KISAH 19 – TOK! TOK! TOK!

Karya : Zalina Samsudin

 

TOK! TOK! TOK!

Tiba-tiba Pekan Batu Lapan digemparkan dengan ketukan pintu tanpa salam. Bukan ketukan biasa-biasa tetapi sangat kuat seperti berlaku kecemasan.

Anehnya, apabila pintu dibuka tiada siapa yang kelihatan.

Ramai yang berpendapat itu perbuatan budak-budak nakal. Tidak kurang juga yang menyatakan ketukan misteri tersebut adalah taktik penyamun untuk merompak. Tapi, belum ada mangsa rompakan yang membuat laporan berhubung ketukan aneh itu.

Ketukan misteri itu menimbulkan suasana panik dan ketakutan. Siapa pun di sebalik pintu, penduduk kampung menggelarnya ‘mambang pintu’.

Disebabkan itu juga, menjelang senja semua orang sudah berada di rumah. Tiada lagi kutu-kutu lepak kelihatan di simpang jalan. Kedai-kedai makan juga tampak lengang.

Di bawah pohon kekabu, dua pasang mata meliar ke kiri dan kanan. Sekumpulan ahli Rukun Tetangga baru sahaja melewati lorong itu beberapa minit lalu. Kedua-dua lelaki itu perlu memastikan anggota Rukun Tetangga tidak nampak kelibat mereka.

“Amacam?” tanya Muiz.

Line clear!” jawab Ayob.

Ayob membuka beg sandang. Dia mengeluarkan dua helai kain putih dan dua topeng plastik. Diambilnya gunting dari dalam poket beg. Bahagian tengah kain putih itu digunting muat-muat untuk meloloskan kepala mereka.

“Nah, ini untuk kau,” ujar Ayob, sambil memberi sehelai kain putih dan topeng.

“Topeng Gaban? Tak ada topeng lain ke? Dua hari lepas aku tengok macam-macam topeng ada kat pasar raya tu. Yang muka ganas macam Predator pun banyak,” bebel Muiz, tidak berpuas hati.

“Ada dua lagi dalam beg aku. Doraemon dan adiknya Doralin. Kau pilihlah mana berkenan. Yang lain sold out. Kata jurujual, sekarang memang musim budak main topeng,” jawab Ayob acuh tak acuh.

Muiz tidak punya pilihan. Takkan nak pakai topeng Doraemon pula? Gaban pun Gabanlah. Dia pasti bila Jai dikuasai perasaan takut, memang tiada bezanya antara muka Gaban dan muka mambang pintu.

Muiz pantas menyarung kain putih dan topeng plastik Gaban. Manakala Ayob pula sudah bersedia dengan topeng plastik Power Rangers bersama selubung putih yang disimbah pewarna merah.

“Okey tak gimik aku?” soal Ayob.

“Suka hati kaulah. Jom, lagi cepat kerja kita selesai lagi bagus. Lama-lama kat sini, buatnya ahli Rukun Tetangga tadi pusing balik, masak kita,” balas Muiz.

Mereka berdua menuju ke rumah sewa mereka.

Wabak ketukan pintu misteri yang menggemparkan penduduk tidak sedikit pun menghalang orang bujang seperti mereka untuk keluar malam. Mereka bukan percaya sangat perkara tahyul.

Mereka berdua mahu kenakan Jai, seorang lagi teman serumah mereka yang amat penakut orangnya. Di antara mereka bertiga, Jai paling jarang keluar malam. Tambah pula dalam situasi sekarang, ketakutan Jai makin bertambah.

Bukan itu saja, sebagai langkah keselamatan tambahan, setiap kali pulang malam, Jai meminta Ayob dan Muiz menyebut kata laluan sebaik pintu diketuk. Memang ia bukan benda sukar untuk Ayob dan Muiz. Cuma yang buat mereka berdua bengang, kata laluan akan bertukar setiap malam. Semakin hari semakin panjang dan pelik pula kata laluan yang ditetapkan Jai.

Sebab itu malam ini mereka mahu mengenakan Jai. Biar jadi pengajaran padanya bahawa penggunaan kata laluan bukanlah satu jaminan yang rumah sewa mereka tidak akan diganggu oleh ketukan-ketukan misteri tersebut.

