LEGENDA JAMBATAN TAMPARULI – Korban berdarah untuk Tombuakar

“PAK pak kang ku doh (Pak pak saya melangkah)… Sumunsui doh jambatan (Menyusur hai jambatan)… Jambatan doh Tamparuli (Jambatan si Tamparuli)… Bakasut tinggi oku (Saya berkasut tinggi)…”

Pasti ramai tahu lagu ini terutama orang Sabah. Lagu ‘Jambatan Tamparuli’ dalam bahasa Dusun ini yang dipopularkan oleh penyanyi tempatan, Justin Lusah pada awal 80-an dahulu telah memperkenalkan Tamparuli ke seluruh Malaysia.

Bagi yang tidak tahu, Tamparuli merupakan sebuah bandar kecil dalam daerah Tuaran di Sabah. Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Kadazan-Dusun.

Berdasarkan catatan sejarah, bandar kecil ini telah wujud lebih 200 tahun yang lalu, iaitu sebelum ia diberi nama Tamparuli lagi.

Pada awal kewujudannya, pekan ini terlebih dahulu dikenali dengan nama ‘Bontoi’ oleh orang-orang tua terdahulu. Istilah Bontoi yang bermaksud jambatan sebenarnya merujuk kepada sebuah perkampungan kecil bernama Kampung Bontoi.

Daripada sebuah perkampungan kecil, Tamparuli berkembang menjadi sebuah pekan. Perubahan itu berlaku selepas beberapa peniaga luar terutama dalam kalangan masyarakat Cina dari Tuaran mendirikan beberapa kedai runcit kayu di sini sekitar tahun 1930-an.

Seiring dengan perubahan itu, pekan yang terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Kota Kinabalu ini turut mendapat nama baru – Tamparuli, seperti yang dikenali sekarang ini.

Difahamkan, banyak versi cerita bagaimana nama tersebut diperoleh. Menurut sumber dari Muzium Sabah, Tamparuli mendapat nama daripada ayat ‘ditampar oleh air’, berasal daripada perkataan atau percakapan orang Brunei. Dikatakan, pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Brunei yang datang ke Tamparuli sering mengalami masalah untuk naik ke hulu sungai kerana arus air yang terlalu deras. Dari situlah muncul ayat ‘ditampar oleh air’ seterusnya disingkatkan menjadi Tamparuli.

Berdasarkan cerita lain pula, sekitar tahun 1942 hingga 1944, kawasan ini telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas meletakkan kenderaan berat seperti lori dan trak. Lalu, penduduk tempatan menamakan kawasan tersebut sebagai ‘tempat lori’. Daripada ‘tempat lori’, lama-kelamaan sebutan itu berubah menjadi Tamparuli.

Hari ini bila sebut sahaja Tamparuli, perkara sinonim yang akan segera terbayang sudah pasti ialah jambatannya. Jambatan Tamparuli memang cukup terkenal dan menjadi mercu tanda kepada bandar kecil ini.

Pembinaan jambatan Tamparuli pertama dikatakan telah dimulakan oleh orang Cina. Binaan asal jambatan ini adalah berasaskan kayu dan tali. Dibina dalam keadaan tergantung merentasi Sungai Tamparuli. Bagi mereka yang pernah melalui jambatan gantung ini pasti akan merasa seperti beralun seolah-olah bermain dengan ombak.

Jambatan gantung asal yang telah roboh akibat banjir besar.

Sayang sekali, jambatan asal itu sudah tiada akibat musnah ditelan banjir besar yang berlaku sekitar tahun 1930. Sebagai gantinya, sebatang jambatan baru sepanjang 200 meter telah didirikan di tempat sama. Jambatan ilham kerajaan British pada tahun 1933 ini ternyata lebih kukuh serta sukar dinaiki air berbanding sebelumnya kerana dibina menggunakan gabungan simen dan besi.

