KISAH 20 – ROSNI OH ROSNI

Karya : Khadim Sufi Ba’Alawi

 

Afifah memecut keretanya di lebuhraya. Panggilan kecemasan dari ibunya mengganggu fikiran. Puan Munah memberitahu dengan menangis teresak-esak, ayahnya Haji Mat Diah dalam keadaan nazak. Dua hari lepas, Afifah berat hati untuk meninggalkan ayahnya. Begitu juga ayahnya yang menatapnya dengan mata berkaca-kaca, seolah-olah berkongsi perasaan serupa.

Afifah bergegas dari rumahnya pada malam itu. Perjalanan dari Taman Universiti, Johor Bahru ke Seremban perlu diharungi segera. Dia tidak mahu kehilangan ayah kesayangannya. Namun, sekiranya Haji Mat Diah dijemput Illahi, biarlah dia sempat menatap wajah ayahnya sebelum pergi.

Asalnya pukul 10.00 malam tadi, Afifah mahu berdating dan makan bersama Amirul, tunangnya. Namun, belum lama di meja makan, dia mendapat panggilan daripada ibunya. Ayahnya yang nazak telah dikejarkan ke hospital. Amirul terus membatalkan rancangan mereka dan menyuruh Afifah segera pulang ke kampung.

Myvi kuning dipandu Afifah terus meluncur laju memotong kenderaan lain di lebuhraya. Kelajuannya mencecah 140km/jam. Afifah tidak pernah memecut keretanya selaju ini kerana sayangkan kereta tersebut. Ia hadiah dari Haji Mat Diah apabila dia dapat bekerja di UTM. Bukan saja untuk memudahkannya pergi dan pulang kerja, tetapi juga untuk pulang ke kampung.

Hujan mulai turun rintik-rintik. Sekali sekala Afifah menghidupkan wipernya apabila pandangannya mula terganggu. Kadangkala Afifah menyeka mata yang mulai digenangi air mata.

Tiba-tiba sebuah kereta Honda Civic EG memotong keretanya dengan laju, seolah-olah mengajaknya berlumba. Afifah tidak mengendahkan kereta tersebut yang terus memecut laju semakin sayup meninggalkan keretanya dibelakang.

“Ala, memulas pulak perut ni,” ngomel Afifah apabila terasa perutnya tiba-tiba memulas. Dia cuba bertahan, tapi semakin lama perutnya kian sakit dan pedih. Mujur hentian sebelah Tangkak hanya satu kilometer di hadapan.

Myvi kuning dipandunya memasuki kawasan hentian dan terus di parkir di ruang tempat meletak kenderaan. Afifah bergegas keluar dan terus menuju ke tandas wanita untuk menunaikan hajatnya.

Seketika keluar dari tandas, Afifah terkejut melihatkan kereta Honda yang memotongnya tadi diparkir tidak jauh dari keretanya. Kelihatan seorang wanita muda sedang membuka bonetnya dan berkepul-kepul asap keluar dari enjin kereta tersebut.

Wanita itu melambai-lambai ke arah Afifah seolah-olah meminta bantuan. Afifah agak kaget tetapi atas rasa ingin tahu, dia memberanikan diri mendekati kereta tersebut.

“Kak, boleh minta tolong tak? Kereta saya rosak. Saya nak balik IPK Seremban sebab tadi ada kes dekat IPD Batu Pahat,” pinta wanita itu.

Afifah terpinga-pinga, teragak-agak untuk membantu wanita itu.

“Saya Rosni,” wanita itu menghulurkan tangannya dan bersalam dengan Afifah.

Sejuknya tangan dia, bisik Afifah dalam hati.

“Saya Afifah…”

Wanita itu seolah-olah tahu isi hati Afifah, lalu dia membuka zip sweaternya.

Oh, betul polis rupanya, bisik hati Afifah lagi bila melihat uniform polis dan kad matriksnya di sebalik sweater tersebut.

“Saya bertugas di IPK Seremban. Rumah kat Desa Beringin. Saya nak cepat balik ke rumah sebab tu saya bawak kereta laju tadi. Tak sangka kereta meragam pulak,” celoteh Rosni.

“Saya memang nak balik Seremban, nak ziarah ayah kat Hospital Seremban sebab ayah sakit kuat. Hmmm… bolehlah awak tumpang sekali,” pelawa Afifah.

