TRAGEDI LETUPAN HIROSHIMA SUNGAI BULOH

Masih ingatkan anda dengan satu tragedi letupan kilang terburuk dalam sejarah di negara kita? Letupan kilang mercun yang juga digelar sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh.

Tarikh 7 Mei 1991 , jam 3.45 petang, penduduk di kawasan Sungai Buloh, Selangor, dikejutkan dengan satu letupan yang sangat kuat pada pukul 3.45 petang. Sebuah kilang mercun yang dikenali sebagai Bright Sparklers Sdn. Bhd. yang beroperasi di situ terbakar dan meletup secara tiba-tiba.

Berdasarkan laporan polis, letupan kuat kilang mercun ini telah mengorbankan hampir 26 nyawa di samping lebih 83 orang lagi cedera parah. Disebabkan kemusnahan yang tragis ini, tragedi ini turut digelar sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’ kerana ledakan yang dihasilkan daripada letupan itu diibaratkan seperti perang nuklear di Hiroshima, Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Letupan yang dihasilkan kilang ini telah mengakibatkan kemusnahan besar. Gegaran dirasai sehingga hampir tujuh kilometer dari lokasi kilang dan menyebabkan harta benda di kawasan berhampiran musnah. Kebanyakan rumah-rumah di kawasan Selayang dan Seri Manjalara rosak teruk. Hampir seluruh cermin tingkap rumah pecah dan bangunan-bangunan juga retak.

Letupan ini dikatakan berpunca daripada 200 tan belerang yang tiba-tiba terbakar sehinggakan percikan bunga api dan serpihan-serpihan belerang bertebaran ke udara.

Letupan pertama rupa-rupanya hanyalah petanda awal kejadian. Selang 10 minit kemudian, letupan kedua menyusul diikuti letupan ketiga dan yang paling kuat berlaku pada pukul 4.00 petang yang dapat dirasai sehingga jarak empat kilometer.

Seterusnya, lebih daripada 20 letupan berterusan sehingga ruang udara dipenuhi dengan kepulan asap dan ia boleh dilihat pada jarak lapan kilometer. Bukan hanya kemalangan jiwa, malah beberapa kilang lain yang turut berada berdekatan dengan lokasi kejadian turut terbakar. Jika pada jarak tujuh kilometer malapetaka ini mampu memecahkan cermin tingkap, bagaimana pula keadaan mereka yang berada berhampiran dengan tempat kejadian?

Keadaan ketika itu panik dan huru hara. Semua orang cuba menyelamatkan diri sehingga ada yang meninggal akibat kemalangan jalan raya. Berpuluh-puluh kenderaan dan motosikal musnah, hangus terbakar di atas jalan. Kebanyakan daripada mereka yang sedang memandu tidak sempat untuk menyelamatkan diri dan mati di tempat kejadian.

Ada juga yang cuba untuk  menyelamatkan diri bagi mengelak serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan. Namun bahang api yang menggila menyukarkan mereka untuk melarikan diri daripada lokasi kilang. Ketika itu, berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah merah kelihatan di merata-rata tempat.

Dalam sekelip mata, seluruh kawasan di sekitar kilang mercun itu musnah. Tragedi ini turut mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa. Pihak keselamatan terutamanya jentera bomba berusaha untuk menyelamatkan mangsa. Hampir lapan jentera bomba diperlukan untuk memadamkan kebakaran. Walau bagaimanapun, pelbagai masalah timbul menyukarkan tugas bomba untuk menyelamatkan mangsa dan usaha untuk memadam api.

Daripada pukul 3:45 petang sehingga ke tengah malam, letupan demi letupan masih berlaku. Walaupun hampir 50 orang anggota bomba bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran, namun ia sukar.

Dalam pada itu juga, timbul pelbagai masalah lain. Pihak bomba terpaksa menggunakan bekalan air yang dibawa sendiri ekoran tekanan air yang terlalu rendah di kawasan berkenaan. Malah, bukan itu sahaja, faktor pili bomba yang terlampau jauh serta keadaan angin yang begitu kuat pada petang tersebut juga menyebabkan api merebak terlalu cepat.

Mangsa yang tercedera kian meningkat. Hampir sembilan buah ambulan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan lima buah lagi dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkat dan membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan. Ada juga orang awam yang membantu membawa mangsa ke hospital dengan menaiki lori dan van.

Setelah bertungkus lumus, akhirnya pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan perumahan berhampiran dengan kawasan kilang. Kesan daripada kebakaran dan letupan yang tidak dijangka ini akhirnya membongkar penemuan yang tidak disangka. Kilang mercun yang telah beroperasi sejak tahun 1978 ini rupa-rupanya mempunyai tempat simpanan bahan bakar di bawah tanah.

Disebabkan itu, anggota bomba harus berhati-hati dan menjalankan tugas kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada sekurang-kurangnya tiga lagi tempat simpanan bahan letupan bawah tanah itu yang masih belum meletup. Sementara itu, dua daripada tempat simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter.

Sehari selepas kejadian itu, gerakan mencari mangsa yang dilakukan pasukan penyelamat menemui 21 mayat yang terbunuh. Salah seorang daripadanya disahkan seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang berkenaan yang juga dikatakan pengurus di kilang itu. Seramai 83 orang mangsa yang cedera parah dirawat di hospital. Malapetaka ini juga telah menyebabkan hampir 37 buah rumah dan beberapa kilang rosak teruk selain berpuluh-puluh kenderaan musnah. Malah ada juga mangsa yang masih tidak dijumpai dan mungkin tertimbus.

Walau bagaimanapun, tidak semua identiti mangsa yang hilang dapat dikenal pasti disebabkan kebanyakan pekerja tidak didaftarkan oleh pihak majikan. Ekoran timbulnya masalah ini, akhirnya pihak berkuasa mengesan bahawa kilang mercun itu beroperasi secara haram selain bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur.

Punca utama kebakaran juga dikenal pasti. Ia disahkan berpunca daripada kelalaian pekerja di bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji bahan bakar yang telah siap untuk dipasarkan. Ujian bahan letupan itu dikatakan terkena longgokan simpanan mercun yang terletak di kawasan berhampiran seterusnya mengakibatkan satu letupan besar.

Bertitik tolak daripada tragedi buruk ini, ia telah mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun waima bunga api. Larangan ini juga berkuat kuasa untuk apa jua sambutan perayaan. Ia hanya dibenarkan bagi sesetengah upacara yang mendapat kebenaran daripada pihak berwajib sahaja.