MISTERI KERANDA MINI & SIHIR ARTHUR SEAT

Pada bulan Jun 1836, tiga orang kanak-kanak lelaki Scotland tanpa sengaja menemui 17 keranda mini bersaiz miniatur ketika mereka sedang mencari arnab di lereng bukit Arthur Seat di Edinburgh, Scotland. Objek aneh itu dijumpai tersembunyi di dalam sebuah lubang kecil di sebalik kepingan batu.

Sewaktu ditemui, kesemua peti mayat tersebut berada dalam keadaan tersusun dalam tiga lapisan. Keranda kayu yang terletak di bahagian bawah didapati telah reput berbanding lainnya. Paling kurang terkesan ialah keranda di bahagian atas kerana keadaannya agak terpelihara.

Namun difahamkan, hanya lapan daripada 17 buah peti mayat dapat diselamatkan dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Selebihnya telah hancur akibat dibaling oleh kanak-kanak yang menemukannya. Keranda yang masih utuh itu kemudian dijual kepada seorang pengumpul barangan antik bernama Robert Frazier, sebelum disumbangkan ke National Museum of Scotland pada tahun 1901.

Sekitar tahun 1994, Allen Simpson dan Samuel Menefee (dari University of Edinburgh dan University of Virginia) telah bersepakat untuk melakukan kajian terhadap keranda mini tersebut. Hasil penelitian mendedahkan, kesemua miniatur berkenaan rata-rata memiliki ukuran yang hampir sama, iaitu lapan hingga 10 sentimeter (cm) panjang dan 2.5 cm lebar.

Dalam setiap peti mayat turut berisi patung kecil berupa manusia, terbuat daripada ukiran kayu dan mengenakan pakaian buatan tangan menggunakan material dan gaya berbeza. Menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh pakar tekstil ke atas busana tersebut mendapati fabrik yang diguna pakai terbuat daripada benang kapas.

Sejarah menunjukkan sebelum tahun 1812, benang kapas dilaporkan masih belum wujud. Bermakna, kain yang digunakan untuk membuat pakaian patung dalam keranda misteri itu hanya dihasilkan selepas beberapa tahun kemudian. Namun sebilangan ilmuwan lain berpendapat bahawa figura di dalam peti mayat itu berkemungkinan sudah ada sejak tahun 1790 atau awal sebelumnya lagi. Persoalannya, mengapa kesemua patung tersebut mengenakan pakaian yang beragam?

Menurut peneliti, setiap figura di dalam keranda sebenarnya merujuk kepada individu yang berbeza. Patung-patung itu juga dicipta oleh orang yang berlainan di mana setiap boneka dipakaikan persalinan unik, tetapi sopan mirip seperti pakaian orang mati.

Pengkaji berpendapat bahawa setiap patung di dalam kotak kecil itu bukanlah ditujukan kepada seseorang yang sudah meninggal dunia. Hal ini dapat dilihat menerusi mata setiap patung yang terbuka. Itu menunjukkan ia tidak merujuk kepada mayat tetapi orang-orang yang masih hidup.

Pelbagai hipotesis muncul. Antara teori paling popular yang cuba dikaitkan dalam hal ini ialah ilmu sihir. Ramai peneliti menganggap teori ini sebagai sesuatu yang menarik kerana ia terkait dengan sejarah Arthur Seat, tempat di mana keranda mini itu ditemukan.

Catatan kuno mendedahkan bahawa penduduk sekitar Arthur Seat dahulunya sering menggunakan kuasa mantera dalam banyak perkara termasuk menanam patung menyerupai individu yang mereka ingin musnahkan. Bahkan, ada laporan mengatakan sampai sekarang masyarakat setempat masih lagi mempertahankan ilmu kuno tersebut.

Arthur Seat

George Dalgleish, penjaga Scottish History & Archaeology di National Museums of Scotland, bagaimanapun menyangkal akan teori itu. Beliau menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Namun beliau tidak menafikan bahawa penduduk Scotland pada zaman dahulu memang selalu dikaitkan dengan hal-hal tahyul. Akan tetapi, pengamal sihir di sini biasanya tidak menggunakan boneka voodoo termasuk mengukir atau menanam patung seumpama itu.

Sebelum ini, ada teori lain mengatakan bahawa keranda dan boneka di dalamnya merupakan simbol pengebumian para pelaut yang telah hilang di lautan. Dan ia dikatakan menjadi amalan orang-orang terdahulu bertujuan untuk menenteramkan roh si mati.

Selain itu, kejadian pembunuhan Burke dan Hare yang terkenal di Edinburgh turut terkait dalam misteri keranda mini ini. Kisahnya, sekitar akhir tahun 1820-an, dua orang pembunuh bernama William Burke dan William Hare didapati telah melakukan hal terkutuk itu menyebabkan seramai 17 orang warga Edinburgh terkorban.

Burke dan Hare sering disebut sebagai pencuri mayat. Mereka membunuh mangsa dan kemudian menjualnya ke pasaran gelap untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dalam kelas anatomi. Dilaporkan, sebanyak 17 korban telah pun terjual sebelum mereka tertangkap. Kebetulan, angka tersebut sama dengan jumlah peti mayat mini yang dijumpai sebelum ini.

Bagaimanapun, ia hanyalah sekadar teori. Dan kebenaran di sebalik keranda misteri ini kekal menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!