LEGENDA KOLAM BUAYA EMAS DI PERAK

Siapa orang Mukim Bota, Perak? Pernah dengar legenda kolam yang dihuni buaya emas di daerah ini?

Mengikut cerita orang-orang tua dahulu, wujud sebuah kolam yang dihuni sekumpulan buaya emas yang terletak berhampiran dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1 di Telok Bakong. Dikatakan kolam ini sentiasa ada air dan tidak kering walaupun pada musim panas.

Ada beberapa versi tentang kolam buaya emas ni, tapi kita pilih versi yang paling popular ya.

Dikatakan sekitar penghujung kurun ke -16, Pusat Pemerintahan Perak Tua  atau Tanah Abang diperintah oleh Sultan Mansor Shah ke 2. Tanah Abang kini dikenali sebagai Kampung Air Mati di Mukim Bota yang terletak berhampiran dengan Sungai Perak.

Dikisahkan, Sultan ini sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tidak mempunyai zuriat sebagai pewarisnya. Atas nasihat Bendahara, Baginda berjumpa dengan Tok Malim Buana yang arif dalam ilmu dunia.

Tok Malim Buana menyarankan, baginda suami isteri perlu mudik ke hulu dan singgah ke sungai Air Mati dan memasang niat untuk mempunyai zuriat.

Baginda buat seperti yang disarankan. Pada malam tersebut, baginda bermimpi sekuntum bunga bakawali yang cantik dengan 7 kelopak. Selepas enam bulan didatangi mimpi itu, permaisuri disahkan hamil.

Sampai masa, permaisuri selamat melahirkan seorang putera. Selepas itu, permaisuri melahirkan 6 lagi puteri dalam tempoh 6 tahun berturut-turut.

Namun,  setelah puteri bongsu berusia 10 tahun, beliau ditimpa penyakit misteri. Puteri bongsu jatuh sakit sehingga tidak mampu bergerak.

Galau dengan keadaan puterinya itu, Sultan berdoa memohon kepada Tuhan kesembuhan puterinya, lalu diberi petunjuk supaya membina sebuah kolam yang alurnya dibina hingga ke tebing Sungai Perak.

Lalu puteri bongsu dimandikan dengan air kolam itu dan sebaik sahaja air mencecah kepala, muncul tiga ekor buaya bersisik emas dari Sungai Perak menuju ke kolam. Selepas mandi, puteri bongsu pun sihat dan kolam buaya emas itu menjadi tempat dia bermain sehingga ke hujung hayatnya.

Orang-orang tua zaman dahulu pernah bercerita, kononnya kolam itu dipercayai mengandungi harta karun di dasarnya selepas buaya-buaya emas itu hilang, tidak lagi muncul-muncul. Dikatakan dahulu penduduk pernah berusaha mencari harta tersebut tapi sia-sia sahaja.

Pun begitu, kolam buaya emas itu masih wujud lagi sehingga kini. Ada penduduk menceritakan bahawa pelangi akan muncul merentasi kolam itu apabila hujan gerimis turun.

Legenda kolam buaya emas masih menjadi kepercayaan penduduk kampung khususnya warga emas. Kini ia terbiar sepi tanpa penjaga dan saiz kolam itu makin mengecil. Pun begitu, air di dalam kolam itu sentiasa ada dan tidak pernah surut. Namun, penduduk dilarang dan dinasihatkan tidak mendekati kawasan kolam itu bagi mengelakkan sebarang musibah di luar jangkaan.

Kisah ini sebahagian daripada kepercayaan dan mitos masyarakat zaman dahulu. Bukan untuk anda percaya bulat-bulat, namun sekadar menghargai budaya yang pernah wujud. Kisah ini masih kekal menjadi legenda di Mukim Bota. Sayangnya, ia kurang diketahui oleh generasi muda masa kini.

 

#xmastika