KISAH 22 – KASUT LUSUH, BUNGA KEMBOJA

Karya : Saiful Bahri Samijan

 

Kisah ini aku alami di minggu akhir bulan Ramadan pada tahun 1994.

Aku berkawan dengan Omar, rakan sekampung yang menjadi pemandu van kilang. Tugas Omar berulang alik membawa pekerja antara kampung aku (di sebuah perkampungan felda di daerah Gemas) ke sebuah kilang elektronik di Seremban.

Boleh kata aku selalu menemani Omar setiap malam semasa dia bertugas. Biasalah, nama pun kilang. Kebanyakan pekerja yang dibawa Omar adalah golongan awek. Itu yang aku selalu bersemangat nak menemani Omar. Walau tak bergaji, boleh dikatakan hampir setiap malam aku tak pernah miss ikut si Omar ni.

Aku ingat lagi, masa tu penghujung bulan Ramadan. Suatu malam, selepas menurunkan pekerja terakhir di sebuah taman perumahan di Tampin, kami meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah.

Semasa kami tiba di simpang Ulu Yoh, kami nampak dua orang perempuan berdiri di tepi jalan sambil membawa bagasi. Kami nampak jelas kerana keadaan ketika itu diterangi sinaran lampu jalan. Mulanya kami anggap biasa. Maklumlah, sudah penghujung Ramadan. Mesti ramai orang nak pulang ke kampung halaman.

Tapi kemudian kami terfikir, gadis-gadis itu nak balik kampung apa tengah-tengah malam buta begitu. Masalahnya ketika itu sudah pukul 12.00 malam. Siapa yang mereka tunggu di tepi jalan?

Kami rasa pelik juga. Masa nampak mereka, aku dan Omar berpandangan sesama sendiri. Tapi tidaklah menakutkan sebab kami tengok pakaian mereka biasa saja. Mereka bertudung dan berbaju kurung.

Mulanya, Omar terus memandu melepasi kedua-dua gadis itu. Tapi kemudian, atas dasar kasihan dan memandangkan besok Omar cuti, dia berpatah semula selepas lebih kurang dalam dua kilometer van kami melepasi kedua-dua gadis tersebut.

Bukan apa, bak kata Omar, manalah tahu kalau gadis itu ada masalah. Kasihan pula tengah-tengah malam begitu di tepi jalan jika tiada yang membantu. Sambil itu sempat juga kami berdua bergurau pasal perempuan tersebut. Kononnya nak try mengurat la, minta nombor telefon bagai.

Bila kami sampai, kedua-dua perempuan itu masih di situ. Omar berhentikan van dan bertanya mereka mahu ke mana. Jawab mereka, mahu pulang ke Terengganu tapi terlepas bas. Mereka minta bantuan mahu tumpang sampai pekan Gemencheh. Kata mereka, sekurang-kurangnya di pekan nanti ada ramai orang. Tidaklah mereka takut sangat.

Kami pun pelawa mereka naik. Masuk saja ke dalam van dengan bagasi, duduk di belakang kami, semerbak bau haruman mereka menusuk hidung kami. Si Omar pula senyum pandang aku sambil angkat kening.

Kami teruskan perjalanan. Aku dan Omar berbual macam biasa. Anehnya, kami berdua seakan terlupa ada penumpang lain dalam van kami. Tidak pula apa yang kami borakkan ada kaitan dengan awek berdua di belakang kami.

Sungguh, masa tu kami memang seolah lupa dan langsung tidak perasan ada membawa orang lain. Jangankan nak bertanya, nak menoleh ke belakang melihat mereka pun tidak. Padahal sebelum itu bukan main lagi nak usha mintak nombor telefon bagai.

Sedar tak sedar dalam kami berbual sambil bergelak ketawa itu, kami dah sampai ke kampung. Kebiasaannya di bulan Ramadan, kawasan kampung kami akan meriah dengan warung yang dibuka sampai ke waktu sahur.

