KISAH 21 – MISTERI KAKI UMAIRA

Karya : Mohamad Zaidan Jamrus

 

Aku ada seorang rakan karib. Asyraf namanya. Asyraf melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Nuklear di sebuah IPTA tempatan. Dia memang genius. Setiap kali exam, dapat dekan. Aku pula, setiap kali exam, kena jumpa dekan sebab dapat Lulus Bersyarat (LB).

Satu hari, Asyraf call aku. Dia suruh aku datang makan dengannya di kafe universiti tempat dia belajar. Katanya, ada benda nak cerita dengan aku. Beria-ia dia minta aku datang. Aku sangka mungkin Asyraf dah jumpa jodoh dia. Kalau betul, entah perempuan malang mana yang sangkut dengan budak skema tu.

Masa aku sampai, Asyraf dah menunggu di salah satu meja makan. Keadaan kafe itu agak lengang. Cuma ada tiga empat orang student je yang sedang minum. Aku malas nak sembang panjang. Terus aku tanya Asyraf, apa yang penting sangat dia nak cerita kat aku.

“Dua malam lepas, aku kena usik puaka dalam library. Seram gila…” ternganga aku dengar pengakuan Asyraf bila dia membuka cerita.

Puaka?

Biar betul. Ada ke puaka yang berselera nak ganggu budak skema ni? Aku cakap dalam hati je la.

Asyraf mula bercerita…

Dua hari lepas, dia dapat tajuk baru untuk assigmentnya. Sebagai pelajar contoh, kerja yang perlu diselesaikan dalam tempoh dua bulan, si Asyraf ni nak buat dalam masa dua hari. Sebab itu, dari pagi sampai malam dia berkampung dalam perpustakaan.

Perpustakaan tempat dia belajar ni dibuka 24 jam untuk pelajar master dan Phd. Si Asyraf ni berkampung dalam perpustakaan. Bertimbun-timbun buku dan artikel atas meja, dengan laptop terpasang sedari pagi. Sampai malam, si Asyraf ni masih sibuk mencari fakta dan nota. Tanpa disedari, muncul seseorang berdiri di depannya.

“Maaf saudara, tumpang study sini boleh ya? Kat tempat lain tak ada orang. Sunyilah kalau sorang-sorang,” sapa satu suara gadis, lantas menarik kerusi dan duduk bertentang dengan Asyraf.

Asyraf tersentak. Dadanya berdegup kencang. Cermin mata tebalnya dibetulkan beberapa kali. Matanya terbuntang, tangannya menggeletar. Pundi kencingnya rasa nak menyembur keluar. Itu reaksi biasa kalau dia nampak awek cun di depannya.

Di depan Asyraf, seorang gadis tinggi lampai. Body macam potongan gitar. Rambut ikal hingga ke paras pinggang. Gadis itu tersenyum manis. Perghh, bergetar tulang rusuk Asyraf melihat ciptaan sebegitu indah.

“Eh, boleh… boleh.. silakan,” jawab Asyraf tersipu-sipu.

Gadis itu tersenyum. Rambutnya terbuai-buai ditiup angin yang menerpa entah dari mana. Harum semerbak memenuhi ruang. Sedikit demi sedikit, mereka mula membuka bicara.

By the way, nama saya Umaira Elisya. Pelajar master tahun 2. Saya tengah buat research tentang konspirasi Yahudi,” kata Umaira ramah.

Asyraf apa lagi, mula nak tunjuk pandai. Ingat dia skema, tak reti nak mengurat?

“Konspirasi Yahudi ni ditulis oleh orang yang ada masalah ‘inferiority complex’ rasa rendah diri yang melampau dan benci dengan pencapaian cemerlang orang lain, lalu mereka mengaitkan kejayaan orang itu dengan bantuan syaitan, Dajjal dan sebagainya. Kalau kita usaha kuat macam Rockefeller, Du Pont atau JP Morgan, kita pun akan jadi macam mereka…” panjang lebar Asyraf memberi indormasi.

Umaira tersenyum.

“Wau, bagusnya you ni. Bijak, rupa pun ada.”

Bila dah dipuji begitu, semakin galaklah Aysraf nak tunjuk pandai. Habis segala hadis, tulisan ahli falsafah dikemukakan sampai terlupa kerjanya sendiri atas meja. Bagi Asyraf, tak rugi kalau tunda asigmentnya sebentar asalkan dapat berbual dengan Umaira yang cantik manis itu.

