KISAH 25 – MANA MAK AKU?

Karya : Hazril Najmi

 

Aku menghempas pintu bilik. Segera terjun ke katil dan berselimut. Menggigil satu badan menahan ketakutan.

Kalau bukan mak, siapa lembaga yang aku nampak tadi?

Baru sebentar tadi aku nampak mak sedang menyapu di ruang tingkat atas sebelum aku turun ke bawah.

Di bawah bila aku lalu ke ruang tamu, aku nampak mak elok sahaja baring di atas sofa. Aik, bila masa mak turun dari tingkat atas?

Lepas tu aku ke dapur. Jelas suara mak aku sedang menyanyi dalam bilik air! Eh, boleh dia suruh aku ikut dia nyanyi bersama lagi! Bila masa pulak mak yang tadi baring kat sofa masuk bilik air?

Walaupun hati aku dah rasa lain macam, aku tetap kuatkan semangat. Aku ke depan lalu semula melintasi ruang tamu untuk naik ke bilik aku di tingkat atas.

Waktu di ruang tamu, aku perasan ‘mak’ yang sedang baring itu asyik merenung aku. Lain macam renungannya.

Aku cepat-cepat naik ke atas. Sampai atas, kelibat ‘mak’ yang sedang menyapu tadi telah tiada. Segera aku masuk ke dalam bilik. Itu yang aku terus berselimut. Aku dah naik seram dan tertanya-tanya, mana satu ‘mak’ aku yang betul?

Tiba-tiba telefon bimbit aku bergetar kuat. Ada orang call. Mujur aku sudah tetapkan telefonku dalam mod mute. Kalau tidak, mungkin aku dah termelatah atau mencarut bagai sebab terkejut dengan telefon berbunyi.

Aku hanya membiarkan sahaja telefon bimbit itu bergetar. Aku malas nak angkat. Nak keluar dari selimut pun aku tak berani. Masih seram dengan kelibat ‘mak’ aku tu.

Telefon bimbit aku berhenti bergetar sebelum bersambung semula. Call masuk lagi. Aku dah takut. Kalau yang call tu ‘mak’ aku macam mana?

Bila telefon dah berhenti bergetar untuk kali kedua, tiba-tiba pintu bilik aku diketuk. Berkali-kali! Aku sudah mengelabah puyuh.

Mak aku ke tu? Ke ‘mak’ lain?

Tombol pintu bilik dipulas berkali-kali dari luar. Jelas kedengaran suara ‘mak’ di luar memanggil aku. Eh, aku ada kunci pintu ke tadi?

“Alip.. Bukak pintu ni nak. Mak nak masuk…,” kedengaran satu suara memanggil.

“Siapa tu?” Aku menjerit meminta kepastian walaupun aku kenal itu suara mak.

“Ini maklah. Kenapa dengan kamu ni? Kenapa tak jawab panggilan tu? Bagi mak masuk ye sayang,” suara mak di luar masih berlembut.

Panggilan? Jadi betullah mak yang telefon? Kalau tidak masakan dia tau yang telefon aku ada dibuat panggilan tadi.

“Oh mak, masuklah. Pintu tak kunci pun,” aku tarik nafas lega. Mungkin betul di luar pintu bilik itu memang mak aku yang sebenar.

Aku keluar dari selimut. Sebelum turun dari katil, telefon bimbit aku bergetar ringkas tanda ada mesej masuk.

Aku baca. What the

Tiba-tiba pintu dikuak perlahan. Aku tergamam. Jelas kelihatan kepala ‘mak’ menjulur keluar dari pintu yang terbuka sedikit itu.

‘Mak’ senyum ke arahku. Badanku kembali menggeletar hebat. Mata dan hidung ‘mak.’.. LANGSUNG TAK ADA!!

“Mak masuk ye Alip.. He he he…” ujar makhluk itu menyeringai.

 

DAN

 

Mesej dari telefon bimbit aku berbunyi…

 

From: Mak Lover

Fri, 04/01/2019

Alip.. Mak kluar beli brg.. Mak terus ambil along kt skolah.. Kamu jg rmh elok-elok ye.. Mngkin kami balik mlm sikit.

04:50 pm.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!