Tentera British melakukan persiapan untuk pembinaan jambatan gantung Tamparuli

Terdapat kisah di sebalik pembinaan awal Jambatan Tamparuli. Difahamkan ketika jambatan itu mula dibina, Tamparuli berada di bawah jajahan British. Hendak dijadikan cerita, pada masa itu seorang pegawai British bernama Robinson yang berkhidmat di Tamparuli telah jatuh cinta dengan Solungkoi. Solungkoi ialah nama kepada seorang sumandak atau gadis tempatan yang dikatakan memiliki kecantikan asli ketika itu.

Dipendekkan cerita, mereka menjadi sepasang kekasih. Namun, seorang jejaka tempatan bernama Intang dalam diam turut menaruh hati terhadap Solungkoi. Akan tetapi, Solungkoi hanya mahukan Robinson kerana mempunyai berwajah tampan dan berpangkat. Dibandingkan Intang yang cuma bekerja sebagai kuli dan kurang daya tarikan.

Robinson adalah orang yang dipertanggungjawab menyiapkan projek pembinaan jambatan Tamparuli, namun dia sering kali menghadapi masalah kerana jambatan itu sering roboh dan rosak akibat banjir besar. Keadaan itu membuat Robinson runsing kerana tanpa jambatan sementara itu, ia akan menyukarkan pihak British dan penduduk tempatan untuk berhubung dengan dunia luar.

Suatu hari, Robinson menugaskan Intang untuk menyiasat perkara tersebut. Intang yang pada masa itu masih percaya kepada benda-benda ghaib seperti tombuakar (hantu air) telah datang berjumpa dengan seorang odu-odu (nenek-nenek). Odu yang pakar dalam ilmu tombuakar berjaya mengenal pasti masalah tersebut. Kononnya tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya. Lalu, odu menyarankan supaya diadakan upacara untuk menjamu tombuakar sebagai tanda meminta maaf.

Anehnya, walaupun upacara jamuan sudah dilakukan, pembinaan jambatan masih lagi bermasalah. Rupanya, tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak yang cantik sebagai peneman di dalam air. Pada masa itu, tiada gadis lain lebih rupawan selain Solungkoi.

Kerana dendam, Intang cuba menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi. Robinson bingung hendak memilih yang mana, kerjaya atau kekasih hati. Demi tugas, Robinson akhirnya memilih untuk mengorbankan teman wanitanya, Solungkoi.

Pada malam itu, Robinson, Solungkoi bersama penduduk kampung berpesta sambil meneguk minuman keras. Solungkoi mabuk sehingga pengsan dan sebaik sahaja sedar, badannya telah diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah jambatan. Ini ialah syarat tombuakar yang mahukan mangsanya ditanam hidup-hidup ke dalam cerucuk jambatan.

Solungkoi mulai menangis dan merayu untuk dilepaskan. Malangnya, ia tidak didengari oleh sesiapa kerana semua penduduk kampung sedang mabuk. Solungkoi pasrah. Dia sempat membuat permintaan terakhir kepada tombuakar yang sedang menunggunya di dalam air agar bersumpah, Jambatan Tamparuli tidak akan kukuh dan terus roboh selagi tidak mengorbankan darah Robinson.

Robinson amat menyesal dengan tindakannya. Bagi mengenang kekasihnya itu, Robinson mengukir nama Solungkoi di atas plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam. Selepas itu, Robinson dilaporkan membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh tombuakar.

Solungkoi dikatakan ditanam hidup-hidup di salah satu cerucuk besi tiang Jambatan Tamparuli.

Ada yang mengatakan kisah ini hanya mitos. Namun, seperti yang diceritakan oleh orang-orang yang pernah menyelam di Sungai Tamparuli, plat besi berukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, lokasi tepat keberadaannya dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan.

Bersebelahan Jambatan Tamparuli terdapat sebuah lagi jambatan untuk laluan kenderaan.

Yang pasti, setelah lebih 60 tahun, jambatan tersebut sampai ke hari ini tetap utuh dan kekal digunakan oleh penduduk kampung.

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!