KISAH 28 -MISTERI LADANG TUA PAKKU MAT

Di Bukit Lada dalam daerah Pokok Sena, ada sebuah kawasan ladang getah. Ladang getah tua itu kepunyaan Pakku Mat. Sejak dahulu, kawasan dusun tua itu menyimpan macam-macam kisah misteri. Bukan sedikit yang kena ganggu semasa melintasi kawasan itu. Bukan hanya tengah malam, waktu siang pun kena sakat juga.

Mahu tak mahu, penduduk terpaksa juga melintasi kawasan ladang getah itu. Nak buat macam mana, hanya itu satu-satunya jalan utama jika hendak keluar ke bandar atau kedai runcit berdekatan. Pelbagai kisah misteri pernah berlaku dikaitkan dengan kawasan ladang getah itu. Antaranya…

Ini kisah Paksu Yeh, seorang peniaga buah-buahan. Ketika musim buah cempedak, duku dan langsat masak ranum, dia akan keluar awal pagi untuk berjualan di pasar. Manakala sebelah petang, Paksu Yeh akan pergi merata tempat untuk membeli buah secara pukal. Selalunya, lewat malam baru dia pulang ke rumah.

Satu malam lebih kurang pukul 11.30, Paksu Yeh baru pulang dari berniaga di pasar malam. Dia menunggang motosikal Honda kapcai membelah kegelapan malam.

Sebaik saja sampai di jalan utama masuk ke Bukit Lada, hujan tidak semena-mena turun. Deru angin dan kilat membelah kegelapan malam. Jalan masuk ke kampung agak becak dengan air bertakung. Ranting-ranting dan daun kayu merunduk ke tengah jalan, terpaksa dielak jika tidak mahu terbabas.

Paksu Yeh terus menunggang membelah hujan dan kegelapan malam. Sebaik sampai di kawasan kebun getah tua Pakku Mat, kilat tidak henti-henti memanah bumi. Ketika itu juga dia terdengar sayup-sayup suara orang menjerit dari arah hutan di tengah getah tua yang sudah lama tidak ditoreh itu.

“Ooo….oooo…!!” suara itu melantun dari merata arah.

Hati Paksu Yeh mula tidak senang. Suara laungan dan jeritan tadi seakan-akan sekumpulan manusia sedang menjerit meminta tolong. Bunyi itu bercampur-aduk antara suara lelaki, perempuan, kanak-kanak ditambah bunyi guruh dan deru angin bersama hujan.

Terketar-ketar Paksu Yeh memegang handle motosikal. Kiri-kanan jalan gelap gelita. Dia pekakkan telinga, tidak mempedulikan suara lolongan tadi.

Dummmmmm!! Bunyi kilat memanah bumi.

Sebaik pancaran petir itu hilang, Paksu Yeh terkejut bila melihat di kiri jalan, berderet manusia tercegat berdiri dalam basah hujan memandang tepat kearahnya. Lebih menakutkan, wajah dan badan mereka hangus seperti dimamah api. Kelibat-kelibat manusia itu muncul tiba-tiba selepas panahan petir tadi.

Entah berapa puluh atau ratus kelibat manusia bersama bau hangus daging terbakar itu berdiri memandangnya di kiri jalan, diam tidak berkutik. Sempat Paksu Yeh menjeling, bebola mata mereka putih pucat seperti mata ikan yang dikukus.

Hidung Paksu Yeh sudah kembang kempis menahan bau hanyir, bau darah, bau daging terbakar dan sekali-sekala bau kapur barus. Jantungnya berdetak laju. Bayangkan, dia terpaksa menunggang melalui deretan makhluk menyeramkan itu di tepi jalan.

Dummmm! Sekali lagi petir memanah bumi.

Sebaik pancaran petir menyambar dan hilang, deretan kelibat makhluk itu juga ghaib dari pandangan mata. Paksu Yeh terus memecut. Dia hanya mahu segera sampai ke rumah.

****

Kisah kedua adalah tentang Pak Ghani yang kerjanya menoreh getah dan membela lembu. Tak silap kejadian tu berlaku pada tahun 1997, ketika Pak Ghani mahu mengahwinkan anak sulungnya.

Waktu itu, seekor lembu jantan dewasa peliharaan Pak Ghani hilang dari kandang. Lebih malang, lembu itu hendak dikorbankan pada majlis perkahwinan anaknya yang akan berlangsung dalam masa dua minggu lagi.

Pak Ghani memang panik bila lembu itu hilang. Sebab hanya itu lembu dewasa yang masih ada hendak dikorbankan untuk majlis kenduri nanti. Jemputan dah dihantar, kenduri dah dihebah. Kalau lembu itu tak dijumpai, nanti tetamu datang nak makan apa. Pak Ghani bukan ada modal nak beli lembu lain.

Saban hari Pak Ghani mencari lembunya yang hilang. Sampai akhirnya dia minta bantuan Pawang Dahaman untuk tengokkan di mana lembunya itu.

“Tak jauh. dekat je lembu kamu ni. Ada ‘kawan’ nak bergurau ni,” kata Pawang Dahaman membuka bicara selepas menilik melalui daun sireh.

“Kawan mana pulak nak bergurau. Aku dah separuh nyawa risau ni. Tinggal tak sampai seminggu ja nak kenduri!” kata Pak Ghani, bengang.

