MATI SELEPAS BERULANG KALI DISEKSA RITUAL EXORCISM

Siapa pernah tonton filem The Exorcism of Emily Rose? Filem ini berkisah tentang seorang paderi yang didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan ritual pengusiran syaitan (exorcism) sehingga menyebabkan kematian seorang gadis yang bernama Emily Rose.

Korang tahu tak, filem ini dibuat berdasarkan kisah benar yang berlaku di Jerman pada tahun 1976. Kejadian misteri ini berlaku kepada anak gadis pasangan Josef dan Anna Michel, bernama Anneliese Michel.

Anneliese lahir pada 21 September 1952 di Jerman. Awalnya, dia hidup normal sama orang lain. Gadis ini dibesarkan dalam pegangan Katolik yang kuat. Anneliese gadis periang dan disukai ramai. Tapi, itu semua sebelum dia mula diserang penyakit misteri pada tahun 1968, ketika berusia 16 tahun. Mula-mula, doktor kata Anneliese cuma menghidap penyakit batuk kering dan diberi rawatan di Hospital Mittelberg di Jerman. Setelah sembuh, Anneliese dibenarkan pulang semula ke rumah dan bersekolah seperti biasa.

Namun tak lama kemudian, tiba-tiba Anneliese sukar untuk bertutur dan mula berjalan dengan berpaut pada meja, kerusi atau apa sahaja yang berada dalam capaian tangannya untuk membantunya berdiri. Tahun 1973, Anneliese ditimpa kemurungan yang serius. Keadaan itu berlanjutan sehingga dia mengadu mula terlihat bayangan menyeramkan. Kata Anneliese, dia nampak muka syaitan pada dinding rumahnya. Dia turut menggambarkan, syaitan itu mempunyai 7 tanduk dan mahkota.

Lebih menyeramkan, ahli keluarga gadis ini pernah beberapa kali melihat Anneliese dalam keadaan tercampak, seperti dibaling ke tanah. Anehnya, tidak kelihatan sesiapa yang memperlakukan gadis itu sedemikian rupa. Pernah ketika mereka sekeluarga sedang makan malam, tiba-tiba kedua-dua tangan Anneliese membengkak secara mendadak sebelum dia tercampak ke belakang daripada kerusi yang sedang didudukinya. Anneliese hanya mampu menjerit kesakitan meminta tolong.

Keadaan gadis itu semakin memburuk setiap hari. Anneliese mula mengamuk dan melakukan bermacam perkara aneh, termasuklah menjilat air kencingnya sendiri. Dia juga makan lalat, labah-labah dan pernah menelan kepala burung yang sudah mati. Ada ketikanya, Anneliese akan merangkak masuk ke bawah meja dan menyalak seperti anjing. Menjerit dan mengoyakkan bajunya sudah menjadi aktiviti harian Anneliese.

Tak sanggup melihat anak gadis mereka terseksa, ibu bapa Anneliese menghubungi paderi sebagai alternatif untuk memulihkan anak mereka. Sebelum bersetuju memberikan rawatan ‘exorcism’ kepada Anneliese, Paderi Arnold terlebih dahulu membawa gadis itu bertemu ramai doktor untuk mendapatkan rawatan, namun menemui jalan buntu. Kata doktor, Anneliese menghidap sejenis penyakit sawan dan hanya diberikan pil untuk menenangkan dirinya.

Dua orang paderi lain mulanya tidak percaya Anneliese dirasuk, tapi terdiam apabila mereka menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu dihempas ke atas lantai tanpa ada sesiapa yang memegangnya. Tahun 1975, ketua paderi di kawasan tersebut telah memberi kebenaran kepada Paderi Arnold Renz dan Padero Ernst Alt untuk menjalankan ritual exorcism (pengusiran syaitan) terhadap Anneliese.

Rawatan berlangsung selama 10 bulan. Dalam tempoh itu, sebanyak 67 kali ritual ‘exorcism’ dijalankan. Setiap minggu, beberapa kali gadis itu menjalani ritual yang menyeksa tubuhnya. Kesemua ritual itu turut dirakamkan dalam bentuk audio.

Anneliese menghadapi kecederaan lutut yang serius sepanjang menjalani proses exorcism yang memerlukan dia melutut lebih daripada 600 kali pada setiap ritual yang kadangkala memakan masa berjam-jam lamanya. Hasil daripada ritual tersebut, kedua-dua paderi mendakwa dapat mengesan 6 jenis syaitan yang telah merasuk Anneliese iaitu Judas, Lucifer, Hitler, Nero, Fallen Priest dan Cain.

Sekalipun telah berpuluh kali ritual dijalankan untuk menghalau syaitan yang dikatakan merasuk tubuh gadis itu, dikatakan semuanya gagal. Anneliese terus hidup terseksa dan akhirnya meninggal dunia pada 1 Julai 1976, setelah lapan tahun bertarung dengan ‘penunggu’ yang menguasai dirinya.

Hasil bedah siasat mendapati kematian Anneliese disebabkan kekurangan air dan zat makanan. Dia juga menghidapi demam panas dan pneumonia ketika itu. Berat Anneliese sewaktu kematiannya hanyalah lebih kurang 30 kg.

Dua tahun selepas kematian Anneliese, mahkamah memutuskan kedua ibu bapa gadis itu berserta dua paderi yang ‘merawatnya’ didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Anneliese. Kesemua mereka dipenjarakan selama 6 bulan.

Selepas lebih 4 dekad kematian Anneliese, kes ini masih dipersoalkan. Ramai yang menyokong bahawa Anneliese mungkin menderita kerana sakit schizophrenia atau sejenis gangguan mental. Tetapi, tiada siapa mampu menerangkan kejadian bagaimana Anneliese dilambung dan dihempas ke tanah serta rakaman suara Anneliese yang dikatakan bercakap dalam bahasa kuno yang sudah tidak lagi digunakan ketika itu.

Sehingga kini. persoalan apa sebenarnya yang membunuh Anneliese terus menjadi tanda tanya.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!