sedang tidur.

Mahu menyiasat misteri di dalam rumahnya, Sean bertindak meletakkan perakam video di dalam bilik di mana lukisan itu digantung.

Hasilnya rakaman itu mengejutkan. Ada bayang-bayang yang tidak diketahui tiba-tiba muncul dan hilang dalam bilik tersebut. Bunyi seperti barang jatuh juga kedengaran dan pintu bilik juga kelihatan tertutup sendiri biarpun tiada sesiapa yang berada di sekitar bilik tersebut sewaktu rakaman dilakukan.

Sean memuat naik rakaman itu ke laman Youtube dan mendapat banyak respons daripada penonton seluruh dunia. Ramai yang bertanya dari mana datangnya lukisan misteri yang dimiliki oleh Sean. Namun, Sean sendiri masih tertanya-tanya siapa pelukis asal lukisan berhantu dalam simpanannya itu.

Pernah seorang produser filem berminat untuk memfilemkan misteri lukisan ‘The Anguished Man’ dan menawarkan $32 ribu Dolar untuk membeli lukisan tersebut. Namun, Sean menolak tawaran itu.

Setelah kisah lukisan itu tersiar di Internet, Sean menerima banyak tawaran yang mahu membeli ‘The Anguished Man’. Tetapi dia enggan menjual lukisan berhantu itu. Walaupun mereka sekeluarga kerap diganggu, Sean tidak mahu menjual lukisan yang diwarisi daripada mendiang neneknya itu.

Akhirnya, lukisan tersebut telah diturunkan dan disimpan semula di dalam bilik bawah tanah rumah mereka. Kadangkala, masih terdengar bunyi-bunyi aneh, tetapi Sean hanya pekakkan telinga.

Malah, anjing peliharaan mereka juga tidak mahu mendekati bilik bawah tanah rumah mereka, keadaan yang sama sewaktu anjing itu mengelak untuk menghampiri bilik tingkat dua yang meletakkan lukisan tersebut suatu ketika dulu.

 

 

Anda boleh lihat video yang dirakam Sean di link di bawah

https://www.youtube.com/watch?v=rDEO035ks2Y&t=62s

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!