KISAH 24 – KALAU JUMPA, AKU AJAK KAHWIN!

Karya : Khadim Sufi Ba’Alawi

 

Suasana di berek pelatih RELA mulai mereda. Ramai pelatih mula melabuhkan badan setelah penat dilanyak dalam latihan kawad pada sebelah pagi dan latihan menembak pada petang tadi. Ada juga yang masih mengilatkan boot, selain yang masih menggosok uniform, sebagai persiapan untuk perhimpunan dan latihan esok hari.

Bahar tercatuk di sebelah Azmil, sambil bersandar di guard rail koridor berek.

“Kau tau Mil, cikgu Hussein malam tadi buat rondaan, dia terserempak ‘benda’ kat kawasan ampaian belakang berek Relawati. Mula-mula dia ingatkan ada Relawati yang nak sidai kain. Tapi benda terus terbang mengilai masuk ke hutan belakang berek,” cerita Bahar. (cikgu merupakan panggilan untuk jurulatih dalam RELA).

Azmil mulai tertarik dengan cerita Bahar.

“Apa ke ‘benda’ tu?” soal Azmil.

Bahar tersenyum. Anak muda berasal dari Jelebu itu meletup-letupkan jarinya satu persatu.

“Kau jangan buat tak faham. Sini kan bekas kawasan hutan simpan, macam-macam boleh jadi. Ada pelatih sebelum ni, salah ‘pagar’ kawasan tak ingat jalan balik. Ada Relawati yang histeria, mengilai macam pontianak, siap nak terbang dari tingkat dua. Nasib baik kawan-kawan dia sempat tangkap,” sambung Bahar.

Azmil mencebikkan bibirnya. Padanya, itu adalah kesilapan individu. Mungkin diri tidak bersih, tidak berzikir dan seumpamanya. Azmil yakin dan bersedia untuk mengharungi perkara-perkara seumpama itu.

“Baca je ayat Kursi…settle,” bisik hatinya.

“Pagi tadi, Farok terjumpa kelibat pocong dekat motorpool bas nak ke surau. Mencicit dia lari balik. Tu yang azan Subuh tak ada orang nak azan,” kata Bahar lagi.

“Hah, sebab tulah kita kena jemur berjemaah sambil julang shotgun kan?” sampuk Azmil. Dia memang geram dengan si Farok, anak tauke kedai rojak Muar itu. Harap badan saja besar tapi kawad berterabur. Ada saja kesilapannya yang menyebabkan satu platun dihukum.

Cuma kelebihan si Farok ni, dia mampu mengalunkan azan dengan merdu. Atas sebab itu, dia diarahkan bersama Zulfitri sebagai Imam dan Bilal sepanjang kursus asas RELA ini berlangsung. Satu kelebihan untuk si Imam dan Bilal, mereka tidak perlu berkawad dalam 1 barisan untuk pergi ke surau.

Bahar menyambung cerita lagi yang mana Cikgu Yahya, ketua jurulatih ada memberitahu agar menjaga adab dan tata tertib apabila berada di Pusat Latihan RELA ini. Mulut jangan cabul dan jangan sombong bila berada disini.

Pusat latihan itu dibina pada 1999 di atas tapak yang di ambil alih dari kawasan hutan simpan. Banyak cerita pelik dan menyeramkan berlaku semasa pembinaan pusat latihan ini dan juga ketika latihan dijalankan. Ada kisah pekerja yang diganggu Pontianak sehingga tidak berani untuk keluar dari rumah ‘kotai’. Belum lagi jentera dan mesin simen hidup sendiri, meskipun kuncinya sudah disimpan di pejabat. Ada pula jurulatih yang dialih tempat tidurnya – dari surau ke padang kawad berhampiran.

Lebih menyeramkan, Leftenan Kadri pernah diganggu langsuir ketika menyiapkan kerja di bangunan pentadbiran. Langsuir itu muncul tiba-tiba di hadapan tingkap ketika Leftenan Kadri membuka kacanya untuk menghisap rokok. Dia tergamam dan bertentang mata dengan makhluk yang menyeramkan itu sebelum dijumpai pengsan keesokan harinya oleh rakan setugas.

