KISAH 5 – SAGA PUTIH TANPA PEMANDU?

Aku tamat tingkatan 5 dalam penghujung tahun 90-an. Habis sekolah, aku pulang ke kampung. Duduk bersama datuk, nenek dan busu. Hajat di hati sementara tunggu keputusan SPM, aku nak cari kerja.

Busu aku ni perempuan. Seorang yang aktif dan sangat fanatik dengan politik. Dengan kabel dan pengaruh dia, maka aku diterima bekerja di makmal sebuah kilang getah, milik sebuah syarikat yang mengendalikan kawasan estet.

Jarak antara kampung dan tempat aku kerja ni dalam 15 kilometer. Waktu kerja aku pula ikut shif, ada shif pagi dan juga petang.

Ikutkan, tidaklah jauh sangat jaraknya. Namun, majikan tetap memberi aku sebuah rumah kuaters sebagai kemudahan. Mahu tak mahu, aku terpaksa terima. Tapi, aku memilih untuk berulang-alik sahaja dengan menaiki motorsikal kepunyaan busu.

Kalau aku kerja shif pagi, aku ok je. Tapi kalau kena shif petang, aku agak seriau. Mana tidak, jalan pergi balik yang aku lalu tu, dalam 11 kilometer adalah kawasan dalam kebun getah dan sawit. Dengan macam-macam cerita seram lagi berkenaan jalan tu. Bayangkanlah macam mana nak hadap.

Tapi bak kata orang tua-tua, alah bisa tegal biasa. Macam tulah juga dengan aku. Diam tak diam, seriau tak seriau, dah lima bulan aku kerja kat situ.

Satu hari tu semasa aku kerja shif petang, dalam pukul 5 ke 6 macam tu, berlaku hujan ribut yang kuat. Selepas ribut tu, banyak jugak pokok yang tumbang. Tapi aku tengok lori tetap keluar masuk macam biasa.

Malam tu selepas tamat shif aku pukul 11.00 malam, aku pun merempit balik ke rumah macam biasa. Jalan agak licin. Kan lepas hujan.

Bila aku mula lalu dalam kawasan kebun, aku pun mulakan rutin aku. Mula-mula, aku azan. Lepas tu, baca ayat-ayat lazim yang aku tahu (kadang-kadang dengan takbir raya pun masuk sekali).

Yang penting sepanjang aku lalu di jalan dalam kebun tu, mulut aku memang baca ayat-ayat suci je. Macam tulah rutinnya sejak aku kerja kat situ.

Tapi entah kenapa, malam tu aku rasa lain sikit. Aku banyak lupa ayat-ayat lazim yang selalu aku baca. Tapi aku bersangka baik. Dalam hati berkata, mungkin sebab aku beri tumpuan lebih pada jalan yang licin. Sebab tu tak dapat bagi tumpuan pada pembacaan hingga banyak yang terlupa.

Tiba di satu kawasan, dari jauh aku nampak ada cahaya dari lampu kereta yang bakal berselisih dengan aku.

Sukanya aku bila nampak cahaya lampu tu, Tuhan je yang tahu. Makin lama, makin dekat. Sebuah kereta proton saga putih.

Kereta itu bergerak agak perlahan. Sebaik kami berselisih, sengaja aku menoleh ke arah pemandunya. Yalah, kereta tu pun perlahan saja, dan lampu di dalamnya terpasang sebab nampak terang.

Aku pun toleh dan pandang…

Gulppp!

Aku telan air liur.

Tak ada pemandu!

Sebab terperanjat, pantas aku toleh semula ke depan. Dengan tak semena-mena, aku rasa motor dan hampir masuk ke dalam semak belukar. Dalam kalut aku cuba imbang motor tu, aku tewas. Aku terjatuh juga.

Aku bangun dan tegakkan motor semula. Adui, enjin mati pulak!

Aku tengok sekeliling. Eh, atas jalan? Aku rasa tadi macam aku dah masuk ke dalam semak belukar. Ah, sudah…

Dalam rasa kalut tu, aku cuba hidupkan enjin motor. Tak boleh hidup pula. Aku tak tunggu lama, dengan kudrat yang ada aku terus tolak motor tu. Sambil tu dalam hati macam-macam surah yang terlintas dalam kepala aku baca (padahal aku pun tak tahu apa yang aku baca, habis berterabur semuanya).

Sambil menolak tu dengan baca segala macam doa, aku cuba hidupkan enjin motor semula.

Yesss… akhirnya hidup jugak. Lega!

Bila dah naik atas motor, baru aku berani toleh ke belakang. Tahu apa aku nampak?

Aku tengok ada banyak cahaya kereta. Bukan kat atas jalan je, tapi atas pokok pun ada jugak. Aku apa lagi, tak ingat dunia pulas trotle.

Alhamdulillah, selamat jugak aku sampai ke rumah lewat malam tu. Atuk dan nenek tanya, kenapa aku luka-luka dan baju terkoyak. Aku cuma jawab, jatuh motor. Lepas mandi, makan, aku terus tidur.

Pagi esoknya, aku demam. Lengan dan kaki aku luka teruk.

Busu tolong bawa aku ke tempat kerja untuk maklumkan keadaan aku. Sampai satu kawasan tu, aku tengok ramai orang. Ada polis dan ambulan, lori dan jip JKR pun ada.

Rupa-rupanya ada kemalangan maut di hadapan tu. Sebuah kereta telah melanggar pokok tumbang. Baru aku perasan, kat kawasan ni aku jatuh motor malam tadi. Buktinya, plat motor aku yang patah dan bekas bekal aku berterabur di tepi jalan.

Masa aku sedang kutip bekas bekal tu, aku disapa rakan kerja aku dari shif pagi yang terkandas di situ. Dia tanya aku, kenapa luka-luka? Aku cerita la dari A sampai Z.

Boleh pulak dia cakap aku gila! Kata rakan aku tu, jalan ni JKR dah tutup lepas hujan ribut semalam sebab pokok tumbang. Maknanya sesiapa pun tak boleh lepas lalu. Rakan aku tu pun tak lepas nak pergi kerja pagi tu.

Kalau ikut keadaan pokok tumbang tu, memang jalan ni tutup. Pangkal pokok tu di bawah tebing bergaung, manakala pucuknya pulak di seberang jalan di tebing bukit.

Bahagian tengah pokok memang telah melintang, menghalang jalan sepenuhnya. Mustahil boleh dilalui. Jangankan motor, jalan kaki pun tak boleh melepasi pokok tumbang tu.

Tapi, macam mana aku boleh lepas malam tadi? Habis, kereta proton saga putih tu?

Ya Allah, aku tak tahu nak cakap apa masa tu. Sudahnya, bulan berikutnya aku berhenti kerja. Kebetulan aku pun dapat kerja lain.

Tapi peristiwa tu masih terpahat dalam memori aku sampai hari ni. Dan aku masih hairan, macam mana aku boleh lepas dari pokok tumbang tu?

Dan kenapa proton saga putih tanpa pemandu tu muncul?

Karya : Saiful Bahri Samijan

***********

Anda nak cuba tulis kisah seram? Jom sertai kami dalam cabaran menulis ‘200 HANTU’. Cuma 200 perkataan saja minimum. Emelkan karya anda ke ciptakarya200@gmail.com

Jangan lupa LIKE page kami terlebih dahulu. Karya yang terpilih akan mendapat hadiah daripada kami.

#200hantu
#Xmastika
#MunifHijjaz

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!