LAUT SYAITAN PENELAN KAPAL

Kita sering mendengar kisah Segi Tiga Bermuda di lautan Atlantik. Sempadan ini dikaitkan dengan misteri apabila banyak bot, kapal laut, malahan kapal terbang yang melalui kawasan ini dilaporkan hilang tanpa jejak.

 

Di Timur, ada sebuah lokasi yang mengalami fenomena serupa. Kawasannya di perairan laut negara Jepun, merangkumi pulau Miyake, kira-kira 100 kilometer ke arah selatan bandar Tokyo. Banyak keanehan berlaku di perairan ini. Bagi orang Jepun, mereka percaya ia ada kaitan dengan mitos sejak 3,000 tahun yang lalu.

 

Sekitar abad ke-10 Sebelum Masihi, orang Jepun ketika itu percaya terdapat naga laut yang mendiami kawasan barat laut perairan negara itu. Kapal-kapal nelayan yang belayar di kawasan tersebut sering hilang, atau ghaib tanpa dapat dikesan.

 

Masyarakat Jepun memanggil kawasan perairan ini dengan nama ‘Ma-no Umi’ (yang bermaksud Laut Syaitan). Ada juga yang memanggil sempadan tiga penjuru ini dengan gelaran ‘Segi Tiga Naga’, sempena mitos daripada masyarakat terdahulu.

 

Bukan hanya kapal dan pesawat yang hilang di perairan ini, malah ‘Laut Syaitan’ ini juga dikaitkan dengan gangguan paranormal, kecelaruan waktu, kerosakan sistem elektronik dan bacaan kompas yang menggila. Cuacanya juga sering digambarkan ekstrem, berkabut dan tidak terduga. Ciri-ciri yang sama seperti di Segi Tiga Bermuda.

 

Ahli falsafah Amerika Syarikat, Charles Berlitz dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1989, melaporkan di antara tahun 1952 hingga 1954, lima buah kapal tentera Jepun telah hilang di Segi Tiga Naga ini. Dalam tempoh dua tahun itu, lebih 700 kematian dicatatkan.

 

Jepun turut menghantar pasukan saintis tempatan untuk menyiasat perairan ini. Tetapi, kapal ‘Kaiyo Maru 5’ yang membawa sekumpulan penyelidik turut hilang di Segi Tiga Naga ini. Sebab itu, Jepun menggugurkan misi tersebut dan mengisytiharkan perairan ini sebagai zon bahaya.

 

Pada tahun 1995, pengkaji dari Amerika Syarikat, Larry Kusche, tampil dengan teori bahawa fenomena paranormal yang dikaitkan dengan Segi Tiga Naga berlaku disebabkan oleh aktiviti gunung berapi. Perairan di sini dipenuhi gunung-gunung berapi yang aktif, dan kerap menyebabkan pulau-pulau kecil hilang dan membentuk kepulauan kecil yang baru.

 

Pengkaji dari Scotland, Ivan T. Sanderson pula berpendapat, segi tiga misteri ini terletak pada garis bujur antara 30 dan 40 darjah arah utara garisan khatulistiwa. Ia adalah lokasi di mana berlakunya pertembungan arus air hangat dan arus dingin.

 

Bila berlaku perubahan musim, pergerakan arus akan menyebabkan ribut, lalu membentuk pusaran. Berkemungkinan pusaran itu telah menyedut bot dan kapal ke dasar laut.

 

Apa saja teori mereka, sehingga sekarang kebanyakan kes kehilangan yang berlaku di Segi Tiga Naga masih belum dapat dipecahkan.