Umaira menulis sesuatu. Kemudian dia berhenti mahu mencapai sebuah buku. Ketika itu sikunya terkena pada pen yang terletak di atas meja, menyebabkan pen itu jatuh ke lantai.

“Upsss, jatuh pulak…” ujar Umaira.

Asyraf yang angau dengan keayuan Umaira, mula nak tunjuk ‘caring’.

“Tak apa dinda, biar kanda tolong ambilkan,” kata Asyraf berseloroh. Huh, dasar ulat bulu naik daun.

Asyraf kemudian membongkok.

Ketika sedang terbongkok-bongkok bawah meja itu, sempat dia memandang ke arah kaki gadis ayu di hadapannya.

Kalau pakai skirt, cerah masa depan nak melihat sesuatu (astagfirullah…) Macam itulah bila syaitan dah menguasai kepala otaknya, padahal tadi bukan main dia membahan syaitan dan Dajjal sebagai pembawa bencana kepada manusia.

Tiba-tiba, Asyraf rasa air liurnya bagai tersekat di kerongkong. Matanya terbuntang. Apa yang dilihatnya amat menakutkan.

Asyraf nampak jelas kaki Amira hanyalah tulang semata-mata. Ya, tulang putih! Tiada daging, tiada lemak. Sebiji macam rangka hidup.

“Apocot!” Asyraf terkejut hingga kepalanya terhantuk pada meja.

Sebaik saja keluar dari bawah meja, wajah Asyraf pucat lesi tak berdarah. Terus dikemas segala buku dan alat tulisnya.

“Awak nak ke mana?” Tanya Umaira manja.

“Er.. saya mengantuk la. Nak balik dulu,” jawab Asyraf. Tangannya sudah mula menggigil ketakutan.

“Ala, takkan nak balik. Tak habis lagi cerita bab konspirasi Dajjal tadi,” balas Umaira.

Asyraf hanya diam. Hatinya kian tidak keruan. Makin laju degupan jantungnya. Apa yang dilihatnya di bawah meja tadi lebih menyeramkan berbanding konspirasi Dajjal.

Tibs-tiba gadis di depan Asyraf bersuara…

“Dah mengantuk ke dah tahu… ” ( ala, macam dialog klise cerita seram).

Asyraf tak tunggu lama, terus berlari bagai lipas kudung ke pintu. Terpekik terlolong dia dibuatnya dengan usikan Umaira tadi.

Siapa gadis tu? Hantu? Jerangkung dalam almari? Ah, malas Asyraf hendak memikirkannya. Yang penting dia sudah lari daripada perkara yang menyeramkan dalam hidupnya.

Selepas Asyraf keluar, seorang pegawai perpustakaan mendekati Umaira.

“Kenapa mamat tu lari terpekik macam tu? Semacam je,” soalnya kepada Umaira.

“Entah. Aku pun pelik. Lepas dia tolong ambil pen aku, mencicit lari macam kena kejar tebuan,” jawab Umaira.

Kemudian, Umaira bangun kerana mahu ke tandas.

“Hoi, patutlah dia lari mencicit. Yang kau pakai seluar gambar tulang tu kenapa hah,” tegur pegawai perpustakaan itu yang juga merangkap rakan baik Umaira.

“Ha ha ha… ni jeans Halloween aku la.. Saja pakai. Takkan sebab ni je mamat tu lari. Sedih betul…” ujar Umaira sambil ketawa.

Keesokannya, Asyraf demam dan meracau-racau dalam bilik. Terpaksa panggil ustaz dan diberi minum air penenang.

Beberapa orang rakan yang mendengar kisah Asyraf datang menemui Umaira. Malah mereka membawa Umaira datang menemui Asyraf bagi membuktikan gadis itu adalah benar-benar manusia, bukan hantu seperti disangka.

“Aku baru je sembuh ni. Aduh, malu betul aku dibuatnya…” cerita Asyraf.

Aku jawab, baguslah macam tu. Kira kejadian itu satu permulaan untuk dia meneruskan perkenalan dengan Umaira. Manalah tahu, itu jodohnya nanti.

“Hmmm, awal-awal aku dah kena reject. Umaira kata dia tak nak couple dengan lelaki penakut,” kata Asyraf, sambil meraup wajah yang hampa.

Aku nak gelak, tapi aku tahan.

Kasihan kau Asyraf.

 

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!