KISAH 23 – SAAT TERAKHIR MAMAT…

Karya : Muhammad Aimin bin Mohd Jasuri

 

Afiq menyalakan api rokok di sisi kereta Honda Viosnya, menunggu kawannya Mamat. Waktu sudah pukul 10.00 malam. LRT terakhir pukul 11.00, bermakna tinggal satu jam lagi. Mamat yang menyuruhnya menunggu di stesen LRT Pasar Seni itu.

Belum habis sebatang rokok, kelihatan kelibat Mamat yang memakai T-shirt perang dan berseluar jeans lusuh, sambil menyandang beg galas hijau. Mamat tersenyum kepada Afiq. Sampai saja, mereka bersalaman dan masuk ke dalam kereta. Tujuan mereka berdua sama. Mahu ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

Afiq dan Mamat merupakan rakan satu dorm semasa mereka bersekolah asrama di Kuala Lumpur. Afiq jenis yang kuat bersukan dan boleh dikatakan garang, tapi bab membantu kawan dialah orang yang pertama sampai. Berbeza pula dengan personaliti Mamat. Mamat jenis yang pendiam, tak banyak bunyi. Hobinya membaca komik dan novel. Satu lagi, dia jenis yang suka mengemas dan sembur wangian dalam almari dan katil.

Semasa bersekolah dahulu, Afiq dan Mamat bukanlah teman rapat. Tetapi ketika Mamat diserang sakit jantung sewaktu di tingkatan 4, Afiq orang pertama yang membantu membawa Mamat berjumpa dengan warden dan menunggu di hospital. Sejak itu, Afiq bagaikan penjaga Mamat. Hubungan mereka juga jadi rapat.

Selepas SPM, masing-masing tepisah selepas membawa haluan sendiri. Afiq melanjutkan pelajaran di UTM manakala Mamat kurang diketahui perkembangannya. Sudah hampir 6 tahun mereka tidak berjumpa. Mereka berhubung pun sekadar melalui media sosial. Mamat ada akaun Facebook tapi tidak begitu aktif. Banyak majlis yang mengumpulkan rakan-rakan sekolah tidak dapat Mamat sertai.

Namun kali ini, Mamat beria-ia mahu ikut ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang rakan mereka. Disebabkan itu, Afiq mencadangkan Mamat bertemu dengannya terlebih dahulu sebelum mereka sama-sama bergerak ke Melaka.

Di dalam kereta, Afiq tertanya-tanya kenapa dengan Mamat yang nampak berlainan. Mamat lebih banyak senyap. Wajahnya pucat tapi sekali sekala masih tersenyum. Untuk memecahkan kesunyian, Afiq bertanya apa yang dilakukan Mamat selepas mereka habis SPM. Maklumlah, ini kali pertama mereka bertemu selepas tamat sekolah dahulu.

Jawab Mamat, dia melanjutkan pelajaran di Uitm dalam jurusan Diploma Sains. Tamat diploma, Mamat tidak menyambung pelajaran ke peringkat ijazah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi. Lalu dia bekerja sebagai kerani di sebuah pusat beli belah. Mamat juga menjual barangan secara jualan langsung bagi mencari pendapatan tambahan.

Semasa becerita itu, Mamat mula ceria. Katanya, dia gembira bila melihat Afiq sekarang sudah menjadi seorang jurutera. Berbeza dengan dirinya yang hanya hidup ala kadar. Tersentuh hati Afiq mendengar kisah sahabatnya itu.

Sampai di tol Sungai Besi, Afiq membuka tingkap, menghulurkan wang kepada penjaga tol untuk menambah nilai kad Tounch n Go.

“Kenapa bau macam minyak atar ni bang?” soal gadis tol itu. Katanya, ada bau minyak atar yang kuat dari dalam kereta Afiq.

Afiq hairan. Kembang kempis hidungnya cuba menangkap bau yang dikatakan gadis tol itu. Kalau ada pun, dari mana datangnya? Tak pernah Afiq pakai minyak atar. Mamat di sebelah hanya tersenyum melihat keletah Afiq.