“Cari dengan kebun Pakku Mat,” pesan Pawang Dahaman lagi.

Lalu Pak Ghani bersama pawang dan beberapa penduduk kampong bergegas ke kebun getah Pakku Mat. Sambil itu, mulut Pak Ghani tak berhenti membebel, memarahi orang yang sengaja membuat onar terhadapnya.

Sebaik saja sampai di kebun getah tua yang penuh dengan semak-samun itu, Pak Ghani terkejut bila melihat lembunya ada di situ, di kawasan yang mudah untuk dilihat. Padahal dia sudah berkeliaran beberapa kali di kawasan sama mencari lembunya sebelum ini, tapi tidak jumpa.

“Lembu kau ni memang ditambat di sini sejak mula hilang,” kata Pawang Dahaman.

“Sapa yang buat macam ni? Bagitahu aku. Boleh aku tibai dok susahkan aku macam ni,” marah Pak Ghani.

“Kau nak tahu sangat? Tu… diorang tu la yang dok mengusik ni,” balas Pawang Dahaman sambil tangannya menunjuk ke satu arah.

Mereka menoleh. Mata Pak Ghani buntang bila melihat ke arah yang ditunjuk Pawang Dahaman. Lebih kurang dalam jarak 50 meter, ada sekumpulan kanak-kanak hitam legam berkepala botak dan mata bulat sebesar telur ayam sedang bermain, sambil tersengih memandang Pak Ghani.

“Allah! Setan apa siang-siang hari ni!” pekik Pak Ghani terkejut.

Ya, lembu Pak Ghani sudah dijumpai dan menjadi lauk kenduri. Cuma, kenduri berlangsung sedikit hambar kerana Pak Ghani masih belum kebah dari demam sebab ternampak budak aneh itu.

*****

Kisah ketiga, berlaku kepada Siah Candeliar, isteri muda Tok Pawan. Siah ni penjual ikan salai. Setiap hari dia akan memancing atau menahan lukah di sungai belakang kampung dan hasil tangkapan itu akan disalai dengan bara kayu temak sebelum dijual.

Satu petang Siah sibuk mengumpul kayu api berhampiran rumahnya, Siah terdengar suara seorang wanita memberi salam. Sebaik berpaling, tercegat seorang perempuan, lingkungan umur 20-an, berwajah putih bersih memakai pakaian serba putih dan berselendang merah. Wanita itu mengkendong sesuatu yang berbungkus dengan kain.

“Ya..ada apa?” tanya Siah.

“Boleh jaga anak saya tak?” soal wanita itu sambil menghulurkan bungkusan batik kusam yang dikendongnya.

Siah menjengukkan kepala melihat isi dalam kain itu. Jelas di matanya seorang bayi yang masih merah, tali pusat baru dipotong tidur nyenyak dalam dakapan wanita yang entah dari mana datangnya itu.

“Kenapa nak bagi saya jaga?” soal Siah berasa pelik.

“ Saya nak pulang ke hutan…”

“Dah tu kenapa tak dibawa sekali bayi ni?” Siah bertanya lagi.

“Bayi ini anak manusia…” jawab wanita itu sambil menundukkan wajah.

“Anak siapa?” tanya Siah.

“Anak moyang awak!” jawab wanita itu.

Siah yang awalnya berasa hairan mula naik darah. Memandai pula wanita itu kaitkan bayi bertali pusat tu dengan arwah moyangnya yang sudah lama meninggal dunia.

“Betul. Moyang awak bernikah dengan saya. Ini anak dia. Umur saya sudah lebih 300 tahun,” kata wanita itu lagi.

Siah yang semakin panas hatinya pergi mengambil parang panjang dari raga kayu api. Siah rasa wanita itu tidak siuman.

“Sebelum aku parang kau, baik pergi jauh-jauh. Kejap kata anak moyang aku, umur dah 300 tahun la… Aku tak layan orang gila macam kau ni!” Siah mula meninggikan suara.

Ha ha ha ha…. Tiba-tiba perempuan itu ketawa.

Siah terkejut. Serta merta dia meremang. Sebabnya, ketawa wanita itu berlainan dengan manusia biasa. Suara ketawanya bergema dan nyaring. Kalau manusia, tidak begitu…

Ketika itu juga sedikit demi sedikit, tubuh wanita itu bertukar rupa. Wajahnya jadi berkerepot, matanya mencerlung dan rambut yang asalnya hitam berkilat menjadi putih, memanjang hingga menyeret tanah.

Kali ini Siah sudah tahu siapa yang datang kepadanya. Sah, bukan manusia! Namun belum sempat selangkah dia bergerak, terus Siah terjelepok pengsan. Siah hanya sedar selepas dijampi oleh Imam Lah Ketitir.

“Yang kau jumpa tu la permaisuri kampung syaitan kat kebun getah tua Pakku Mat tu. Saja dia nak menyakat,” kata Imam Lah Ketitir.

Sebenarnya, banyak lagi kisah misteri selingkar kebun getah tua itu. Tapi cukuplah dengan 3 kisah di atas. Yang pasti, penduduk kampung sudah arif dengan kawasan kebuh getah tua itu. Sebabnya, sudah ramai yang terkena.

Jangan anda jadi mangsa seterusnya, sudahlah…

 

Penulis : Mohd Zaidan Jamrus

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!