KISAH REINKARNASI, MATI & DILAHIRKAN SEMULA

Pernah dengar tentang ‘reinkarnasi’ atau kisah kanak-kanak yang mendakwa dilahirkan semula dari kehidupan lampau?

Seorang lelaki bernama Tang Jiangshan yang dilahirkan pada tahun 1976 di Dong Fang, Hai Nan, China, mendakwa bahawa dia telah melalui proses dilahirkan semula ke dunia ini. Cerita Jiangshan, dia telah mati dibunuh dalam kehidupan yang lampau sebelum lahir dan dihidupkan semula dalam jasad yang baru.

Tang Jiangshan yang mendakwa dilahirkan semula dari kehidupan lalu.

Kisahnya bermula ketika Jiangshan berumur tiga tahun. Dalam usia sekecil itu, dia bercerita kepada kedua orang tuanya tentang kehidupan lalunya. Kata Jiangshan, namanya pada kehidupan lampau ialah Chen Mingdao dan berasal dari Dan Zhou. Namun, kedua orang tuanya tidak mempedulikan kata-kata anak mereka itu. Apatah lagi kawasan Dan Zhou terletak di utara pulau Hai Nan yang berjarak 160 kilometer dari kota Dong Fang.

Selain itu, Jiangshan turut menceritakan tentang dirinya yang mati dibunuh menggunakan golok dan tombak ketika revolusi kebudayaan perang saudara yang berlaku di Dan Zhou. Malah, parut luka daripada insiden itu didakwa masih berbekas dalam kehidupannya kini.

Ketika dia berumur enam tahun, Jiangshan mendesak kedua orang tuanya agar membawa beliau mengunjungi ahli keluarganya dalam kehidupan yang lampau. Pada mulanya mereka agak keberatan, namun akhirnya terpaksa juga menuruti kehendak Jiangshan selepas dia mengugut untuk ke sana secara sendirian.

Setibanya di Dan Zhou, Jiangshan terus berkunjung ke rumah lamanya untuk mencari ahli-ahli keluarganya yang lain. Di sini, dia telah menemui bapanya dalam kehidupan lampau, Chen Zan Ying. Dia menceritakan satu persatu kisah lampaunya kepada lelaki itu, termasuklah cerita mengenai kematiannya.

Apa yang mengejutkan ialah penceritaan Jiangshan langsung tidak meleset, seterusnya membuatkan Chen Zan Ying percaya kanak-kanak di hadapannya itu ialah jelmaan Chen Mingdao, anaknya yang telah meninggal dunia.

Selain itu, Jiangshan turut mengenali dua orang kakak dan adiknya serta beberapa sahabat lama di kampung tersebut. Malah, dia juga turut menemui teman wanitanya pada kehidupan lampau iaitu Xie Shuxiang.

Jiangshan berjaya menemui semula keluarga dari kehidupan lalu.

Bermula dari saat itu, kehidupan Jiangshan telah berubah. Dia kini memiliki dua kehidupan yang berbeza di Dong Fang dan Dan Zhou. Malah dia juga mempunyai dua keluarga yang berbeza latar belakang.

Kisah Jiangshan ini turut mendapat liputan daripada media tempatan. Pada awalnya banyak pihak meragui hal berkenaan, namun setelah melalui beberapa kali pemeriksaan dan disahkan oleh pakar tempatan, mereka mengakui kejadian aneh ini.

Sementara itu di Glasgow, Scotland, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Cameron Macauley, turut mengalami hal yang serupa. Apa yang memeningkan kepala si ibunya, Norma ialah anak ini sering menceritakan tentang kehidupan masa lalunya di sebuah pulau terpencil bernama Barra.

Barra Island, tempat di mana Macauley mendakwa dia berasal pada kehidupan lalunya.

Dia menjelaskan secara terperinci kenangan sewaktu zaman kanak-kanak, tinggal di sebuah rumah putih di tepi pantai, sering melihat pesawat mendarat menerusi tingkap biliknya, memiliki seramai tujuh orang adik-beradik, berbicara tentang bekas ayahnya bernama Shane Robertson yang telah mati dilanggar kereta, serta mempunyai dua ekor anjing berwarna hitam dan putih. Bertambah pelik, dia kerap menangis kerana terlalu merindui adik-beradiknya di sana dan bermain rockpools di pantai.

Norma kemudian berjumpa pakar psikologi untuk merujuk perihal perlakuan aneh anaknya. Menurut pakar, kata-kata yang dituturkan Macauley mungkin hanya sekadar imaginasi yang terjana menerusi maklumat program televisyen yang pernah ditonton sebelum ini.

Masih tidak berpuas hati, Norma tekad membawa anaknya ke Bara. Tiba di Bara, anak ini mengaku mengenali banyak bahagian pulau itu. Sayangnya, mereka tidak dapat mencari rumah putih seperti yang diceritakan.

Mereka mengunjungi pusat warisan tempatan untuk mencari nota setiap keluarga di pulau itu. Sejarawan tempatan, Calum Robertson MacNeil memberitahu keluarga Robertson pernah tinggal di sebuah rumah putih di tepi pantai sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Ketika mereka sampai di rumah berkenaan, Macauley tiba-tiba terdiam dan tunduk. Norma menemui banyak perkara mirip seperti yang didakwa anaknya itu. Tetapi sebahagian besar kawasan itu telah dimodenkan hingga menjadi begitu asing. Menurut MacNeil, keluarga Robertson pernah mempunyai anak seusia Macauley. Tapi, tidak pernah berlaku kematian dalam keluarga itu.

Macauley juga tidak pernah sampai ke Bara yang terletak di luar pantai barat Scotland, yang jaraknya sejauh 220 kilometer dari Glasgow. Jadi, bagaimana kanak-kanak ini mengetahui tentang kehidupan asing itu?

Profesor Paul Kurtz dari State University of New York di Bufflo, yang menyiasat dakwaan paranormal ini mengatakan, dalam situasi sebegini ibu bapa banyak ‘menipu diri sendiri’. Mereka tertarik dengan misteri, justeru membina sebuah jalan cerita dongeng. Itu sekadar salah satu teori yang boleh diterima logik akal.

Kes Tang Jiangshan dan Macauley ini merupakan sebahagian daripada ribuan kes kanak-kanak dari seluruh dunia yang mendakwa memiliki kenangan hidup sebelumnya. Sebuah jabatan di Universiti Virgina telah dibentuk sejak 40 tahun lalu bagi mengkaji kisah-kisah pelik ini namun masih belum ada hujah yang kukuh mengenainya.

 

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!