“Dahlah Bahar, baik kita siap cepat. Pukul 12.00 nanti kita kena buat tugas rondaan,” ujar Azmil, mematikan kisah yang disampaikan Bahar.

Pukul 11.50 malam, Azmil dan Bahar yang lengkap dengan uniform sudah tercegat di hadapan amra. Tidak lama kemudian, kelibat Muthu dan Azizan muncul dari celah bangunan pentadbiran. Muthu tersenyum lebar melihat Azmil dan Bahar yang menanti untuk mengambil tugasan mereka pada malam itu

Leftenan Rahim yang menyelia tugasan rondaan kawasan yang melibatkan pelatih tiba dengan Yamaha Sport merahnya. Leftenan Rahim terus memberi taklimat mengenai rondaan malam itu. Seorang anggota dibekalkan sepucuk shotgun dengan 8 butir peluru dan seorang anggota lagi hanya dibekalkan cotar, torchlight serta watchclock untuk clocking di check point rondaan.

Rondaan meliputi kawasan berek pelatih dan jurulatih, bangunan kuliah, stor logistik, rumah memasak dan membawa ke kawasan lapang sasar sejauh 1 kilometer dari blok bangunan Pusat Latihan.

“Dei, baik-baik ronda, nanti jumpa cik ponnnn dekat lapang sasar sanaaa….” sakat Muthu sambil menyerahkan shotgun bersama bandolier peluru kepada Azmil. Azizan tertawa kecil.

“Aney, mulut baik-baik sikit ya. You punya mulut ada insurans ka?” Azmil mula berasa panas dengan lelaki India itu. Muthu tergelak terkekeh-kekeh.

“I gurau saja…,” Muthu memujuk Azmil.

“Itu small matter, you ingat I takut ka? I jumpa terus I ajak kahwin,” jawab Azmil semakin berani. Setakat dikacau apalah sangat, shotgun ada di tangan.

***

Malam semakin dingin dan sunyi. Azmil dan Bahar berjalan menyusuri koridor bangunan pentadbiran dengan bertemankan bunyi cengkerik mengiringi kesunyian malam.

Sambil itu mereka berborak perihal latihan menembak shotgun. Macam-macam gelagat yang mereka lihat dari kalangan pelatih. Ada pelatih yang berbadan besar terduduk apabila menembak shotgun. Ada yang berbekas muka terkena shotgun shell yang melantun keluar apabila shotgun dipatahkan untuk reload. Munirah dan Gayathri antara yang menjadi mangsa. Berbekas muka pelatih wanita itu terkena buntut shotgun shell yang panas.

“Habislaaa muka akuuuuu…”Azmil mengajuk cakap Munirah. Bahar tertawa melihatkan ajukan Azmil.

Sememangnya Munirah antara Relawati menarik dan manja di kalangan peserta wanita kursus tersebut. Sebab itu ramai yang cuba hendak mengurat gadis itu.

Rondaan mereka berlanjutan ke kawasan lapang sasar yang terletak jauh menghala ke hutan. Untuk ke sana mereka terpaksa menempuh kawasan hutan yang menjadi tempat latihan ikhtiar hidup.

Jalan menghala ke lapang sasar itu hanya diterangi dengan 3 tiang lampu yang jaraknya agak jauh, 1 di pintu pagar, 1 di tengah laluan dan 1 lagi di bangunan lapang sasar. Bangunan lapang sasar adalah check point terakhir rondaan sebelum kembali ke bangunan amra untuk tamat tugasan dan serah senjata.

“Lepas tu boleh tidur,” bisik hati kecil Azmil.

Satu jam rondaan dirasakan terlalu lama. Embun jantan mulai gugur dikala dinihari menjelma. Suara unggas rimba bersahut-sahutan bersama kerikan cengkerik menjadi peneman kepada mereka.

“Sapa tu?” Bahar mencuit bahu Azmil.

Azmil tercangak-cangak melihat arah yang dituding oleh Bahar, berhampiran tiang lampu dekat dengan bangunan lapang sasar. Di bawah cahaya lampu, kelihatan susuk wanita beruniform hijau dan berberet kuning sedang bertinggung di atas batu divider parking kenderaan.

“Munirah tu…,” jawab Azmil, yakin.

