MASIH BERNYAWA WALAUPUN TUBUH MEMBEKU

Pada 20 Disember 1980, seorang gadis berusia 19 tahun bernama Jean Hilliard dalam perjalanan pulang ke rumah orang tuanya di Lengby, Minnesota, Amerika Syarikat selepas menemui rakannya.

Jean memandu seorang diri. Jalan ketika itu agak licin lantaran diliputi salji tebal. Mulanya, semua baik-baik sahaja sehinggalah sampai si sebuah laluan diselaputi ais, kenderaan yang dipandu Jean hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit.

Akibat kemalangan itu, keretanya rosak teruk. Mujur gadis ini tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Malam itu pula suhu sangat sejuk hampir mencecah -22 darjah Celsius. Dalam keadaan cuaca sebegini, risiko mati kesejukan dan terkena hipotermia amat tinggi.

Setelah kemalangan, Jean memutuskan untuk tidak mahu menunggu di dalam kereta. Laluan itu sunyi. Jadi, dia bertindak keluar dari kenderaan dan mulai berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan.

Tanpa mempedulikan cuaca sejuk, Jean terus berjalan ke rumah rakannya, Wally Nelson, yang tinggal berdekatan. Beberapa minit berjalan, dia merasakan langkah kakinya semakin berat dan jarak yang dilalui juga terasa jauh.

Jean tetap menggagahkan diri untuk terus melangkah. Sekitar pukul 1.00 pagi, Jean masih lagi berjalan meredah kegelapan malam dalam cuaca dingin. Selepas lebih tiga kilometer menempuh laluan bersalji, gadis ini akhirnya semakin menghampiri tempat yang dituju. Namun, dia rebah sebaik sahaja melihat jalan masuk ke rumah rakannya.

Mulanya dia berasa lega selepas melihat rumah kawannya. Malang sekali, saat melangkah menghampiri tempat itu, seluruh badannya terasa begitu berat dan semakin tidak bermaya. Akhirnya Jean tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

Secara fisiologi, Jean mengalami keletihan dan penghidratan akibat  kehilangan air dalam badan. Faktor tersebut menyebabkan gadis berkenaan tidak dapat bergerak dan akhirnya jatuh pengsan.

Selama enam jam Jean terbaring tidak sedarkan diri di atas jalan yang diliputi salji. Sepanjang detik itu juga tiada seorang pun menyedari apa yang berlaku ke atas dirinya. Sampailah pada pukul 7.00 pagi, apabila Wally keluar rumah, dia ternampak Jean terbaring kaku di atas jalan.

Dia kemudian berlari ke arah Jean dan memeriksa keadaan rakannya itu. Tapi, alangkah terkejut apabila mendapati badan Jean sudah membeku. Segala-galanya kaku dan mengeras. Mata terbuntang tanpa tindak balas. Seluruh tubuhnya sudah berubah pucat serupa mayat.

Wally kemudian mengangkat Jean masuk ke dalam kereta dan membawanya ke Hospital Perbandaran Fosston. Di hospital, Dr. George Sather yang memeriksa Jean tidak yakin apakah gadis itu boleh diselamatkan atau tidak. Mana tidaknya, badan mangsa terlalu keras seperti sekeping daging yang baru sahaja keluar daripada peti beku. Apa saja jenis jarum tidak dapat menembusi tubuhnya.

Hasil pemeriksaan menunjukkan, Jean bernafas dengan sangat perlahan iaitu hanya menghasilkan lapan degupan jantung dalam tempoh seminit. Kadangkala detaknya berbunyi sekali sahaja dan kemudian berhenti. Sejurus itu, berdegup semula sebanyak dua kali dan berhenti lagi, begitulah seterusnya.

Kata Dr. Sather, Jean mungkin tidak dapat diselamatkan. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan dengan hanya meletakkan beberapa pek hangat di sekeliling tubuhnya. Dengan harapan, alat itu boleh memanaskan sekali gus meningkatkan suhu badan gadis tersebut.

Menakjubkan, sekitar jam 1.00 tengah hari, kedengaran suara Jean sayup-sayup meminta segelas air. Ajaibnya, dia kembali sedar selepas ibunya memegang lengan dan memanggil namanya. Akan tetapi, dua jam kemudian, Jean tiba-tiba mengalami kekejangan.

Dari sudut perubatan, ia satu petanda baik, tetapi bahaya masih belum berakhir. Apa yang dikhuatiri ialah walaupun Jean telah kembali sedar, dia mungkin mengalami kerosakan otak yang serius. Kakinya juga mungkin akan dipotong kerana mengalami frostbite yang sangat parah.

Jean bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami komplikasi tersebut. Malah, keajaiban demi keajaiban berlaku pada gadis itu di mana dia sudah dapat menggerakkan tangannya hanya sehari selepas sedar. Tiga hari berikutnya, dia turut berjaya menggerakkan kakinya.

Apa yang menimpa Jean dianggap satu keajaiban dalam dunia perubatan

Jean dimasukkan ke ICU selama enam hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. 49 hari kemudian, gadis berkenaan dibenarkan pulang dan kembali meneruskan hidup seperti biasa. Doktor begitu kagum dengan kejadian ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah perubatan.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!