Mereka meneruskan perjalanan ke Seremban. Sambil itu, sekali sekala hidung Afiq masih tercium bau atar yang semerbak, tapi hanya sekilas lalu sahaja. Mamat pula lebih banyak mendiamkan diri. Mereka sempat berhenti seketika di hentian rehat Seremban untuk ke tandas. Sekali lagi Afiq tercium bau minyak atar.

“Ishh, takkan aku nak kena sakat dek hantu ni,” getus hati Afiq.

Mamat dan perangai peliknya, dan juga bauan atar yang seolah-olah mengikutinya sejak mula bersama Mamat. Ah, Afiq tak mahu serabutkan kepala. Yang penting mereka cepat sampai di hotel di Bandar Hilir sebelum pukul 2.00 pagi.

Perjalanan disambung semula. Mamat telah lena di sebelahnya. Lebih kurang sejam, mereka tiba di hotel. Setelah urusan pendaftaran selesai, masuk saja ke dalam bilik, Afiq terus melontarkan badannya ke atas katil dan tidur. Letih sungguh badan Afiq sehingga sekelip mata dia sudah terlelap.

Afiq terbangun dalam pukul 9.00 pagi. Nasib baik dia tidak terlewat. Rakan-rakan yang lain semua sudah menunggu di lobi hotel. Ketika sedang bersiap itu, Afiq tercari-cari Mamat. Semasa dia bangun tadi, kelibat Mamat sudah tiada.

Bila Afiq turun ke bawah, baru dia nampak Mamat yang duduk di sofa lobi, lengkap dengan memakai baju Melayu putih, bersamping songket hijau dan bersongkok. Dah macam pengantin pula gayanya.

Semua mereka masuk ke dalam kereta masing-masing untuk menuju ke rumah pengantin tidak jauh dari Bandar Hilir.

Majlis perkahwinan ala kampung itu memang meriah. Kehadiran tetamu yang ramai diikuti dengan paluan kompang menggamatkan suasana.

Setelah selesai acara makan beradab, pengantin lelaki, Sharif menemui Afiq. Sharif membawa Afiq ke sudut yang agak tersorok. Lalu Sharif memberitahu berita yang Mamat sedang koma sekarang ni.

Koma?

Fikiran Afiq bagai dipusing 360 darjah. Jadi, siapa yang bersamanya malam tadi? Siapa yang tidur sebilik dengannya? Bau atar tu?

Semua persoalan itu serentak masuk ke dalam kepalanya. Sharif memang kenal dengan Mamat kerana mereka pernah belajar satu kampus di Uitm. Jadi, Mamat sering berhubung dengan Sharif. Dia mengetahui bahawa Mamat koma akibat serangan jantung yang serius. Mamat mahu merahsiakan perkara ini daripada Afiq kerana dia sudah banyak terhutang budi dengan Afiq.

Walaupun masih bingung, namun Afiq terus meninggalkan majlis dan bergerak ke Kuala Lumpur. Destinasinya hanya Hospital Kuala Lumpur. Terbayang wajah Mamat dalam kepalanya.

Di wad ICU, kelihatan sekujur tubuh Mamat yang lemah tidak berdaya dibantu dengan alat pernafasan. Afiq memegang tangan erat tangan Mamat. Matanya mula bergenang.

Sekeras-keras Afiq, air mata jantannya jatuh macam air pili. Dia tidak dapat menahan sebak. Inilah rupa Mamat setelah 6 tahun, hampir tak bernyawa. Baru Afiq sedar, hanya roh Mamat yang menemaninya malam tadi. Pelbagai kejadian aneh itu adalah ujian kepadanya, betapa Mamat menghargai persahabatan dengan dirinya.

Di sudut katil, Afiq terlihat bayangan Mamat berjubah putih dan dibelakangnya ada seorang lelaki tinggi seperti orang Arab berjubah dan berserban putih.

Mungkinkah ini saat terakhir Mamat?

Afiq menundukkan wajah, basah dagunya kerana air mata.