MACAM MANA ORANG DULU TAHU HAMIL KE TIDAK?

Rasa mual, loya dan muntah-muntah? Anda hamil?

Zaman ini semua serba mudah. Perempuan nak tahu mengandung ke tidak, pergi saja ke farmasi beli alat penguji kehamilan. Senang, bukan?

Pernah anda terfikir macam mana orang zaman dahulu nak tahu tentang kehamilan mereka. Zaman dulu mana ada segala peralatan seperti sekarang. Takkan hanya sekadar melihat tanda loya, muntah atau pening sahaja?

Sebenarnya, sejarah zaman dahulu untuk tahu wanita itu mengandung atau tidak banyak dipenuhi mitos, kepercayaan pelik dan teknik aneh.

Contohnya, masyarakat Mesir purba akan memberi minuman alkohol kepada wanita yang dirasakan mengandung. Sekiranya wanita tersebut cepat mual, berkemungkinan dia hamil. Kaedah ini kemudian berubah kepada ujian air kencing.

Ahli sejarah percaya bahawa doktor Mesir purba adalah golongan pertama yang menemui cara untuk mengesan kehamilan melalui ujian air kencing, sekitar 6,000 tahun Sebelum Masihi (SM).

Menerusi kaedah ini, wanita diarahkan membuang air kecil di atas tanaman gandum dan jerai. Jika hormon estrogen meningkat dalam urin wanita, bibit tanaman tersebut tumbuh dan itu menandakan wanita berkenaan hamil.

Bagi menentukan jantina bayi dalam kandungan pula, mereka akan lihat yang mana tumbuh terlebih dahulu, sama ada gandum atau jelai. Sekiranya jelai tumbuh dahulu, itu bererti jantina anak dalam kandungan adalah lelaki. Tapi jika gandum yang tumbuh, ini bererti bayi tersebut adalah perempuan. Sebaliknya jika kedua-dua tanaman itu tidak hidup, bermakna wanita tersebut belum lagi hamil.

Pada tahun 1963, para saintis cuba mengkaji kebenaran teori ini. Hasil penyelidikan mendapati, 70 peratus urin ibu hamil sememangnya boleh menggalakkan pertumbuhan dengan cepat.

Seorang doktor Muslim dari Parsi, Ibnu Sina yang terkenal pada tahun 981 SM hingga 1031 SM telah mengubahsuai ujian kehamilan dari Mesir ini dengan satu teknik baru. Beliau memercikkan belerang atau sulfur pada urin untuk melihat apakah akan berlaku tindak balas pada cacing. Sekiranya cacing berkembang biak, ini bermakna wanita berkenaan hamil.

Penyelidikan berkaitan ujian kehamilan terus berevolusi. Amalan perubatan Hippocrates pada tahun 460 SM hingga 370 SM dan masyarakat kuno Greek, kaedah mengesan kehamilan yang mereka gunakan mirip dengan cara yang dipraktikkan di Mesir. Salah satu antaranya, memberi minum susu ibu yang baru beranak kepada wanita yang dijangka hamil. Jika wanita itu muntah, bermakna dia mengandung.

Pada abad pertengahan, teknik ujian kehamilan lebih kepada kajian dan bukannya teori semata-mata. Antara eksperimen dilakukan termasuk mencampurkan urin wanita dengan alkohol dan mengamati hasilnya. Pakar perubatan cenderung melakukan eksperimen kehamilan dengan menggunakan beberapa jenis haiwan.

Pada tahun 1928, saintis Jerman, Selmar Aschheim dan Bernard Zondek merupakan orang pertama memperkenalkan ujian ke atas tikus. Urin wanita akan disuntik ke dalam punggung tikus betina. Seratus jam selepas suntikan, tikus tadi dibedah untuk memeriksa bahagian ovarinya untuk melihat jika ada perubahan terhadap hormon yang dikeluarkan oleh ibu hamil. Hormon yang dipanggil ‘human chorionic gonadotropin’ (hCG) boleh ditemui dalam urin dan darah wanita hamil.

Ekperimen mengesan kehamilan ini bukan hanya dilakukan pada tikus, tetapi juga haiwan-haiwan lain seperti arnab dan katak, bagi mengesan perubahan hormon dalam urin wanita.

Dan pada abad ke-20, penguji kehamilan digital dengan jalur uji klinikal berjaya dicipta. Alat tersebut dapat menunjukkan keputusan yang cepat, tepat dan boleh dilakukan sendiri di rumah. Itulah alat yang pada hari ini boleh kita beli di farmasi untuk mengesan kehamilan.

Macam tu lah ceritanya. Panjang juga sejarah kisah inovasi pengesan kehamilan ni, padahal nak buat wanita tu hamil mudah saja, bukan? 😅😅

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!