TEORI SAINS LAUT TERBELAH NABI MUSA

Dari sekian mukjizat yang Allah turunkan kepada para Rasul, peristiwa laut terbelah adalah antara mukjizat yang paling popular diperkatakan.

Bukan hanya umat Islam, malah sebahagian besar masyarakat dunia percaya peristiwa yang turut dikenali sebagai ‘The Exodus’ itu pernah berlaku di Laut Merah, kira-kira lebih 3,500 tahun dahulu.

Lokasi berlakunya peristiwa laut terbelah yang merupakan mukjizat Nabi Musa itu ialah di Teluk Aqaba, Nuweiba. Ia dikukuhkan lagi dengan penemuan arkeologi oleh Ron Wyatt pada 1988, yang menemui roda-roda kereta kuda dengan empat jeriji yang diperbuat daripada emas dan tulang-temulang manusia.

Jika dilihat pada lokasi kejadian, jarak antara Teluk Aqaba ke tanah Arab kira-kira 1800 meter manakala kedalaman laut pula antara 800 meter hingga 900 meter.

Lebar laluan laut yang terbelah itu pula dianggarkan 900 meter berdasarkan jumlah kaum Nabi Musa yang mencecah 600,000 orang dengan perjalanan selama 4 jam.

Berdasarkan kepada sejarah dan kitab-kitab kuno, dua orang penyelidik Rusia, Nauman Volzinger dan Alexei Androsov telah melakukan kajian saintifik mengenai peristiwa laut terbelah ini.

Berdasarkan fakta jarak dan kedalaman laut tersebut, kedua-dua penyelidik ini telah mencipta satu model hidrodinamik menggunakan momentum hukum alam pada tahun 2002. Daripada kajian yang dilakukan, mereka mendapati tiupan angin yang kuat boleh mengeringkan air laut dalam satu-satu masa.

Volzinger dan Androsov merumuskan, kecepatan angin 30 meter sesaat dengan bantuan karang laut atau beting pasir mampu mengeringkan air laut dan membentuk satu laluan. Kelajuan tersebut bersamaan dengan 108 km/j yang dikategorikan sebagai ribut sederhana, tetapi lebih kecil daripada taufan Tornado yang mempunyai kelajuan sehingga 177 km/j.

Teori yang dikemukakan oleh kedua-dua peneliti ini dikatakan logik. Malah hasil kajian mereka turut disiarkan dalam ‘Bulletin of the Russian Academy of Sciences’ pada tahun 2002.

Tetapi dalam kajian itu, Volzinger dan Androsov tidak menyebut tentang ketinggian air laut, sedangkan di dalam Al-Quran ada dinyatakan dinding gelombang air yang terbelah itu adalah setinggi bukit/gunung – seperti yang termaktub dalam surah Asy- Syuara, ayat 63 yang berbunyi…

“Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukullah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.”

Antara teori lain yang turut dibahaskan tentang fenomena ini ialah kekuatan pukulan tongkat Nabi Musa pada laut tersebut.

Seperti yang diketahui, Nabi Musa adalah seorang lelaki yang gagah dan mempunyai kekuatan yang luar biasa. Berkemungkinan pukulan kuat daripada tongkat itu yang menyebabkan laut terbelah. Jika dihitung, tekanan yang diperlukan untuk memungkinkan perkara itu berlaku sekurang-kurangnya memerlukan pukulan sekuat 2,800,000 Newton/ m2.

Selain itu, letusan volkano juga pernah dikaitkan dengan peristiwa ini. Teori tersebut dicetuskan oleh Floyd McCoy yang menyatakan letusan volkano yang dahsyat pernah berlaku suatu masa dahulu.

Letusan tersebut telah menyebabkan berlakunya tsunami yang besar sehingga membentuk laluan di dasar laut. Walaupun letusan tersebut berlaku sekitar 1500 sebelum Masihi, namun teori tersebut diragui kerana tsunami hanya menyebabkan berlakunya ombak raksasa, dan agak sukar untuk membentuk laluan yang membelah laut.

Persoalannya sekarang, jika mengikut teori-teori yang dikemukakan, adakah ia boleh diterima pakai? Jika berdasarkan kepada teori-teori tersebut, adakah fenomena ajaib itu mungkin berulang?

Dari segi saintifik, teori-teori tersebut tidak boleh diterima pakai dan diragui, tambahan pula tidak disokong oleh bukti-bukti empirikal.

Sekiranya berlaku kejadian ribut, letusan volkano atau tsunami, sudah pasti ia melibatkan kemusnahan yang besar. Tetapi teori itu tidak menyatakan tentang sebarang kemusnahan melainkan kematian Firaun dan bala tenteranya semata-mata. Sedangkan secara logik, sekiranya berlaku bencana alam, sudah pasti Nabi Musa dan pengikutnya turut terkena tempias bencana itu.

Dalam Islam, ilmu sains adalah terlalu kerdil untuk menerangkan kejadian di sebalik peristiwa mukjizat. Apa yang dijelaskan oleh sains boleh diterima akal, tetapi belum tentu ia mampu menjelaskan peristiwa sebenar yang berlaku di luar akal pemikiran manusia. Akal manusia jauh lebih dangkal jika hendak dibandingkan dengan kehebatan mukjizat Allah.

Mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada para Rasul sebenarnya tidak perlu diukur dari sudut sains. Ia dilihat seolah-olah menyamakan kebesaran dan kehebatan Allah dengan akal manusia. Sebagai orang Islam, kita hanya perlu mempercayainya dengan iman yang kuat.