Semasa kami lalu, rakan sekampung ramai yang melepak di warung di simpang hendak masuk ke kampung. Omar berhenti seketika untuk berborak dengan mereka. Sedang rancak kami berbual tu, tiba-tiba Omar bangun mengejut sambil menjerit ‘Ya Allah!” Dengan aku sekali di sampingnya ikut terkejut.

Omar berpaling kepada aku dan bertanya, “Bukan kita ada tumpangkan orang ke tadi?” Fuh, masa tu aku pula yang terperanjat beruk.

Baru kami teringat dua perempuan tadi. Sebelum itu memang kami terlupa langsung mereka di dalam van.

Dengan rasa takut-takut, aku buka pintu belakang van.

Ya Allah!

Kosong. Bukan saja perempuan yang kami tumpangkan itu sudah hilang, beg bagasi mereka juga tiada.

Yang hairannya, elok terletak sebelah menyebelah di atas tempat duduk dua pasang kasut perempuan yang telah lusuh diselaputi tanah, beserta dua kuntum bunga kemboja. Aku rasa nak pitam dibuatnya.

Mana perempuan tadi? Macam mana pula kasut dan bunga itu ada di dalam van?

Sumpah, kami tak berhenti di mana-mana pun tadi selepas tumpangkan mereka. Mustahil mereka melompat keluar dari van pulak. Peliknya, kenapalah kami boleh terlupa langsung tentang mereka berdua.

Dalam kekalutan itu, datang seorang pakcik dari pasukan Rela. Dia tanya kenapa. Kami pun cerita apa yang berlaku. Bila pakcik itu tengok kasut dan bunga kemboja tu, dia suruh kami hantarkan semula barang tersebut ke tempat kami tumpangkan ‘mereka’ tadi sekarang jugak.

Hish, memang tak la kami nak pergi dah jauh lewat malam begitu. Ditambah pula dengan kisah penumpang misteri tu, lagi seriau kami dibuatnya.

Tapi bila pakcik itu beritahu bahawa ‘mereka’ yang kami tumpangkan itu mungkin akan datang menuntut barang tersebut jika tidak dikembalikan, mahu tak mahu terpaksa kami akur. Itupun kami minta pakcik itu menemani kami. Nasib baik pakcik itu setuju.

Mujurlah tiada sebarang perkara ganjil berlaku dalam perjalanan kami menghantar barang itu. Tapi pakcik Rela tersebut sentiasa mengingatkan kami agar membaca apa saja ayat-ayat suci yang kami tahu.

Sesampainya kami di simpang Ulu Yoh, pakcik Rela yang keluar dan meletakkan kasut serta bunga kemboja itu di tepi serumpun pokok pisang hutan. Sambil itu mulutnya terkumat kamit. Entah membaca surah, tapi nampak macam sedang berbual dengan seseorang.

Omar cuit bahu aku bila tiba-tiba kami terbau haruman yang sama seperti semasa perempuan berdua itu masuk ke dalam van kami. Bila kami perhatikan, seakan daun-daun pokok pisang itu melambai-lambai kepada kami.

Dalam perjalanan pulang, pakcik itu memberitahu bahawa kami dikira bernasib baik kerana tak jadi apa-apa.

Bila kami tanya siapa perempuan misteri itu, pakcik Rela hanya tersenyum sambil menjawab ‘wallahualam’. Dia pun tak tahu (atau mungkin buat-buat tak tahu, entahlah). Cuma dia berpesan kepada kami supaya berhati-hati di waktu malam terutama pula bila bekerja sebagai pemandu.

Sejak kejadian itu, aku sudah mula kurang menemani Omar lagi dan akhirnya tidak lagi mengikutnya. Omar pula masih terus bekerja sebagai pemandu van tersebut sehingga dia berkahwin dan bersara.

Cuma aku tidak pasti, apakah dia masih terserempak lagi dengan perempuan misteri itu. Tapi aku yakin, kalau Omar nampak pun, dia tidak akan berhenti lagi seperti waktu dahulu.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!