Maafkan Aliya…

TEETT… teettt… teett..

Aliya tersentak. Bunyi deringan itu datang dari telefon bimbit majikannya yang dipanggil Kak Amy. Aliya mendongak. Melihat ke arah jam dinding di kedai cenderahati tempat dia bekerja. Pukul 9:50 pagi. Ya, waktu yang sama seperti hari-hari sebelumnya.

Seperti biasa, apabila terdengar bunyi penggera telefon bimbit itu, Kak Amy akan bergegas keluar dari kedai. Nampak seperti dia tidak sabar bertemu seseorang yang amat penting. Aliya sendiri rasa pelik dengan kelakuan wanita cantik berkulit cerah itu.

Kedai cenderahati tempat Aliya bekerja terletak dalam sebuah pasar raya. Hampir seminggu bekerja di situ, Aliya sering tertanya-tanya tentang ‘rahsia’ Kak Amy. Apa sebenarnya yang dibuat majikannya itu setiap hari pada pukul 9:50 pagi?

Apabila alarm telefon bimbit berbunyi tepat pada waktu itu, pasti Kak Amy akan keluar. Adakah bertemu seseorang? Jumpa suami? Hish, mustahil! Sebab, suami Kak Amy adalah seorang guru. Sudah pasti berada di sekolah waktu itu. Begitu juga dengan dua orang anaknya.

Itu yang membuat Aliya mula curiga. Apatah lagi melihat sikap majikannya itu, seolah-olah tidak sabar menanti sesuatu. Apabila telefonnya berbunyi tepat jam 9:50 pagi, riak wajah Kak Amy akan berubah ceria dan berseri-seri. Lagaknya bagai mahu berjumpa seorang kekasih yang sangat dirindu.

Otak Aliya mula berfikir bukan-bukan. Mungkin kah majikannya itu ada kekasih gelap? Tak mustahil. Kak Amy yang berusia lingkungan 30-an masih cantik, boleh saja pikat  lelaki hidung belang. Mungkinkah mereka gunakan waktu itu untuk bertemu dan memadu kasih?

“Hish, tak baik fikir buruk. Takkanlah Kak Amy buat macam tu,” getus Aliya dalam hati.

Kadang-kadang Aliya rasa mahu mengekori wanita itu senyap-senyap. Teringin pula dia hendak jadi penyiasat macam watak kartun Conan yang popular di kaca TV itu. Tapi, bila fikirkan kedai yang terpaksa ditinggalkan tanpa pekerja, hasrat menjadi Conan pun terkubur.

Hari itu, Aliya nekad. Dia tak mahu lagi terus dipenuhi prasangka dan tanda tanya. Dia bulatkan tekad. Dia akan bertanya sendiri kepada Kak Amy.

Ke mana Kak Amy pergi bila deringan jam 9:50 berbunyi? Jumpa siapa? Hmm… harap-harap majikannya itu tidak melenting bila Aliya bertanya. Takut juga kalau-kalau nanti dia dikata ‘minah penyibuk’.

Jam 11:00 pagi, Kak Amy sudah terpacul semula di depan pintu kedai. Senyuman masih bersisa di bibirnya. Tanda bahagia barangkali. Aliya mula berasa jengkel. Takkanlah Kak Amy ada kekasih gelap? Kalau ya, gatal juga majikannya ini. Kebetulan waktu itu ramai pula pelanggan yang masuk ke kedai.  Aliya mengeluh. Terpaksa dia tangguhkan dulu hasratnya untuk bertanya pada Kak Amy.

Keesokan hari, pagi-pagi lagi Kak Amy telah mengarahkan agar Aliya menjaga kedai. Katanya, mahu keluar sebentar untuk menyelesaikan sedikit urusan di bank. Aliya akur dengan arahan majikannya itu.

Sedang Aliya sibuk mengelap habuk di celah-celah rak yang menempatkan bingkai gambar, tiba-tiba telinganya dikejutkan bunyi yang sudah acap kali didengarinya setiap kali tepat pukul 9:50 pagi.

Teettt.. teettt…teett… 

Hah, Kak Amy tertinggal telefon? Patutlah, rupa-rupanya telefon Kak Amy sedang di caj. Mungkin kelam kabut masa hendak keluar tadi, dia terlupa tentang telefonnya itu.

Kali ini, Aliya bertindak berani. Dia mencapai telefon bimbit berwarna merah itu. Hatinya berdebar-debar. Alarm telefon itu masih berbunyi. Kali ini, Aliya dapat melihat dengan jelas pada skrin telefon majikannya itu.

Rasa ingin tahu Aliya melonjak-lonjak. Dia mahu tahu untuk apa alarm itu berbunyi setiap hari pada waktu yang sama. Lantas, Aliya melihat jelas ayat yang tertera pada skrin telefon itu.

Gulp! Aliya menelan air liur. Rupa-rupanya ini rahsia Kak Amy selama ini. Betul jangkaan Aliya. Memang betul Kak Amy pergi berjumpa kekasihnya. Tapi, ia bukan seperti yang dibayangkan oleh Aliya. Kekasih majikannya itu memang patut diingati dan ditemui selalu.

Sebabnya? Jelas pada paparan telefon itu tertulis – Solat Dhuha!

Aduh, itu sebenarnya jawapan yang dicari Aliya. Maafkan Aliya ya Kak Amy…

 

Nukilan : Azza Isma

 

 

#xmastika