“Mungkin duty patrol lain ni. Leftenan Rahim kan buat 2 group, lelaki dan perempuan,” tambah Azmil.

“Hmmm… aku rasa tak sedap hatilah,” ujar Bahar.

Azmil tetap meyakinkan Bahar bahawa lembaga yang bertinggung di atas batu itu adalah Munirah. Mungkin dia menunggu pasangan rondanya yang sedang ‘melepas hajat’ di dalam tandas bangunan lapang sasar.

Hati Bahar pula berdetik ada sesuatu yang tidak kena. Dia tahu, tugasan Relawati hanya terhad di kawasan berek Relawati sahaja, bukan menjalankan rondaan seperti anggota lelaki.

“Kau ambil shotgun ni, aku buat clocking terus. Kau tunggu sini,” kata Azmil sambil menyerahkan shotgun dan merenggut torch light dan watchlock dari Bahar.

Hati Azmil berbunga-bunga, manalah tahu ini peluang untuk dia mengayat Munirah. Sebenarnya dia menaruh hati diam-diam kepada gadis comel yang berasal dari Jasin itu semenjak hari pertama kursus.

Belum sempat Bahar bersuara, Azmil terus berlari mendapatkan susuk wanita itu.

“Awak okey?” Azmil melihatkan ‘Munirah’ itu dalam keadaan tunduk merenung ke bumi.

‘Munirah’ diam tanpa reaksi, terpaku tidak bergerak. Hati Azmil mula tertanya-tanya, mana shotgun dia?

“Awak okey tak? Kalau awak pening saya ada bawak minyak angin ni,” Azmil mula ‘jual minyak’, sedangkan ‘Munirah’ masih diam membisu dalam keadaan tunduk.

Azmin semakin pelik, kerana ‘Munirah’ ini amat berlainan dari biasa. Munirah selalunya seorang yang becok dan penuh manja, tapi yang ini diam seribu bahasa.

“Tunggu Gayathri ke? Shotgun mana?” tanya Azmil lagi.

Tidak semena-mena ‘Munirah’ mengangkat kepalanya. Wajahnya yang pucat dengan rambut panjang mengerbang dan lembaga itu menyeringaikan giginya yang tajam.

Azmil tergamam. Baru dia perasan, biasanya Munirah sememangnya bertudung tapi kali ini tidak. Azmin menelan air liurnya dan ingin lari tetapi kakinya dirasakan terlalu berat untuk melangkah.

‘Munirah’ bangkit dan mula menghampiri dengan tangannya ingin mencekik leher Azmil. Uniform RELA yang tadi dilihat Azmil sekelip mata berubah menjadi kain putih yang kotor dan carik-carik beserta bau busuk seumpama bangkai yang menusuk hidung Azmil.

Azmil menoleh kearah Bahar dan dilihatnya pemuda itu sudah mengatur langkah seribu bersama shotgunnya sambil menjerit ketakutan.

Lidah Azmil kelu. Satu ayat suci Al-Quran pun tidak terkeluar dari mulutnya. Lembaga itu semakin hampir dan mula mengilai dengan nyaring.

Tidak semena-mena pandangan Azmil gelap. Dia pengsan di situ juga.

“Bangun! Bangun!” Azmin terasa mukanya disimbah air.

Leftenan Rahim terpaku di hadapannya bersama Bahar.

“Kau ni tak ada tempat lain ke nak membuta? Nasib baik shotgun tak hilang, torchlight dengan watchlock tak bersepah. Kalau tak puas aku nak menjawab dengan Komandan. Lain kali ada benda pelik jangan tegur!. Bahar dah ceritakan apa yang terjadi, balik amra buat serah tugas dan senjata, terus naik tidur,” arah Leftenan Rahim.

Azmil terus duduk terpisat-pisat mengesat matanya. Apa yang dilihatnya tadi seolah-olah mimpi ngeri baginya. Sepanjang jalan untuk balik ke amra dia dan Bahar menadah telinga mendengar bebelan Leftenan Rahim.

Dan disebabkan kejadian itu, pada sebelah paginya Azmil dan Bahar didenda tawaf padang kawad sambil menjulang shotgun sebanyak 20 pusingan ketika pelatih-pelatih lain sedang seronok bersarapan.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!