Timbul rasa kasihan Afifah pada Rosni. Takkan nak tinggalkan wanita itu di hentian rehat yang sunyi itu berseorangan lewat malam begitu. Walaupun Rosni anggota polis, fitrahnya tetap seorang wanita sepertinya yang memerlukan bantuan semasa dilanda kesusahan begini.

“Okey…” Rosni membuka sweaternya dan menyimpannya di dalam kereta.

Setelah siap, mereka berangkat meninggalkan hentian tersebut. Kereta Rosni terpaksa ditinggalkan di situ.

Sepanjang perjalanan, mereka berceloteh mengenai diri masing-masing. Afifah dan Rosni berbual seperti rakan yang sudah lama saling mengenali. Sesekali mereka terkekeh ketawa apabila menceritakan kisah-kisah yang menggelikan hati.

Persimpangan tol Ayer Keroh baru dilepasi. Punya seronok berbual sampai tidak terasa jauhnya perjalanan. Kali ini Afifah memandu lebih perlahan daripada sebelumnya.

“Awak percaya hantu tak?” tiba-tiba Rosni bertanya.

Terkejut juga Afifah dengan pertanyaannya itu.

“Entahlah. Lagipun saya tak pernah jumpa hantu sepanjang hidup saya,” jawab Afifah.

Rosni kemudian bercerita mengenai kisah-kisah mistik sepanjang dia bertugas menguruskan pelbagai kes, terutamanya kes pembunuhan. Terasa seram juga bila Afifah mendengarnya.

“Dah lah cerita seram tu. Jom kita pergi makan. Kita singgah dekat hentian jejantas Ayer Keroh ya. Takpe, saya belanja,” ujar Afifah memperlahankan keretanya apabila melihat papan tanda RnR di hadapan yang jaraknya kira-kira 2 kilometer.

“Agak-agak, kalau hantu tu muka macam saya, awak takut tak?” Rosni berseloroh.

“Hish, takkanlah muka awak yang flawless macam ni ada rupa hantu pulak,” jawab Afifah sambil tergelak. Pandai pula si Rosni buat lawak benda-benda begitu, fikir Afifah.

Afifah kemudian menoleh ke sebelah penumpang. Dia terkejut besar. Nafasnya bagai terhenti.

Buntang biji matanya bila melihat Rosni yang ditumpangkannya itu sudah berubah rupa. Bukan lagi Rosni yang berwajah ayu, tapi telah bertukar hodoh dengan wajah dipenuhi kesan luka.

Serpihan kaca dan besi tertusuk pada dahi dan pipinya. Darah pula menitik-nitik. Sebelah biji matanya pula terjuntai di pipi kiri.

“Ya Allah! Arghhhhhhhhh!!!” Afifah menjerit bila Rosni yang sudah berubah rupa itu menyeringai, menayangkan gigi tajamnya.

Kereta yang dipandu Afifah hilang kawalan lalu merempuh tiang papan tanda hentian rehat. Afifah pengsan apabila ditujah beg udara yang keluar bila keretanya terhentak kuat.

****

Afifah membuka mata. Dia berada di hospital dikelilingi ibu, adik dan abangnya, Zulkarnain. Disebabkan kemalangan itu, kaki kiri Afifah patah. Begitu juga rusuk kirinya.

“Kenapa bawa kereta laju, nak? Kan mak dah pesan pandu elok-elok,” ujar ibunya.

Lalu Afifah menceritakan apa yang berlaku ke atas dirinya. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Along dah agak dah. Kat tempat Fifah accident tu, memang ada pegawai polis wanita yang mati kemalangan dekat situ. Along tahu ceritanya. Pegawai tu bergegas nak balik ke Seremban dari Batu Pahat, sampai situ keretanya hilang kawalan dan melanggar tiang papan tanda RnR sampai putus dua keretanya tu. Dah lama kes tu. Pegawai tu tunang kawan Along kat Kem Sunggala tu,” jelas Zulkarnain.

“Ayah macam mana mak?” tanya Afifah.

“Ayah selamat. Sekarang ayah dah stabil. Fifah tak payah risau ya. Fifah yang teruk sekarang ni,” jawab ibunya.

“Alhamdulillah…,” lega Afifah apabila mengetahui keadaan ayahnya.

Afifah terfikir, mujur dia berniat untuk masuk ke hentian itu dan memperlahankan kereta. Jika tidak, entah apa akan jadi jika dia memandu laju.

Rosni?

Entahlah, sukar Afifah hendak percaya.

Mungkinkah Rosni sedang mencari mangsa terbaru pula?

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!