Sebaik tiba di muka pintu rumah sewa, Ayob memberi isyarat tangan kepada Muiz. Mereka sama-sama bersedia.

Tok! Tok! Tok!

“Mak, nak susu!” mereka melaung kata laluan.

Senyap. Tiada sebarang respons.

Tok! Tok! Tok!

“Mak, nak susu!”

Senyap juga. Tiada tanda sebarang pergerakan dari dalam rumah.

“Dah tidur agaknya. Ketuklah kuat sikit,” ujar Ayob.

Tok! Tok! Tok! Tok! Tok!

“Makkk, nak susuuu…!

Tiba-tiba pintu terbuka. Apa lagi, Ayob terus masuk menyergah. Disusuli Muiz. Tapi mereka berdua kehairanan. Lampu terang-benderang namun tiada sesiapa di dalam rumah. Pelik. Habis, siapa yang membuka pintu? Terbuka sendiri?

“Jangan-jangan Jai tahu kita nak menyakat dia malam ni. Jadi, dia pun dah stand by nak sakat kita balik,” kata Muiz.

“Tak mungkin. Kau ingat Jai tu berani sangat nak menyakat kita. Tapi entahlah, aku pun dah confuse sekarang ni. Siapa yang sakat siapa sebenarnya ni?” balas Ayob pula.

Mereka pun masuk ke dalam rumah.

Prangg!

Bunyi kaca pecah di dapur memeranjatkan mereka. Ayob dan Muiz saling merapat.

Tiba-tiba seekor kucing hitam muncul dan merenung tajam ke arah mereka berdua.

Meoowwwwwww!!

Kucing itu mengiau nyaring. Bunyinya menggerunkan, bukan seperti bunyi kucing biasa. Baru Ayob dan Muiz sedar, mata kucing itu merah bersinar.

Kucing itu menunduk sedikit, lalu melompat dan menerkam ke arah mereka berdua, membuat Ayob dan Muiz menjerit sekuat hati ketakutan.

Ayob jatuh pengsan setelah menjerit. Manakala Muiz pula sempat mengelak, sebelum dia terduduk dan terpanar kaku. Tidak bergerak.

Kucing hitam bermata merah itu melompat melepasi mereka dan terus berlari keluar melalui pintu depan yang terbuka.

****

Kira-kira 80 meter dari rumah sewa, Jai dikejutkan dengan suara jeritan. Jiran-jiran serta ahli rukun tetangga yang baru selesai menikmati mee kari dan kek turut sama mendengarnya.

Jai tidak sedap hati. Dia kenal itu suara Ayob dan Muiz. Lantas dia meminta pertolongan semua orang yang berada di rumah Cik Maiza ketika itu. Mereka pun berkejar ke rumah sewa Jai. Sampai saja di pintu rumah, Jai terperanjat apabila menemui dua makhluk bertopeng yang kaku.

Melihatkan topeng yang dipakai, Pak Husin yang merupakan ketua rondaan Rukun Tetangga yakin itu adalah manusia lalu membuka topeng keduanya. Sebaik identiti terdedah, Jai dan semua yang berada di situ naik berang. Jadi, Ayob dan Muiz mambang pintu yang telah mengganggu ketenteraman Pekan Batu Lapan?

“Tunggu dulu. Jangan tuduh sembarangan. Cuba tengok keadaan mereka, macam ada yang tak kena. Kita tanya dulu apa yang berlaku. Sebaiknya kita pulihkan Ayob dan Muiz. Nampak macam mereka keteguran,” ujar Johan, suami Cik Maiza yang merupakan tuan rumah sewa tersebut, menenangkan semua orang.

Setelah Ayob dan Muiz pulih, bermulalah sesi soal siasat. Kedua-duanya menafikan sekeras-keras bahawa mereka adalah mambang pintu yang disebut-sebut penduduk. Tujuan mereka berpakaian begitu semata-mata mahu mengusik Jai.

