MAHKOTA KISRA DI KEPALA SURAQAH

“Muhammad, tunggu!” Lelaki itu terus mengejar dan mengejar. Namun, Nabi s.a.w tidak mempedulikannya.

“Muhammad, tunggu. Aku, Suraqah bin Malik, Ketua Bani Mudlij. Aku mahu membunuhmu!”

Nabi tetap tidak mempedulikan suara itu dan meneruskan perjalanan. Dalam pada itu, Baginda s.a.w berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku, lindungi kami daripada lelaki ini.”

Suraqah terus memecut kudanya hingga menghampiri Nabi s.a.w dan beberapa orang sahabat yang menemani Baginda. Mereka terdiri daripada Abu Bakar as-Siddiq, Amir bin Fuhairah, Abdullah bin Uraiqith, sebagai penunjuk jalan dan beberapa orang lain.

Tanpa diduga, kuda yang ditunggangi Suraqah rebah. Suraqah terjatuh dan tersungkur ke tanah.  Dia bingkas bangun dan menunggang kembali kudanya, kemudian mengejar kembali Baginda dan rombongan kaum Muslimin. Sekali lagi perkara yang sama berlaku. Kaki kudanya terbenam ke dalam pasir.  Bersusah payah kuda itu menarik kakinya keluar. Suraqah memukul dengan cemeti, agar kuda tunggangannya bergerak lebih pantas supaya dapat mengejar Nabi.

Ada riwayat yang menyatakan, ketika kuda itu menarik kakinya, keluar asap hitam. Hal yang sama berlaku berulang kali setiap kali kuda Suraqah menghampiri Nabi. Ada juga riwayat menceritakan bahawa Nabi s.a.w mendatangi lelaki itu dan memberikan pertolongan, walaupun Baginda tahu tujuan sebenar kedatangannya.

Hal ini menyebabkan Suraqah diselubungi perasaan takut. Namun, dia tetap tidak berputus asa. Kali ini bukan untuk membunuh, sebaliknya ingin memohon maaf. Ada juga yang menyatakan di sebalik rasa takut, lelaki itu kagum dengan akhlak Nabi s.a.w yang masih mahu membantunya dalam situasi itu.

“Muhammad! Aku bukan mahu membunuhmu!” laung Suraqah. Kemudian, barulah kuda itu dapat berjalan seperti biasa.

Sekali lagi Suraqah berteriak, “Muhammad, aku bukan musuhmu lagi. Aku mahu minta maaf.”

Ketika itu Nabi sudah jauh ke hadapan. Namun, Baginda s.a.w dan sahabat yang lain masih dapat mendengarnya. Mereka berhenti, biarpun dihantui perasaan curiga.

Suraqah kelihatan begitu bersungguh-sungguh. “Benar, wahai Muhammad, aku tidak akan membunuhmu. Kau tuliskan sepucuk surat tentang pengakuanku ini.”

Kemudian, Rasulullah menyuruh sahabat Baginda s.a.w, Amir bin Fuhairah mengambil pelepah tamar dan menulis pengakuan tersebut. Ia diperakui oleh Suraqah sendiri.

“Wahai Muhammad, teruskanlah perjalananmu ke Madinah. Tidak akan ada sesiapa yang akan mengganggumu lagi.”

Dalam riwayat lain mencoretkan Suraqah berkata, “Aku pasti agamamu akan beroleh kemenangan. Berjanjilah kepadaku, andai suatu hari nanti aku datang kepadamu, kau terimalah aku. Kau tulislah sesuatu agar aku dapat menjadikan ia sebagai bukti.”

Mendengar kata-kata lelaki itu Rasulullah menyuruh Abdullah bin Uraiqith menuliskan di atas sehelai kulit dan diberikan kepada lelaki berkenaan. Malah, Baginda s.a.w bersabda kepadanya, “Wahai Suraqah, bagaimana andai suatu hari nanti, kau memakai mahkota kebesaran Kisra?”

Suraqah terperanjat. Sukar untuk mempercayai apa yang didengarnya. Dia membalas dengan nada yang sangat terkejut, “Mahkota kebesaran Kisra bin Hurmuz?”

“Ya,” balas Baginda s.a.w dengan yakin.

Kemudian, masing-masing membawa haluan sendiri. Nabi s.a.w dan rombongan ke Madinah, manakala Suraqah kembali ke Kota Mekah. Dalam perjalanan, dia menemui sekumpulan kaum Musyrikin yang sedang menjejak Nabi.

“Kalian pulanglah. Aku tidak menemui tanda yang menunjukkan Muhammad melalui jalan ini,” ujarnya. Kumpulan itu percaya apa yang diperkatakan oleh Suraqah, kerana kehebatannya memang diketahui umum.

Peristiwa itu berlaku ketika awal penghijrahan Baginda s.a.w ke Madinah. Suraqah, cukup terkenal sebagai seorang penjejak yang hebat di padang pasir serta berpengetahuan luas. Dia  tertarik dengan tawaran daripada kaum Musyrikin Mekah untuk membunuh Nabi. Kata mereka, “Sesiapa yang berjaya membawa Muhammad, sama ada hidup atau mati, akan diberikan 100 ekor unta betina sebagai habuan.”

Tanpa berlengah, Suraqah mengambil pedang dan panah, kemudian menunggang kuda bersendirian mengejar Nabi yang dikhabarkan dalam perjalanan ke Madinah. Di pertengahan jalan itulah, mereka terserempak.

 

Pertemuan semula

Kira-kira 10 tahun kemudian, Suraqah bertemu kembali dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu Madinah sudah terkenal sebagai kota dan pusat pemerintahan Islam.  Dalam pertemuan itulah dia melafazkan taat setianya kepada Islam bersaksikan Baginda s.a.w sendiri.

Setelah memeluk Islam, Suraqah menjadi seorang yang sangat taat kepada agama dan aktif dalam kegiatan dakwah menyebarkan syariat Allah. Biarpun dia hanya sempat bersama Rasulullah selama sembilan bulan, tetapi kesannya sangat mendalam. Malah, dia sentiasa berada di barisan hadapan demi menegakkan kalimah tauhid.

Suraqah hidup sehingga zaman Khalifah Umar al-Khattab. Bahkan dia adalah antara pahlawan yang terlibat dalam peperangan antara tentera Islam dan kerajaan Parsi, yang membawa kemenangan kepada kaum Muslimin. Sebaik sahaja Istana Kisra berjaya ditawan, terlalu banyak harta rampasan yang diperoleh.

Tatkala Khalifah Umar terpandang mahkota dan alat kebesaran Kisra bin Hurmus, beliau memanggil Suraqah, lalu dipakaikan sepersalinan lengkap pakaian di raja Parsi yang hebat itu. Pedang dan tali pinggang disisipkan ke pinggangnya. Dipakaikan juga mahkota, dan sepasang gelang kebesaran di kedua-dua belah tangan lelaki itu, diiringi laungan takbir.

Suraqah yang terkejut, terdiam bagai patung. Ketika itulah fikirannya melayang pada kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Rasulullah suatu waktu dahulu.

Dengan linangan air mata, dia berkata, “Wahai kekasih Allah, walaupun kau tiada lagi di dunia ini. Namun, kau tetap menunaikan janjimu dan kau masih membenarkan janjimu padaku dahulu.”

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!