KISAH 29 – WANITA MISTERI LEBUHRAYA CHUPING

Lebuhraya Chuping melalui ladang tebu, Padang Besar Perlis antara jalan alternatif untuk ke kompleks bebas cukai sempadan Malaysia-Thailand. Waktu siang kenderaan agak sibuk, tetapi menjelang malam, terutama selepas pintu sempadan ditutup jam 10.00 malam, lebuhraya bertukar sunyi sepi.

Abang Mid bertugas di pos pemeriksaan AKSEN. Baru beberapa bulan dia bertugas sebagai pengawal keselamatan di situ. Tugasnya mengikut shift, adakala siang, kadangkala waktu malam.

Hari itu, Abang Mid masuk bertugas jam 12.00 malam. Sepatutnya waktu bertugasnya siang. Tapi hari itu dia perlu menggantikan seorang pekerja yang terpaksa pulang kerana ada hal kecemasan.

Malam itu, selain Abang Mid, ada empat lagi rakan lain yang bertugas bersamanya. Suasana sunyi sepi kerana musim perayaan. Hujan renyai-renyai sejak Maghrib masih belum berhenti membuatkan suasana bertambah suram, sejuk seperti di kuburan. Sekali sekala baru ada kenderaan melintas.

Menjelang pukul 2.00 pagi, kenderaan hampir tiada langsung. Terkuap-kuap Abang Mid menahan rasa mengantuk. Rakannya yang lain leka dengan handphone masing-masing.

“Aku nak jalan-jalan dulu la. Bosan duduk macam ni je,” kata Abang Mid. Cadangnya, dia hanya mahu berjalan sekitar tepi lebuh raya itu untuk menghilangkan rasa mengantuknya.

“Baik-baik bang. Nampak apa-apa jangan tegur. Kang berterabur lari,” sakat Azri, salah seorang rakan sekerjanya.

“Alah, aku tak heran pun. Kalau pontianak yang muncul, aku paku leher dia bawa balik rumah buat jadi bini. Ha ha ha,” jawab Abang Mid ketawa.

Namun, selorohnya itu tidak disambut mesra. Rakan-rakan setugas yang lain terkejut dengan kata-katanya yang berani itu. Agak keterlaluan bergurau begitu.

Udara sejuk berhembus dari puncak bukit. Langit gelap pekat, nun di kejauhan terdengar deru angin membadai hutan. Sesekali tercium bau bagai minyak atar disembur. Abang Mid berjalan perlahan di pinggir jalan.

Tap..tap…tap…

Kedengaran bunyi derap tapak kaki di belakangnya. Pantas Abang Mid menoleh. Tiada sesiapa di belakangnya.

Sangka Abang Mid, ada rakan setugas yang mungkin mahu menyakatnya. Dia buat tak tahu dan sambung berjalan.

Tap… tap… tap…

Bunyi tapak kaki itu kedengaran lagi di belakangnya. Abang Mid malas ambil peduli. Dia terus berjalan sampai di satu selekoh. Di situ ada sebatang pokok jejawi besar.

Tiba-tiba hidungnya terbau kemenyan dan kapur barus. Bau itu kuat menusuk hidung. Tidak semena-mena dahan pokok jejawi di tepi selekoh itu bergoyang bagai digoncang sesuatu.

Abang Mid memerhati. Melalui cahaya lampu jalan yang samar-samar, dia melihat satu kelibat bewarna putih berdiri dibawah pokok jejawi itu. Rupa parasnya tidak jelas, tetapi pakaiannya labuh dan terbuai-buai ditiup angin. Rambutnya mengerbang dan seperti menggendong sesuatu.

Abang Mid sangka ada pengguna jalan raya yang kemalangan atau kenderaan rosak. Terus dia mendekati ke arah pokok jejawi itu.

“Kenapa cik?” tanya Abang Mid sambil melangkah itu.

Kelibat itu diam membatu. Sesekali kedengaran dia bernyanyi-nyanyi kecil seperti mendodoi anak. Semakin Abang Mid hampir, kelibat tadi semakin jelas. Abang Mid lihat seorang wanita berambut panjang melebihi paras pinggang sedang tunduk memandang sesuatu yang dikendongnya.

“Cik…ada masalah ke?” soal Abang Mid menguatkan suara.

Belum sempat bertanya lebih lanjut, wanita itu mengangkat kepalanya. Kali ini, nafas Abang Mid seakan terhenti. Matanya buntang, terkejut. Di depannya, dia melihat wajah wanita itu yang kehitaman. Keningnya hampir bertemu, matanya hitam sepenuhnya dan bibirnya bagai dibasahi darah.

Belum sempat Abang Mid berbuat apa-apa, wanita itu terus mengilai-ngilai dan terbang melayang antara pucuk jejawi dan belukar di tepi jalan. Suaranya bergema di ruang udara.

Nasib baik kaki Abang Mid masih kuat. Bagai lipas kudung dia berlari, berpatah pulang ke pos AKSEN. Rakan setugas terkejut bila melihat Abang Mid yang tercungap-cungap berlari, bagaikan sedang bertanding larian pecut 100 meter.

Mereka bertanya, kenapa dengannya? Tapi Abang Mid tidak mampu menjawab. Tubuhnya menggeletar. Dahinya berpeluh-peluh.

Tiba-tiba saja Abang Mid rasa badannya lain macam. Dia rasa sejuk sampai menggigil. Dadanya seakan berat, nafasnya sesak. Keadaannya semakin lemah hingga rakan-rakan setugas terpaksa memapah Abang Mid masuk ke bilik rehat.

Malam itu, pos kawalan gempar apabila Abang Mad terjerit-jerit bagai diserang histeria mengatakan ada perempuan tanpa kaki melayang-layang di luar pintu bilik.

Akhirnya, Abang Mid terpakda dihantar menemui seorang ustaz yang pandai merawat. Semangatnya perlu dipulihkan.

Baru jumpa pun dah lemah semangat, macam mana nak buat ‘bini’?

Alahai Abang Mid…

 

Kiriman : Zaidan Jamrus

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!