MISTERI MAYAT LELAKI ‘TAMAM SHUD’

Awal pagi bertarikh 1 Disember 1948, mayat seorang lelaki lengkap memakai sut dan bertali leher dijumpai tersandar pada batu di pesisir pantai Somerton, Adelaide, Australia. Semasa ditemui terdapat kesan pendarahan teruk pada bahagian belakang kepala mangsa.

Anehnya, semua label pada pakaian mangsa telah dikoyakkan. Lebih merumitkan, tiada sebarang identiti ditemui bersama mangsa. Yang ditemui hanya sekotak rokok, gula-gula getah dan sedikit wang.

Berdasarkan keadaan, siasatan awal pihak polis menjurus kemungkinan mangsa mati akibat dibunuh. Ditambah dengan putung rokok yang telah dinyalakan turut ditemui di sisi mangsa. Tidak lama kemudian, penemuan mayat ini mencambah lebih banyak persoalan dan keanehan.

Siasatan polis dan ujian DNA yang dijalankan gagal mengesan identiti lelaki di sebalik sut tersebut. Siapa namanya? Bagaimana nyawa lelaki misteri itu boleh berakhir di tepi pantai? Apakah punca kematiannya?

Disebabkan buntu, bedah siasat dilakukan untuk mencari punca sebenar kematian. Hasil bedah siasat mendapati saluran darah dan otak mangsa seperti tersumbat. Limpa mangsa juga disyaki gagal berfungsi. Petunjuk ini menandakan kemungkinan mangsa mati kerana diracun. Namun penemuan ini membuatkan pihak penyiasat semakin buntu. Jika benar mangsa diracun hingga mati, kenapa doktor tidak menemui racun dalam perut mahupun badan mangsa?

Tidak lama kemudian, pihak polis berjaya tampil dengan beberapa kemungkinan identiti mangsa.  Namun ia tidak bertahan lama apabila kemungkinan itu ternyata silap. Ada suatu ketika, pihak polis menyangka mangsa adalah E.C Johnson. Namun, mereka dikejutkan dengan kehadiran E.C Johnson beberapa hari kemudian bagi mengesahkan dia masih hidup.

Menjelang pertengahan Januari 1949, kes kematian lelaki bersut ini semakin dingin. Tiada petunjuk baru yang boleh membantu siasatan pihak polis. Kemudian, polis menemui pula petunjuk baru. Mereka menemui sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah stesen kereta api. Dilaporkan, beg itu dijumpai hari yang sama dengan kematian lelaki misteri itu ditemui.

Lebih menarik, sama seperti tanda-tanda yang dijumpai pada mangsa, semua label pakaian dalam beg itu telah pun dikoyakkan. Yang kekal, hanya sehelai kemeja mempunyai tanda nama di bahagian kolar baju, dieja dengan ‘T.Keane’.

Kebetulan pada masa sama seorang pelayar dengan nama Thomas Keane dilaporkan hilang. Pihak polis mengesyaki lelaki dalam siasatan mereka itu kemungkinan adalah Thomas Keane. Tetapi, rakan Thomas Keane menafikan mayat tersebut adalah rakan mereka. Sekali lagi, pihak penyiasat semakin buntu dan kes ini semakin menyepi.

Musim panas tahun yang sama, pegawai penyiasat menjumpai satu poket rahsia dalam seluar si mati. Dalam poket itu terdapat satu cebisan kertas yang bertulis ‘Tamam Shud’  yang membawa maksud ‘pengakhiran’ dalam bahasa Parsi. Pegawai dari perpustakaan mengesahkan cebisan kertas itu datangnya daripada sebuah buku puisi berjudul The Rubaiyat yang ditulis oleh Omar Khayyam.

Siasatan terus dijalankan. Seterusnya, ia membawa kepada penemuan salinan buku tersebut dalam sebuah kereta yang tidak berkunci. Pihak polis berharap buku ini akan menjadi penunjuk utama buat mereka. Di muka hadapan buku tersebut terdapat salinan nombor telefon yang mengarahkan siasatan kepada seorang jururawat pula.

Jururawat yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan mempunyai seorang anak dipanggil untuk membantu siasatan. Jururawat wanita ini bersetuju memberi kerjasama tetapi dengan syarat. Pihak berkuasa tidak boleh mendedahkan identitinya selain mengaitkannya dengan kes pembunuhan.  Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi pihak berkuasa bersetuju dengan permintaan jururawat tersebut.

Hasil siasatan, jururawat itu mengaku, empat tahun sebelum kejadian kematian misteri tersebut, dia ada menghadiahkan senaskhah buku The Rubaiyat kepada seorang lelaki dengan nama Albert Boxall. Dari situ, pihak polis yakin identiti lelaki tersebut adalah Albert.

Tapi, sekali lagi siasatan ini menemui jalan buntu. Albert Boxall masih hidup. Lelaki itu telah datang ke balai polis beberapa hari kemudian untuk mengesahkan dia juga masih hidup. Sebagai bukti, Albert Boxall membawa bersamanya buku yang dihadiahkan oleh jururawat dengan perkataan ‘Tamam Shud’ masih lagi jelas di dalamnya.

Sejak itu, kes pembunuhan lelaki ‘Tamam Shud’ terus misteri. Bukti-bukti yang ada masih gagal menjelaskan identiti seterusnya menyelesaikan kes kematian lelaki ini. Pihak penyiasat gagal memutuskan sama ada mangsa mati dibunuh dengan diracun atau mangsa sebenarnya mati membunuh diri.

Sehingga hari ini, persoalan terus timbul. Siapa sebenarnya lelaki ‘Tamam Shud’ ini? Adakah dia membunuh diri atau dibunuh? Jika benar mangsa dibunuh, apakah senjata yang digunakan? Dan bermacam-macam persoalan kekal misteri tanpa jawapan.