Mereka menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku. Mereka turut meminta maaf atas kekecohan yang ditimbulkan. Apa yang terjadi hanyalah gurauan sahaja. Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

“Itulah, nak kenakan aku, alih-alih terkena diri sendiri,” Jai ketawa sambil memegang topeng plastik Gaban dan Power Rangers. Hanya mereka bertiga kini, setelah penduduk yang datang tadi semua sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kau tak kena bolehlah gelak-gelak. Betul Jai, rupa kucing tu dengan bunyinya memang seram. Kalau kau tengok pun kau pengsan jugak,” balas Muiz.

“Padan muka, main-main lagi dengan mambang pintu,” Jai menyambung ketawa.

“Kau ke mana sebenarnya tadi?” tanya Ayob pula.

“Aku ke rumah Cik Maiza. Lepas kau orang keluar, abang Johan datang jemput ke rumahnya. Ada jamuan hari jadi anaknya, Raiza yang genap dua tahun. Eh, korang lapar tak kena sakat kucing hitam? Jangan risau, mee kari dengan kek ada atas meja makan. Cik Maiza kasi tadi,” jawab Jai sambil terus mengusik kedua-dua rakannya itu.

Huwaaaa….Huwaaaa….

Tiba-tiba ketiga-tiga mereka terdiam. Bunyi budak menangis?

Ribut perasaan yang hampir reda bertukar gelisah semula. Masakan tidak, bunyi tangisan itu betul-betul kedengaran di dalam rumah mereka. Barangkali dari salah satu bilik tidur.

Semakin lama, bunyi tangisan itu semakin kuat. Jai, Ayob dan Muiz pucat lesi. Mereka tidak berani berganjak dari ruang tamu, apatah lagi mahu menjenguk arah suara itu.

“Mak nak cucu…nak cucu!” tiba-tiba muncul suara asing dari dalam rumah, dan diiringi suara tangisan budak.

Ketiga-tiga sahabat itu terus berpelukan. Nampaknya perhitungan antara mereka dengan mambang pintu belum selesai lagi.

****

Sementara itu di luar rumah, tiga kelibat mundar-mandir bersuluhkan lampu picit.

“Anak dua orang pun tak boleh jaga!” Johan marah-marah.

“Saya balik sekejap ambil mee kari dengan kek untuk budak-budak tu. Betul bang, saya memang nampak Raiza di sebelah awak tadi,” balas Cik Maiza.

“Dia tak ada dengan saya masa kecoh-kecoh tadi, percayalah!” sanggah Johan pula.

“Mak, abah dengar tak? Ada suara budak menangis dalam rumah sewa. Adik Raiza agaknya tu,” tiba-tiba Rizki, anak sulung mereka mencelah.

“Kan betul, tak ke mana Raiza tu. Mesti ada dekat-dekat sini. Cepatlah bang…,” Cik Maiza terus mengheret tangan suami dan anak sulungnya.

“Kata budak-budak ni tadi, nak masuk rumah tu kena sebut kata laluan dulu. Awak tahu tak kata laluannya?” soal Johan sebaik sampai di muka pintu.

“Kata laluan apanya? Inikan rumah sewa kita. Kalau budak-budak tu tak nak buka pintu, awak rempuh ajelah. Dah tentu anak kita yang menangis kat dalam tu,” balas Cik Maiza mula hilang sabar.

“Along tahu mak kata laluannya. Abah ketuk pintu, biar Along sebut nanti,” Rizki menyampuk lagi.

Tok! Tok! Tok!

“Makkk, nak susuuu!”

Jeritan pun bergema di dalam rumah. Di selangi bunyi tangisan anak kecil. Rumah sewa bujang itu dilanda kekecohan sekali lagi.

Sementara itu, tidak jauh dari rumah sewa tersebut, sekujur tubuh bongkok tiga dan bertongkat meninggalkan pohon kekabu. Seekor kucing hitam bermata merah terkutik-kutik ekornya mengikut di belakang.

Lampu jalan berkelip-kelip. Kemudian terus padam. Kedua-duanya hilang dalam kepekatan malam.

 

 
>>> Facebook Group <<<
Media Digital
xmastika.my
Sertai Kumpulan
Kongsikan apa sahaja!