LUMPUHNYA SEBUAH BANDAR ANGKARA ‘HUJAN BELALANG’

Peristiwa bermula pada Julai tahun 1874. Kejadian yang tercatat dalam lipatan sejarah penduduk di Kansas, Amerika Syarikat apabila mereka diserang ‘tetamu’ tidak diundang.

Tetamu berhabitat di Gunung Rocky ini tidak datang berseorangan. Akan tetapi, melibatkan jumlah besar dipercayai mencecah angka jutaan. Apa pun, kedatangan ‘mereka’ banyak memberi kesan buruk terhadap penduduk dan kawasan sekitar.

Tetamu yang dimaksudkan adalah sang belalang (Melanoplus Spretus).

Belalang Melanoplus Spretus

Pada hari itu, cuaca tampak redup walaupun matahari memancarkan sinaran. Bagaikan ada sesuatu yang menghalang pancaran cahaya matahari.

Tidak hanya itu, bunyi desingan juga sayup-sayup kedengaran. Lama-kelamaan, bunyi itu semakin mendekat dan kian jelas. Akan tetapi, tidak dapat dipastikan dari mana arah bunyi berkenaan datang. Tiada siapa yang perasan akan kelainan cuaca pada hari tersebut kecuali seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Lillie Marcks.

Lillie yang sedang asyik memerhatikan cahaya samar matahari menerima kejutan secara tiba-tiba. Bagaikan hujan batu, jutaan belalang jatuh dari langit dan mula membanjiri kawasan penduduk. Setiap ruang dipenuhi dengan serangga itu termasuk rumah, ladang tanaman, pokok, pagar dan apa saja yang berada di kawasan terbuka.

Situasi hari itu diibaratkan seperti musim salji dengan keberadaan serangga yang memenuhi ruang langit. Golongan petani berlari menyelamatkan tanaman mereka dengan cara menutup menggunakan selimut, kain atau guni. Suasana menjadi kelam-kabut berikutan kebanjiran jutaan belalang dalam masa yang singkat sehingga menyukarkan tindakan penduduk.

Selain tanaman seperti gandum dan jagung, takungan air yang disimpan juga ditutup dengan rapi bagi mengelak kemasukan serangga. Difahamkan, hanya itu satu-satunya bekalan penting yang berjaya diselamatkan. Jika keperluan asas itu berjaya dijejaki belalang, ia dikhuatiri akan mencemarkan kandungan air.

Selepas beberapa ketika, langit mulai bersih daripada kegelapan sementara. Begitu juga dengan matahari yang kembali terik memancarkan cahayanya. Pada masa cuaca sedang berada dalam keadaan baik, ia sebenarnya menjadi permulaan kepada kemusnahan yang bakal berlaku.

Pendaratan jutaan kawanan belalang sepenuhnya telah mencetuskan kerosakan teruk ke atas keadaan sekeliling. Rumah-rumah penduduk mengalami kerosakan akibat dimamah serangga. Perhiasan seperti perabot dan perkakas turut terkesan. Serangan daripada kawanan belalang selama berhari-hari menjadi igauan ngeri buat penghuni di kawasan terlibat. Lebih teruk, tanaman dan segala hasil yang diselimutkan tempoh hari rosak akibat dibedal sang belalang.

Pada masa sama, ia turut menjejaskan rutin harian penduduk termasuk aktiviti di dalam rumah. Bayangkan, warga penghuni kawasan ini terpaksa membersihkan tempat tidur setiap hari gara-gara ruang berkenaan dipenuhi belalang. Selain itu, landasan kereta api turut menerima tempias kerana kawanan serangga memenuhi ruang pada besi yang menyerap haba panas dari matahari.

Dipendekkan cerita, segala-galanya terjejas sejak jutaan belalang muncul yang diumpamakan seperti wabak serangan penyakit. Bagi mengatasi gangguan serangga tersebut, penduduk melancarkan rancangan balas dengan cara menyalakan api untuk membakar. Langkah itu diharapkan dapat menghalau dan mematikan belalang daripada terus merosakkan kawasan mereka.

Bagaimanapun, kaedah itu masih tidak mampu menyelesaikan kekacauan yang tercetus. Jumlah belalang yang terlalu banyak dikatakan semakin sukar untuk dibendung. Ratusan yang telah mati digantikan dengan ribuan serangga yang masih hidup di seluruh kawasan tersebut. Kesemua belalang di situ seolah-olah menerima arahan untuk melakukan kemusnahan secara besar-besaran.

Musim bunga dan cuaca panas yang berlaku serentak menjadi faktor berlakunya serangan belalang dalam jumlah yang banyak. Penghijrahan secara besar-besaran itu bertujuan untuk mencari habitat baru sekali gus sebagai lokasi pembiakan. Bagi menyelamatkan keadaan, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada penduduk bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Selain Kansas, wilayah lain yang turut menerima serangan belalang adalah Minnesota, Iowa, Nebraska, Colorado Territory dan Dakota. Tragedi serangan belalang dikatakan berlarutan sehingga memasuki tahun berikutnya. Ia mula mengalami pengurangan apabila telur serangga berkenaan rosak semasa berlakunya ribut salji pada tahun 1875. Golongan petani berasa lega kerana dapat menanam semula tanaman mereka. Usaha menghapuskan serangga berkenaan masih lagi giat dijalankan penduduk.

Pada tahun 1880-an, serangan belalang mula mengalami penurunan dan semakin pulih dari tahun ke tahun. Spesies serangga ini dilaporkan semakin pupus menjelang abad ke 20. Penemuan spesimen terakhir ditemui di Kanada pada tahun 1902. Punca kepupusan masih lagi misteri dan menjadi persoalan golongan saintis.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!